Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Kejadian 1:1​—“Pada Mulanya, Tuhan Menciptakan Langit dan Bumi”

Kejadian 1:1​—“Pada Mulanya, Tuhan Menciptakan Langit dan Bumi”

 “Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.”—Kejadian 1:1, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Pada mulanya Tuhan menciptakan langit dan bumi.’—Kejadian 1:1, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Kejadian 1:1

 Ayat pertama dalam Bible menyatakan dua kebenaran yang penting: Pertama, “langit dan bumi,” atau seluruh alam semesta, mempunyai permulaan. Kedua, Tuhanlah yang menciptakannya.—Wahyu 4:11.

  Bible tidak menyatakan bila atau bagaimana Tuhan menciptakan alam semesta. Tetapi, Bible menjelaskan bahawa Tuhan “sangat berkuasa dan amat bertenaga,” dan Dia menggunakan kuasa-Nya itu untuk menciptakan segalanya.—Yesaya 40:26.

 Perkataan “menciptakan” a diterjemahkan daripada kata kerja Ibrani yang hanya digunakan untuk menggambarkan perbuatan Tuhan. Dalam Bible, gelaran Pencipta digunakan untuk Tuhan Yehuwa b sahaja.—Yesaya 42:5; 45:18.

Konteks Kejadian 1:1

 Ayat pertama dalam buku Kejadian merupakan pengenalan kepada kisah penciptaan dalam Kejadian bab 1 dan 2. Dari Kejadian 1:1 hingga 2:4, Bible secara ringkas menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Tuhan untuk menciptakan bumi dan segala makhluk hidup, termasuk lelaki dan wanita yang pertama. Selepas itu, Bible menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai penciptaan dua manusia pertama itu.—Kejadian 2:7-25.

 Buku Kejadian menyatakan bahawa Tuhan melakukan penciptaan dalam jangka masa enam “hari.” “Hari” yang dimaksudkan bukanlah hari harfiah yang panjangnya 24 jam, tetapi merujuk kepada suatu tempoh waktu yang tidak dinyatakan panjangnya. Kita dapat menyimpulkan bahawa perkataan “hari” boleh merujuk kepada jangka masa yang lebih panjang dengan melihat Kejadian 2:4. Dalam ayat ini, perkataan “hari” merujuk kepada tempoh masa yang merangkumi enam hari penciptaan.

Tanggapan yang Salah tentang Kejadian 1:1

 Tanggapan yang salah: Tuhan menciptakan alam semesta beberapa ribu tahun yang lalu.

 Kebenaran: Bible tidak menyatakan bila alam semesta diciptakan. Ayat di Kejadian 1:1 tidak bercanggah dengan anggaran ahli sains bahawa alam semesta telah wujud selama berbilion-bilion tahun. c

 Tanggapan yang salah: Kejadian 1:1 menunjukkan bahawa Tuhan ialah Tritunggal kerana perkataan Ibrani untuk “Tuhan” digunakan dalam bentuk jamak.

 Kebenaran: Perkataan Ibrani ’Elo·himʹ dalam bentuk jamak yang diterjemahkan sebagai “Tuhan” digunakan untuk menegaskan keunggulan atau kemuliaan Tuhan, dan bukannya untuk menunjukkan bilangan individu yang berbeza. Buku New Catholic Encyclopedia juga menyokong hal ini. Buku ini menyatakan bahawa ’Elo·himʹ dalam bentuk jamak di Kejadian 1:1 “selalu diikuti dengan kata kerja untuk subjek tunggal yang menegaskan keunggulan dan bukannya merujuk kepada sebilangan orang. Hal ini mirip dengan kebiasaan orang daripada keturunan diraja zaman kuno yang menggunakan istilah kami untuk merujuk kepada diri sendiri.”—Edisi Kedua, Jilid 6, muka surat 272.

Baca Kejadian bab 1, termasuk semua nota kaki dan rujukan silang.

a Mengenai perkataan ini, Bible HCSB menyatakan, “Kata kerja Ibrani bara’ dalam bentuk aktif bermaksud ‘menciptakan,’ dan tidak boleh merujuk kepada kerja yang dilakukan oleh manusia. Maka, perkataan ini hanya merujuk kepada perbuatan yang dilakukan oleh Tuhan.”—Muka surat 7.

b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.

c Mengenai ungkapan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “pada mulanya,” The Expositor’s Bible Commentary menyatakan, “Ungkapan ini tidak merujuk kepada jangka masa atau tempoh waktu yang spesifik.”—Edisi Dikemaskinikan, Jilid 1, muka surat 51.