Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Bagaimana Jadi Ayah yang Baik

Bagaimana Jadi Ayah yang Baik

 Apakah peranan seorang ayah?

  •   Sebelum anak anda dilahirkan. Cara anda melayan isteri sekarang menunjukkan cara anda akan melayan anak nanti. Buku Do Fathers Matter? menyatakan:

     “Seorang ayah yang membantu pasangan yang mengandung untuk membeli barang, membawanya jumpa doktor, dan melihat janin semasa pemeriksaan ultrabunyi atau mendengar degupan jantung janin, besar kemungkinan akan terlibat bersama pasangan dalam pembesaran bayi nanti.”

     “Saya tak ingin isteri saya rasa, dia lalui proses mengandung seorang diri. Jadi, saya bantu dia dengan sedaya upaya. Kami juga sama-sama sediakan bilik bayi. Itu detik yang istimewa bagi kami, seraya kami bersiap sedia untuk menyambut kelahirannya.”—James.

     Prinsip Bible: “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Filipi 2:4.

  •   Selepas anak anda dilahirkan. Anda boleh pupuk ikatan bersama bayi dengan bermain dan mendukungnya. Anda juga boleh bantu jaga bayi. Penglibatan anda sebagai seorang ayah akan sangat mempengaruhi pembesaran anak anda. Ikatan yang anda pupuk membuktikan anak anda memang berharga bagi anda.

     “Cubalah turun ke tahap anak anda. Bermainlah dengannya. Berjenakalah dengannya. Jangan terlampau serius. Ingatlah bahawa anak anda mula-mulanya belajar tentang kasih melalui anda.”—Richard.

     Prinsip Bible: “Anak-anak ialah warisan yang dikurniakan oleh Yehuwa; Cahaya mata ialah anugerah Tuhan.”—Mazmur 127:3.

  •   Semasa anak anda membesar. Kajian menunjukkan bahawa anak yang rapat dengan bapa menjadi pelajar yang lebih baik di sekolah, kurang masalah emosi, dan jarang terlibat dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah. Luangkan masa yang secukupnya untuk pupuk hubungan yang baik dengan anak anda.

     “Apabila anak lelaki saya pindah keluar, dia beritahu apa yang dia paling rindu ialah perbualan kami saat membuat perjalanan jauh atau semasa makan malam. Beberapa perbualan penting kami adalah semasa saya tidak menjangkanya. Semua perbualan itu adalah kerana kami meluangkan banyak masa bersama.”—Dennis.

     Prinsip Bible: “Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Efesus 5:15, 16.

 Mengapakah peranan seorang ayah unik?

 Kebanyakan orang fikir bahawa bapa patut sara keluarga dan lindungi keluarga secara fizikal. Ibu pula jaga keperluan emosi keluarga. (Ulangan 1:31; Yesaya 49:15) Dalam sesetengah keluarga, ibu bapa mengongsi peranan mereka. Namun, para penyelidik dapati bahawa mak dan ayah masing-masing menyumbang sesuatu yang unik dalam keluarga. a

 Judith Wallerstein, seorang pakar keluarga, menceritakan pengalamannya tentang hal ini. Dia menulis, “Semasa anak perempuan saya yang berumur dua belas tahun dilanggar kereta, dia mahu bapanya berada dalam ambulans kerana dia lebih yakin keupayaan bapanya untuk melindungi dia dalam keadaan itu. Kemudian di hospital, dia mahu saya duduk sebelah katilnya sepanjang hari untuk melegakan hatinya.” b

 “Seorang bapa boleh bantu keluarga rasa selamat dan stabil dalam cara yang mungkin susah bagi seorang ibu untuk lakukan sendiri. Pada masa yang sama, seorang ibu bantu anaknya rasa disayangi dan difahami semasa dia mendengar dengan empati. Kedua-dua bekerjasama sebagai satu pasukan.”—Daniel.

 Prinsip Bible: “Hai anakku, dengarkanlah ajaran bapamu, dan janganlah mengetepikan bimbingan ibumu.”—Amsal 1:8.

 Ayah dengan anak perempuan

 Sebagai ayah, ajarlah anak perempuan anda bagaimana dia patut dilayan oleh lelaki. Anak dapat belajar tentang hal ini menerusi dua cara berikut:

  •   Memerhati cara anda melayan isteri. Apabila anda sayang dan hormati isteri, anak anda dapat lihat sifat-sifat yang diperlukan dalam pasangan hidup semasa dia pilih suami pada masa depan.—1 Petrus 3:7.

  •   Memerhati cara anda melayannya. Apabila anda tunjuk hormat kepada anak perempuan, anda sedang ajar dia untuk hormati diri sendiri. Dia juga belajar bahawa lelaki lain patut melayannya dalam cara yang sama.

     Sebaliknya, jika seorang bapa asyik mengkritik anak perempuannya, ini boleh menyebabkan anak berasa diri tidak berharga. Akibatnya, dia mungkin mencari lelaki lain untuk dapat pujian. Namun, lelaki sedemikian mungkin berniat jahat.

     “Anak perempuan yang dikasihi dan disokong oleh bapanya, besar kemungkinan tidak mudah jatuh cinta dengan lelaki yang tidak memiliki sifat-sifat seorang suami yang baik.”—Wayne.

a Ramai ibu telah berjaya membesarkan anak mereka tanpa bantuan suami.

b Daripada buku The Unexpected Legacy of Divorce.