Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN

Bagaimana Mengelakkan Perasaan Cemburu dalam Perkahwinan

Bagaimana Mengelakkan Perasaan Cemburu dalam Perkahwinan

 Sebuah perkahwinan tidak dapat bahagia jika pasangan mempunyai perasaan curiga terhadap satu sama lain. Jadi, bagaimanakah anda dapat mengelak daripada perasaan cemburu yang tidak munasabah?

Dalam rencana ini

 Apakah itu cemburu?

 Perkataan “cemburu” boleh membawa beberapa maksud. Dalam rencana ini, perasaan cemburu merujuk kepada perasaan kita semasa kita percaya bahawa seseorang menunjukkan perasaan romantik kepada pasangan kita atau pasangan kita menunjukkan minat yang tidak sepatutnya kepada orang lain. Kita mungkin berasa bahawa perkahwinan kita terancam. Jika itu yang berlaku, perasaan cemburu adalah normal dan wajar. Lagipun, perkahwinan ialah ikatan yang paling erat antara dua orang, dan setiap pasangan harus melakukan apa yang terdaya untuk melindunginya.

 Prinsip Bible: “Mereka bukan lagi dua tetapi satu. . . . Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”—Matius 19:6.

 “Jika perkahwinan anda terancam, perasaan cemburu adalah seperti pengesan asap yang memberitahu anda bahayanya dan mendorong anda untuk buat sesuatu.”—Benjamin.

 Perasaan cemburu yang tidak wajar pula timbul kerana perasaan curiga dan takut yang tidak berasas. Jika kita benar-benar mengasihi pasangan kita, kita akan mengelakkan perasaan cemburu sebegitu. (1 Korintus 13:4, 7) Dr. Robert L. Leahy menulis: “Kesan daripada perasaan cemburu yang tidak wajar dapat merosakkan hubungan yang ingin anda lindungi.” a

 Apakah penyebab perasaan cemburu yang tidak munasabah?

 Anda mungkin cenderung mempunyai perasaan cemburu yang tidak munasabah jika anda pernah dikhianati oleh bekas pasangan anda. Atau perkahwinan ibu bapa anda gagal kerana salah seorang antara mereka berlaku curang dan anda takut hal yang serupa berlaku atas diri anda.

 “Ayah saya curang terhadap ibu saya semasa saya masih kecil. Jadi, saya selalu mencurigai orang. Luka emosi ini ada kalanya buat saya susah percaya suami saya.”—Melissa.

 Faktor lain: Jika anda selalu berasa tidak tenteram, anda mungkin cepat untuk berfikir bahawa orang lain ingin menghancurkan perkahwinan anda. Anda mungkin bahkan mula percaya bahawa jika diberi peluang, pasangan anda akan meninggalkan anda untuk orang lain.

 “Suami saya diminta untuk menjadi pengapit lelaki di perkahwinan kawannya. Maksudnya kadangkala dia akan berpasangan dengan pengapit perempuan. Saya tidak setuju, jadi saya pujuk dia untuk menolaknya.”—Naomi.

 Adat perkahwinan di setiap negara berbeza-beza. Maka, orang Kristian harus dibimbing oleh prinsip Bible. Adakah Naomi bersikap munasabah dalam situasi itu? Semasa dia memikirkan hal itu, dia sedar bahawa tiada sebab untuknya berasa cemburu. Dia berkata, “Pada masa itu, saya rasa tidak tenteram. Saya fikir suami saya bandingkan saya dengan wanita lain, tapi semua itu dalam fikiran saya saja.”

 Tidak kira apa sebabnya, perasaan cemburu yang tidak wajar akan buat anda mencurigai dan bahkan dengan tidak adil menuduh pasangan anda bersikap tidak setia. Perasaan sedemikian akan menimbulkan masalah yang dapat merosakkan perkahwinan anda dan bahkan mungkin kesihatan anda.

 Prinsip Bible: “Iri hati bagaikan penyakit barah.”—Amsal 14:30, Alkitab Berita Baik.

 Bagaimanakah anda dapat mengawal perasaan cemburu?

 Kuatkan kepercayaan anda. Daripada mencari tanda bahawa pasangan anda tidak setia, fikirkan apa yang pasangan anda telah lakukan yang memberi anda sebab untuk mempercayainya.

 “Saya fikir sifat-sifat baik suami saya. Jika dia berikan perhatian kepada seseorang, hal itu kerana dia benar-benar prihatin terhadap orang, bukan kerana dia mempunyai niat yang buruk. Saya perlu mengingatkan diri saya bahawa hanya kerana perkahwinan ibu bapa saya gagal, tidak bermaksud bahawa perkahwinan saya pun akan gagal.”—Melissa.

 Prinsip Bible: “Kasih . . . mempercayai segala sesuatu.”—1 Korintus 13:7.

 Persoalkan perasaan curiga anda. Dr. Leahy, yang disebutkan tadi, menulis: “Kadangkala kita percaya apa yang kita fikir adalah benar. Oleh sebab kita percaya hal itu betul, kita menganggapnya sesuatu yang nyata. Namun, hal itu tidak semestinya tepat kerana perasaan kita tidak boleh dijadikan bukti yang nyata.” b

 “Jika kita lihat suatu situasi dan membuat andaian yang buruk, kita hanya menimbulkan masalah dalam perkahwinan.”—Nadine.

 Prinsip Bible: “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.”—Filipi 4:5.

 Bincangkan kerisauan anda. Tidak kira apa yang menyebabkan anda berasa cemburu, bincangkan kerisauan anda dengan pasangan anda. Dengan itu, anda berdua boleh membuat keputusan tentang bagaimana anda patut melayan satu sama lain dalam cara yang akan mengekalkan perasaan selesa dan tenteram.

 “Semasa dalam perbualan sebegitu, anggaplah pasangan anda tidak berniat untuk menyakiti anda dan bahawa dia juga berusaha untuk membuat keputusan yang baik. Anggaplah pasangan anda mempunyai motif yang baik. Anda mungkin terlalu sensitif dan harapkan sesuatu yang berlebihan, atau pasangan anda mungkin tidak sedar bahawa dia tidak memberikan perhatian yang anda perlukan.”—Ciara.

 Prinsip Bible: “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.”—1 Korintus 10:24.

a b Daripada buku The Jealousy Cure.