Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA

Cara untuk Membantu Anak Anda Membuat Kemajuan di Sekolah

Cara untuk Membantu Anak Anda Membuat Kemajuan di Sekolah

 Anak anda tidak suka pergi ke sekolah dan dia tidak mahu melakukan kerja rumah atau membuat ulang kaji. Apakah akibatnya? Keputusannya merosot dan sikapnya juga berubah. Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda untuk membuat kemajuan di sekolah?

 Apa yang perlu anda ketahui

 Memberi mereka tekanan akan memburukkan keadaan. Anak anda sudah mengalami tekanan di sekolah, jadi janganlah memberinya tekanan di rumah juga. Jika tidak, dia mungkin akan menipu, menyembunyikan markah yang rendah, memalsukan tandatangan anda pada kad keputusan, atau ponteng sekolah untuk mengurangkan tekanan. Ya, jika anda memberi mereka tekanan, masalah akan bertambah serius.

 Memberi mereka ganjaran mungkin membawa kesan negatif. Seorang bapa yang bernama Andrew berkata, “Untuk menggalakkan anak kami, kami memberinya ganjaran apabila dia mendapat markah tinggi.” Dia menyambung, “Tapi hal ini menyebabkannya berfokus kepada ganjaran sahaja. Apabila dia mendapat markah rendah, dia lebih kecewa kerana tidak mendapat hadiah, dan bukannya kerana tidak mendapat markah tinggi.”

 Menyalahkan guru tidak bermanfaat. Anak anda mungkin menyimpulkan bahawa dia tidak perlu berusaha untuk mendapatkan hasil yang baik. Dia juga mungkin berfikir bahawa dia boleh menyalahkan orang lain dan mengharapkan mereka untuk menyelesaikan masalahnya. Akibatnya, anak anda tidak akan belajar untuk bertanggungjawab atas tindakannya.

 Apa yang dapat anda lakukan

 Kawal perasaan anda. Jika anda sedang marah, jangan bercakap kepada anak anda tentang markahnya. Seorang bapa yang bernama Brett berkata bahawa cara yang terbaik untuk membantu anak mereka adalah dengan bersikap tenang dan menunjukkan empati.

 Prinsip Bible: “Cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata dan lambat naik marah.”​—Yakobus 1:19.

 Kenal pasti punca masalahnya. Biasanya, anak mendapat markah rendah kerana mereka dibuli, berpindah sekolah, terlalu risau tentang peperiksaan, masalah keluarga, tidak cukup tidur, tidak mengatur masa dengan baik, atau tidak dapat menumpukan perhatian. Jadi janganlah cepat-cepat menyimpulkan bahawa anak anda malas.

 Prinsip Bible: “Orang yang memperlihatkan pengertian akan berjaya.”​—Amsal 16:20.

 Bantu mereka untuk belajar. Buatlah jadual untuk masa belajar dan menyiapkan kerja rumah. Sediakanlah tempat belajar agar anak anda dapat melakukan kerja rumahnya tanpa gangguan (termasuk gangguan daripada TV atau telefon bimbit). Tetapkanlah masa belajar yang singkat agar anak anda dapat menumpukan perhatian. Hector, seorang bapa dari Jerman, berkata, “Jika ada peperiksaan, kami akan membuat ulang kaji sedikit demi sedikit setiap hari, dan bukannya menunggu sampai hari peperiksaan.”

 Prinsip Bible: “Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu.”​—Pengkhutbah 3:1.

 Galakkan mereka untuk menimba pengetahuan. Jika anak anda memahami bagaimana ilmu di sekolah dapat membantunya sekarang, dia mungkin akan lebih tergerak untuk belajar. Misalnya, matematik dapat membantunya merancang perbelanjaan wang sakunya.

 Prinsip Bible: “Hendaklah kamu memperoleh kebijaksanaan dan pengertian. . . . Junjunglah kebijaksanaan.”​—Amsal 4:​5, 8.

 Tip: Bantu anak anda untuk membuat kerja rumah, tetapi jangan membuat kerja rumah itu untuknya. Andrew mengakui, “Anak kami bergantung pada kami untuk menyiapkan kerja rumahnya dan tidak mahu menyiapkannya sendiri.” Ajarlah anak anda untuk menyiapkan kerja rumahnya sendiri.