Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Lidah Kucing

Lidah Kucing

 Kucing peliharaan ialah binatang yang suka menjaga kebersihan. Kucing menggunakan kira-kira 24 peratus daripada masanya untuk membersihkan diri. Oleh sebab kucing memiliki lidah yang menakjubkan, kucing dapat membersihkan diri dengan begitu baik sekali.

 Fikirkan: Permukaan lidah kucing mempunyai 290 papila. Papila berbentuk seperti duri yang menghadap ke belakang dan sekeras kuku manusia. Alur-alur yang terdapat pada setiap papila akan segera mengisi air liur semasa kucing memasukkan semula lidahnya ke dalam mulut. Semasa kucing menjilat bulunya, papila akan menyentuh bulu-bulu dan mengeluarkan air liur pada kulitnya.

Gambar papila yang dibesarkan

 Setiap hari, lidah kucing dapat membawa kira-kira 48 mililiter air liur ke kulit dan bulunya. Air liur kucing mengandungi enzim yang dapat menghancurkan kotoran. Apabila air liur kucing mengering, badannya akan menjadi lebih sejuk. Hal ini penting kerana kelenjar peluh kucing sedikit sahaja.

 Semasa papila terkena bulu yang tersimpul, papila akan masuk lebih dalam ke bahagian bulu itu, lalu menarik bahagian yang tersimpul dengan lebih kuat dan meleraikannya. Ketika kucing membersihkan diri, bahagian hujung papila dapat merangsang kulitnya. Semasa para penyelidik cuba mereka cipta sikat rambut, mereka meniru ciri-ciri yang terdapat pada lidah kucing. Tidak seperti sikat-sikat yang biasa, sikat ini mudah dibersihkan dan tidak perlu menggunakan banyak tenaga untuk meleraikan rambut yang kusut. Lidah kucing menjadi inspirasi bagi para penyelidik untuk menghasilkan rekaan yang dapat membersihkan permukaan yang berbulu dan kasar. Mereka juga mungkin dapat meningkatkan lagi cara untuk menyapu losen atau ubat pada kulit yang ditutupi bulu.

 Apakah pendapat anda? Adakah lidah kucing wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?