Lompat ke kandungan

Siapakah Lelaki Kaya dan Lazarus?

Siapakah Lelaki Kaya dan Lazarus?

Jawapan Bible

 Lelaki kaya dan Lazarus merupakan watak-watak dalam salah satu cerita Yesus. (Lukas 16:19-31) Dalam cerita ini, dua lelaki itu menggambarkan dua golongan orang: (1) pemimpin agama Yahudi yang sombong pada zaman Yesus dan (2) orang berhati jujur dan dipandang rendah yang menerima mesej Yesus.

Dalam rencana ini

 Apakah yang dikatakan Yesus tentang lelaki kaya dan Lazarus?

 Di Lukas bab 16, Yesus menggambarkan dua lelaki yang mengalami perubahan keadaan yang sangat besar.

 Inilah ringkasan cerita Yesus. Seorang lelaki kaya mempunyai hidup yang sangat mewah. Seorang pengemis yang bernama Lazarus pula duduk berdekatan dengan pagar lelaki kaya itu. Dia berharap untuk mendapatkan sisa makanan yang jatuh daripada meja lelaki kaya itu. Selepas beberapa waktu, Lazarus mati, dan malaikat-malaikat membawanya ke sisi Abraham. Kemudian, lelaki kaya itu juga mati dan dikebumikan. Dalam cerita itu, kedua-dua lelaki itu digambarkan dalam keadaan yang sedar selepas mereka mati. Lelaki kaya itu yang sudah mati kemudiannya diseksa oleh api yang bernyala. Dia memohon agar Abraham menghantar Lazarus untuk menyejukkan lidahnya dengan satu titisan air dari jari Lazarus. Abraham menolak permohonan lelaki kaya itu dan berkata bahawa mereka berdua telah mengalami perubahan keadaan yang menyeluruh dan jurang besar yang memisahkan mereka berdua telah terbentuk.

 Adakah cerita ini benar-benar berlaku?

 Tidak. Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk menyampaikan suatu pengajaran. Para cendekiawan mengesahkan bahawa cerita ini merupakan sebuah perumpamaan. Contohnya, tajuk kecil dalam Bible Luther edisi 1912 menyatakan bahawa cerita ini merupakan sebuah perumpamaan. Nota kaki dalam Jerusalem Bible, yang digunakan oleh orang Katolik, menyatakan bahawa ini ialah “perumpamaan dalam bentuk cerita yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan individu yang pernah hidup.”

 Adakah Yesus sedang mengajar tentang apa yang akan berlaku selepas seseorang mati? Adakah Yesus bermaksud bahawa sesetengah orang menderita di api neraka selepas mereka mati dan bahawa Abraham dan Lazarus berada di syurga? Terdapat beberapa fakta yang tidak menyokong hal-hal ini.

 Sebagai contoh:

  •   Jika lelaki kaya itu betul-betul diseksa di tempat berapi, bukankah titisan air di jari Lazarus akan tersejat dan hilang?

  •   Walaupun titisan air itu tidak tersejat, jika lelaki kaya itu benar-benar sedang menderita dalam api yang bernyala, dapatkah setitis air memberikannya kelegaan yang berkekalan?

  •   Apabila Yesus menceritakan perumpamaan ini, dia dengan jelas menyatakan bahawa pada waktu itu tiada sesiapa pun yang pernah naik ke syurga. Jadi, bagaimanakah Abraham boleh hidup di syurga pada waktu itu?—Yohanes 3:13.

 Adakah cerita ini menyokong ajaran api neraka?

 Tidak. Walaupun perumpamaan ini bukan kisah benar, sesetengah orang berfikir perumpamaan ini bererti bahawa orang baik pergi ke syurga dan orang jahat pula diseksa di api neraka. a

 Adakah kesimpulan itu munasabah? Tidak.

 Ajaran tentang api neraka tidak selaras dengan apa yang dikatakan Bible mengenai keadaan orang mati. Sebagai contoh, Bible tidak mengatakan bahawa semua orang baik yang telah mati akan hidup bahagia di syurga atau orang jahat akan diseksa di api neraka. Sebaliknya, Bible dengan jelas menyatakan, “Orang yang hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang mati tidak tahu apa-apa pun.”—Pengkhutbah 9:5.

 Apakah maksud sebenar cerita lelaki kaya dan Lazarus?

 Cerita ini menunjukkan bahawa perubahan keadaan yang menyeluruh akan berlaku kepada dua golongan orang itu.

 Lelaki kaya itu menggambarkan pemimpin agama Yahudi yang mempunyai sikap “cinta akan wang.” (Lukas 16:14) Mereka mendengar kata-kata Yesus tetapi menentang mesej yang disampaikannya. Pemimpin-pemimpin agama ini memandang rendah terhadap orang biasa.—Yohanes 7:49.

 Lazarus menggambarkan orang biasa yang menerima mesej Yesus tetapi dibenci oleh para pemimpin agama Yahudi.

 Perubahan keadaan yang besar telah terjadi kepada kedua-dua golongan tersebut.

  •   Para pemimpin agama Yahudi berfikir bahawa mereka diperkenankan Tuhan. Tetapi, mereka seolah-olah mati apabila Tuhan menolak mereka dan cara penyembahan mereka kerana enggan menerima mesej Yesus. Mereka turut berasa terseksa dengan mesej yang disampaikan Yesus dan para pengikutnya.—Matius 23:29, 30; Kisah 5:29-33.

  •   Orang biasa yang telah lama diabaikan oleh para pemimpin agama mereka, kini menikmati perkenan Tuhan. Ramai di antara mereka menerima mesej Yesus yang berdasarkan Bible dan meraih manfaat daripadanya. Sekarang, mereka berpeluang untuk menikmati perkenan Tuhan buat selama-lamanya.—Yohanes 17:3.

a Sesetengah terjemahan Bible menggunakan istilah “neraka” untuk menggambarkan lokasi lelaki kaya itu selepas dia mati. Namun, istilah Yunani asal (Hades) yang digunakan di Lukas 16:23 bermaksud tempat perkuburan manusia.