Lompat ke kandungan

Apakah Pandangan Bible tentang Mengasihi Diri Sendiri?

Apakah Pandangan Bible tentang Mengasihi Diri Sendiri?

Jawapan Bible

 Menurut Bible, kasih yang seimbang untuk diri sendiri memang wajar dan penting. Hal ini termasuk menjaga keperluan diri, menghormati diri, dan memiliki harga diri. (Matius 10:31) Daripada mengajar kita untuk mementingkan diri, Bible menunjukkan cara yang sesuai untuk mengasihi diri sendiri.

Siapakah yang harus kita paling kasihi?

  1.   Kita harus menunjukkan kasih terutamanya kepada Tuhan. Bible mengajar kita bahawa hukum yang terpenting ialah, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati.”​—Markus 12:28-​30; Ulangan 6:5.

  2.   Perintah yang kedua penting ialah: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”​—Markus 12:31; Imamat 19:18.

  3.   Bible tidak memberikan perintah untuk mengasihi diri sendiri secara spesifik. Namun Bible memberitahu kita untuk ‘mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri.’ Hal ini menunjukkan bahawa mengasihi dan menghormati diri sendiri dengan seimbang adalah wajar dan bermanfaat.

Siapakah yang paling dikasihi oleh Yesus?

 Yesus memperlihatkan kasih yang seimbang terhadap Tuhan, orang lain, dan diri sendiri. Dia juga mahu para pengikutnya meniru teladannya.​—Yohanes 13:34, 35.

  1.   Yesus paling mengasihi Tuhan Yehuwa dan dia membaktikan diri untuk melaksanakan kehendak Tuhan. Yesus berkata, “Aku melakukan apa yang diperintahkan oleh Bapa agar dunia tahu bahawa aku mengasihi Bapa.”​—Yohanes 14:31.

  2.   Yesus mengasihi orang lain. Dia menunjukkan kasihnya dengan menjaga kepentingan orang sehingga sanggup mengorbankan nyawanya demi mereka.​—Matius 20:28.

  3.   Yesus juga mengasihi diri sendiri. Dia meluangkan masa untuk berehat, makan, dan bergaul dengan para pengikutnya serta mereka yang mungkin menjadi muridnya.​—Markus 6:​31, 32; Lukas 5:​29; Yohanes 2:​1, 2; 12:2.

Dapatkah kita tetap bahagia atau mempunyai harga diri jika kita lebih mengasihi orang lain daripada diri sendiri?

 Ya, kerana kita diciptakan menurut gambaran Tuhan dan sifat utama Tuhan ialah kasih yang tidak mementingkan diri. (Kejadian 1:​27; 1 Yohanes 4:8) Maka kita diciptakan untuk menunjukkan kasih kepada orang lain. Walaupun mengasihi diri sendiri tidak salah, kita akan lebih bahagia jika kita mengasihi Tuhan dan berfokus untuk melakukan perkara baik kepada orang lain. Bible berkata, “Lebih bahagia memberi daripada menerima.”​—Kisah 20:35.

 Hari ini, kebanyakan orang berfikir bahawa mereka akan bahagia dengan mendahulukan kepentingan diri sendiri. Mereka lebih “mengasihi diri sendiri” daripada “mengasihi orang lain.” Namun, banyak pengalaman telah membuktikan bahawa seseorang akan menjadi lebih sihat dan bahagia dengan menerapkan nasihat Bible ini: “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.”​—1 Korintus 10:24.