Lompat ke kandungan

Siapakah Yohanes Pembaptis?

Siapakah Yohanes Pembaptis?

Jawapan Bible

 Yohanes Pembaptis ialah seorang nabi Tuhan. (Lukas 1:76) Dia dilahirkan pada tahun 2 SM dan hidup sehingga tahun 32 M. Tuhan telah memberinya tugas untuk menyediakan jalan bagi Mesias atau Kristus. Untuk berbuat demikian, Yohanes menyebarkan mesej Tuhan kepada orang Yahudi agar mereka bertaubat dan kembali kepada Tuhan.—Markus 1:1-4; Lukas 1:13, 16, 17.

 Mesej yang disebarkan oleh Yohanes telah membantu para pendengarnya yang berhati jujur untuk mengenal pasti bahawa Yesus yang datang dari Nasaret ialah Mesias yang dijanjikan. (Matius 11:10) Yohanes menyeru para pendengarnya untuk bertaubat daripada dosa mereka dan dibaptis sebagai tanda pertaubatan mereka. (Lukas 3:3-6) Oleh sebab dia telah membaptis banyak orang, dia dipanggil Yohanes Pembaptis. Pembaptisan Yesus ialah pembaptisan terpenting yang pernah dilakukan olehnya. aMarkus 1:9.

Dalam rencana ini

 Apakah yang membuat Yohanes Pembaptis istimewa?

 Peranannya telah dinubuatkan: Melalui kerja penyebarannya, Yohanes memenuhi nubuat tentang utusan Yehuwa. (Maleakhi 3:1; Matius 3:1-3) Yohanes membantu orang Yahudi bersedia untuk menerima mesej daripada wakil utama Tuhan Yehuwa, iaitu Yesus Kristus. Dengan itu, dia membuktikan bahawa dialah orang yang “mengumpulkan suatu umat yang sudah bersiap sedia untuk Yehuwa.”—Lukas 1:17.

 Penghormatan yang dimilikinya: Yesus berkata, “Antara orang yang dilahirkan, tiada yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Namun, orang yang berkedudukan rendah dalam Kerajaan di syurga lebih besar daripadanya.” (Matius 11:11) Yohanes bukan sahaja seorang nabi, tetapi juga “utusan” yang telah dinubuatkan. Oleh itu, tiada hamba Tuhan yang hidup sebelum Yohanes boleh dianggap lebih besar daripadanya. Namun, kata-kata Yesus juga menunjukkan bahawa Yohanes tidak akan menjadi raja dalam Kerajaan Tuhan di syurga. b Hal ini kerana nabi yang setia ini telah mati sebelum Kristus membuka jalan kepada kehidupan di syurga. (Ibrani 10:19, 20) Namun begitu, Yohanes akan menjadi rakyat Kerajaan Tuhan di bumi dengan harapan hidup kekal di Firdaus.—Mazmur 37:29; Lukas 23:43.

 Siapakah ibu bapa Yohanes Pembaptis?

 Ibu Yohanes Pembaptis bernama Elisabet manakala bapanya, yang merupakan seorang imam Yahudi, bernama Zakharia. Kelahiran Yohanes Pembaptis ialah suatu mukjizat kerana ibunya mandul. Selain itu, Bible berkata bahawa ibu bapanya “sudah lanjut usia.”—Lukas 1:5-7, 13.

 Siapakah yang menyebabkan kematian Yohanes Pembaptis?

 Raja Herodes Antipas telah mengarahkan agar kepala Yohanes dipenggal atas permintaan isterinya, Herodias. Herodias membenci Yohanes kerana Yohanes telah memberitahu Raja Herodes, yang mengakui dirinya seorang Yahudi, bahawa perkahwinannya dengan Herodias adalah tidak sah menurut hukum orang Yahudi.—Matius 14:1-12; Markus 6:16-19.

 Adakah Yohanes Pembaptis bersaing dengan Yesus?

 Tiada catatan dalam Bible yang menunjukkan bahawa Yohanes Pembaptis bersaing dengan Yesus. (Yohanes 3:25-30) Yohanes secara terang-terangan menyatakan bahawa dia bertanggungjawab untuk menyediakan jalan bagi Mesias, dan bukannya untuk bersaing dengannya. Dia berkata, “Aku datang untuk membaptis dengan air supaya dia dapat menampakkan dirinya di hadapan Israel. . . . Dialah Anak Tuhan.” (Yohanes 1:26-34) Yohanes sangat gembira apabila mendengar tentang kejayaan Yesus dalam kerja penyebaran.

a Yesus “tidak melakukan dosa.” (1 Petrus 2:21, 22) Maka, Yesus dibaptis bukan kerana dia perlu bertaubat. Sebaliknya, dia dibaptis kerana ingin mempersembahkan dirinya untuk melakukan kehendak Tuhan, termasuklah mengorbankan nyawanya bagi kita.—Ibrani 10:7-10.