Lompat ke kandungan

Apakah Tanda “Hari-Hari Terakhir,” atau “Akhir Zaman”?

Apakah Tanda “Hari-Hari Terakhir,” atau “Akhir Zaman”?

Jawapan Bible

 Bible telah menggambarkan peristiwa dan keadaan yang menandakan “penghujung sistem ini” atau “kesudahan dunia.” (Matius 24:3; Terjemahan Baru) Bible memanggil tempoh masa ini “hari-hari terakhir,” atau “akhir zaman.”—2 Timotius 3:1; Daniel 8:19; Alkitab Berita Baik.

Apakah sesetengah nubuat Bible tentang “hari-hari terakhir”?

 Bible menubuatkan banyak perkara yang menjadi “tanda” hari-hari terakhir. (Lukas 21:7) Perhatikan beberapa contoh:

 Peperangan di pelbagai tempat. Yesus bernubuat, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.” (Matius 24:7) Selain itu, Wahyu 6:4 menubuatkan bahawa penunggang kuda yang melambangkan peperangan akan “mengambil kedamaian dari bumi.”

 Kebuluran. Yesus bernubuat bahawa ‘kebuluran akan terjadi.’ (Matius 24:7) Buku Wahyu juga menubuatkan satu lagi penunggang kuda yang melambangkan kebuluran dalam skala yang besar.—Wahyu 6:5, 6.

 Gempa bumi yang dahsyat. Yesus kata bahawa “gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.” (Matius 24:7; Lukas 21:11) Gempa bumi yang dahsyat ini akan berlaku di serata dunia dan mengakibatkan lebih banyak penderitaan dan kematian.

 Wabak. Menurut Yesus, akan ada epidemik, atau “wabak yang dahsyat.”—Lukas 21:11, Alkitab Versi Borneo.

 Jenayah. Walaupun jenayah telah wujud selama ratusan tahun, Yesus bernubuat bahawa pada hari-hari terakhir, ‘kejahatan akan semakin bertambah.’—Matius 24:12.

 Manusia merosakkan bumi. Wahyu 11:18 menubuatkan bahawa manusia akan “merosakkan bumi.” Mereka berbuat demikian dalam pelbagai cara. Selain melakukan perbuatan yang ganas dan keji, mereka juga mencemarkan alam sekitar.

 Keruntuhan akhlak. Di 2 Timotius 3:1-4, Bible menubuatkan bahawa kebanyakan manusia ‘tidak tahu berterima kasih, tidak setia, tidak mahu dibawa berbincang, suka memfitnah, tidak tahu mengawal diri, garang, dan tidak mencintai kebaikan. Mereka juga suka berkhianat, keras kepala, dan sombong.’ Sikap sebegini akan semakin menjadi-jadi pada zaman ini. Maka, Bible menggambarkannya sebagai “masa genting yang sukar dihadapi.”

 Keruntuhan rumah tangga. Di 2 Timotius 3:2, 3, Bible menubuatkan bahawa kebanyakan orang “tidak memiliki kasih sayang” terhadap keluarga, dan anak-anak “tidak mematuhi ibu bapa.”

 Kasih kepada Tuhan semakin berkurang. Yesus bernubuat bahawa “kasih kebanyakan orang akan mendingin.” (Matius 24:12) Yesus memaksudkan bahawa kasih kebanyakan orang terhadap Tuhan akan semakin mendingin. Begitu juga, 2 Timotius 3:4 menyatakan bahawa pada hari-hari terakhir, orang sedemikian akan “mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.”

 Tidak hidup selaras dengan ajaran agama. Di 2 Timotius 3:5, Bible menubuatkan bahawa orang nampaknya beribadat kepada Tuhan, tetapi mereka tidak hidup sesuai dengan standard-Nya.

 Pemahaman yang semakin jelas tentang nubuat Bible. Buku Daniel menubuatkan bahawa pada “akhir zaman,” ramai orang akan memperoleh pemahaman yang lebih jelas dan tepat tentang kebenaran Bible, termasuklah nubuat Bible.—Daniel 12:4, nota kaki.

 Kerja penyebaran sedunia. Yesus bernubuat bahawa “berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi.”—Matius 24:14.

 Sikap tidak ambil peduli. Yesus bernubuat bahawa kebanyakan orang tidak akan mengambil peduli bukti-bukti bahawa akhir sudah dekat. (Matius 24:37-39) Bukan itu sahaja, 2 Petrus 3:3, 4 menubuatkan bahawa sesetengah orang akan memperolok-olokkan dan menafikan bukti itu.

 Semua nubuat menjadi kenyataan. Yesus kata bahawa pada hari-hari terakhir, semua nubuat ini, bukan hanya sesetengah atau kebanyakan daripadanya, akan menjadi kenyataan pada tempoh masa yang sama.—Matius 24:33.

Adakah kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir”?

 Ya. Keadaan dunia dan urutan peristiwa dalam Bible menunjukkan bahawa hari-hari terakhir bermula pada tahun 1914, iaitu semasa Perang Dunia Pertama tercetus. Untuk mengetahui bagaimana keadaan dunia membuktikan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir, lihatlah video berikut:

 Pada 1914, Kerajaan Tuhan mula memerintah di syurga. Kemudian, Syaitan Si Iblis dan roh-roh jahat diusir dari syurga dan dilemparkan ke bumi. Maka, pengaruh mereka hanya terbatas di bumi sahaja. (Wahyu 12:7-12) Pengaruh Syaitan atas manusia boleh dilihat daripada sikap dan perbuatan buruk orang. Inilah sebabnya hari-hari terakhir merupakan “masa genting yang sukar dihadapi.”—2 Timotius 3:1.

 Tidak hairanlah keadaan sebegini membuat banyak orang berasa sangat risau. Mereka juga bimbang akan masa depan umat manusia kerana masyarakat pada umumnya semakin berpecah belah.

 Meskipun begitu, sesetengah orang memiliki pandangan yang positif terhadap masa depan. Mereka yakin bahawa tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan bertindak untuk melenyapkan semua masalah dunia. (Daniel 2:44; Wahyu 21:3, 4) Sementara menantikan janji Tuhan menjadi kenyataan, mereka mendapat kelegaan daripada kata-kata Yesus ini: “Sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.”—Matius 24:13; Mikha 7:7.