Lompat ke kandungan

Apakah Itu “Tujuh Maha Dosa”?

Apakah Itu “Tujuh Maha Dosa”?

Jawapan Bible

 Bible tidak menyebut secara spesifik mengenai senarai “tujuh maha dosa.” Namun, Bible mengajarkan bahawa orang yang mengamalkan dosa yang serius tidak akan diselamatkan. Contohnya, Bible menyatakan bahawa dosa-dosa serius termasuk: Perbuatan seks yang tidak bermoral, penyembahan berhala, penggunaan ilmu sihir, ledakan kemarahan, dan kemabukan. Dosa-dosa tersebut merupakan “perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa.” Bible juga menyatakan, “Orang yang mengamalkan perbuatan sebegini tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.”​—Galatia 5:​19-​21. a

Bukankah Bible ada menyenaraikan “tujuh perkara yang dibenci oleh Tuhan”?

 Ya. Menurut Alkitab Versi Borneo, Amsal 6:​16 menyatakan, “Ada enam hal yang dibenci TUHAN, bahkan tujuh perkara yang menjadi kekejian bagi-Nya.” Namun perkara-perkara yang dianggap sebagai dosa tidak terhad kepada perkara-perkara yang disenaraikan dalam Amsal 6:​17-19. Sebaliknya, ayat-ayat itu menyebut tentang kategori-kategori perkara yang salah, termasuk dosa yang melibatkan fikiran, kata-kata, dan perbuatan seseorang. b

Apakah maksud ungkapan “dosa yang mengakibatkan orang kehilangan hidup”?

 Ungkapan ini dijumpai di 1 Yohanes 5:​16 dalam Alkitab Berita Baik, dan juga boleh diterjemahkan sebagai “dosa yang membawa kematian,” “dosa yang mendatangkan kematian,” atau “dosa yang mengakibatkan kematian.” Apakah perbezaan antara “dosa yang mengakibatkan kematian” dengan “dosa yang tidak mengakibatkan kematian”?​—1 Yohanes 5:​16.

 Bible jelas menyatakan bahawa upah dosa ialah kematian. Namun, kita dapat diselamatkan daripada dosa dan kematian melalui korban tebusan Yesus Kristus. (Roma 5:​12; 6:​23) Tetapi, Tuhan tidak akan menggunakan korban tebusan Kristus untuk menutupi “dosa yang mengakibatkan kematian.” Orang yang melakukan dosa sedemikian enggan berubah atau bertaubat dan nekad untuk mengikut haluan yang salah. Jadi dosa sebegitu ‘tidak akan diampunkan.’​—Matius 12:31; Lukas 12:10.

a Lima belas dosa serius yang disenaraikan di Galatia 5:​19-​21 bukanlah senarai yang lengkap. Setelah menyenaraikan dosa-dosa tersebut, Bible menyambung, “dan hal-hal seperti ini.” Oleh itu, pembaca perlu menggunakan daya pengertian mereka untuk mengenal pasti dosa-dosa lain yang termasuk dalam “hal-hal seperti ini.”

b Penggunaan angka di Amsal 6:​16 merupakan suatu gaya bahasa Ibrani. Angka pertama disebut untuk memberikan penekanan kepada angka yang kedua. Ungkapan sebegitu sering muncul dalam Ayat-Ayat Suci.​—Ayub 5:​19; Amsal 30:15, 18, 21.