Lompat ke kandungan

Pusat pendidikan Bible yang baharu di Cabreúva, Brazil. Sisipan atas: Para pelajar mengambil bahagian semasa perbincangan dalam bilik darjah

20 DISEMBER 2023
BRAZIL

Pusat Pendidikan Bible Dibuka di Brazil

Pusat Pendidikan Bible Dibuka di Brazil

Pada 3 Disember 2023, Saudara Eduardo Martines, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Brazil, telah memberikan ceramah pentahbisan bagi sebuah pusat pendidikan Bible yang baharu di Cabreúva, Brazil. Program itu berlangsung di sebuah Dewan Perhimpunan tempatan. Lebih daripada 2,400 saudara saudari telah menghadiri program pentahbisan secara bersemuka, manakala lebih daripada 4,900 orang menontonnya melalui persidangan video.

Kiri: Saudara Eduardo Martines menyampaikan ceramah pentahbisan. Atas kanan: Para hadirin sedang menikmati program pentahbisan. Bawah kanan: Para saudara yang sudah lama menjadi pengajar ditemu ramah semasa program itu

Pusat pendidikan Bible ini akan digunakan terutamanya untuk mengadakan Sekolah Latihan Penginjil dan Sekolah untuk Penyelia Litar dan Isteri Mereka. Sebanyak tiga kelas dapat diadakan dalam bangunan ini pada masa yang sama. Maka, hampir 600 pelajar boleh menghadiri sekolah teokratik setiap tahun.

Seorang pengajar mengadakan perbincangan dalam bilik darjah

Pada 2020, para saudara telah membeli sebuah hotel dan membuat pengubahsuaian agar dapat digunakan sebagai sebuah pusat pendidikan Bible. Semasa pandemik COVID-19 melanda, para sukarelawan mengikut garis panduan yang ditetapkan untuk melakukan kerja-kerja mereka. Kerja pengubahsuaian bagi tiga bilik darjah, 54 bilik kediaman, satu ruang makan, dan ruang pejabat telah disiapkan. Selepas kerja pembinaan tamat, aturan telah dibuat untuk menjemput orang di kawasan itu, termasuk pegawai tempatan, untuk melawat pusat tersebut. Tujuan rumah terbuka diadakan adalah supaya orang ramai dapat mengenali Saksi-Saksi Yehuwa dan kerja pendidikan Bible yang kita lakukan. Seorang pegawai yang melawat bangunan kita berkata, “Bangunan ini sangat cantik dan tinggi kualitinya. Jika kita buat sesuatu untuk Tuhan, inilah cara yang betul untuk melakukannya.”

Kiri: Lobi pusat pendidikan Bible yang baharu. Kanan: Bilik kediaman bagi pelajar

Saudara Rogério Braganholo yang telah membantu dalam kerja pengubahsuaian berkata, “Kami dapat lihat dengan jelas bahawa Yehuwa telah membimbing projek ini dari mula sampai akhir. Berkat-Nya menunjukkan betapa benar kata-kata di Mazmur 127:1. Ayat itu kata, ‘Jika bukan Yehuwa yang mendirikan rumah, sia-sialah usaha orang yang mendirikannya.’”

Kita bersukacita atas pusat pendidikan Bible yang baharu ini. Sudah tentu, persediaan ini akan bantu lebih ramai saudara saudari di Brazil untuk mengasah “seni mengajar.”—Titus 1:9.