Lompat ke kandungan

Sukarelawan pembinaan di luar pejabat cawangan Colombia

29 SEPTEMBER 2023
COLOMBIA

Lawatan Diadakan Lagi di Pejabat Cawangan Colombia yang Diubah Suai

Lawatan Diadakan Lagi di Pejabat Cawangan Colombia yang Diubah Suai

Sebuah projek pengubahsuaian yang berskala besar di pejabat cawangan Colombia telah siap baru-baru ini. Projek ini bermula pada Februari 2019 dan berakhir pada Mac 2023. Terdapat lebih daripada 200 saudara saudari, termasuk sukarelawan dari Amerika Syarikat, Australia, Chile, England, Kanada, dan Republik Dominika, yang menyertai kerja pengubahsuaian ini.

Seorang ibu dan anak lelakinya melawat pejabat cawangan Colombia yang baru diubah suai

Bermula 1 Jun 2023, para pengunjung dapat melawat pejabat cawangan yang baru diubah suai buat kali pertama. Saudara John Rodriguez, yang dibaptis semasa pandemik COVID-19, tidak pernah melawat pejabat cawangan Colombia. Dia kata, “Semua kerja yang dilakukan di sini mencerminkan kasih dan keagungan Yehuwa. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat menyertai organisasi-Nya.” Seorang lagi saudara berkata, “Saya sangat kagum dengan cara saudara saudari menggunakan bahan-bahan dan teknologi moden dalam projek ini. Ini membuktikan bahawa organisasi Yehuwa sedang berkembang maju.”

Pejabat cawangan Colombia terletak 42 kilometer dari Bogotá. Cawangan ini mengaturkan kerja-kerja teokratik di Bolivia dan Colombia. Selain itu, cawangan ini mencetak bahan bacaan bagi Colombia, Ecuador, Peru, dan Venezuela. Projek pengubahsuaian yang dilakukan baru-baru ini akan menyokong pertumbuhan yang pesat di kawasan-kawasan tersebut. Terdapat lebih daripada 350 bilik kediaman dan pejabat yang diubah suai, serta 156 pejabat baharu yang telah dibina. Bilik persidangan dan bilik darjah baharu juga dibina di pejabat cawangan. Hasilnya, terdapat lebih banyak tempat yang dapat dilawat.

Auditorium yang diubah suai di pejabat cawangan Colombia yang dapat menampung 420 hadirin. Sisipan: Sukarelawan sedang melakukan kerja pengubahsuaian di auditorium

Saudara Tait Boulais, koordinator jawatankuasa pembinaan ini, berkata, “Meskipun terdapat cabaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, Yehuwa tetap memberkati projek ini. Kami tidak mempunyai ahli pembinaan yang cukup. Tapi, para sukarelawan rela untuk belajar kemahiran baharu walaupun mereka tidak pernah melakukan kerja itu. Seperti umat Tuhan pada masa lampau, kami dapat lihat bagaimana kuasa suci Yehuwa membantu mereka menjadi mahir dalam kerja-kerja mereka.”

Kita yakin bahawa pejabat cawangan yang baru diubah suai ini akan terus menjaga keperluan saudara saudari kita dan menyokong pertumbuhan yang pesat di kawasan ini.—Kisah 1:8.