Lompat ke kandungan

Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Rusia. Penyiar dari beberapa lokasi sedang menonton program itu: (Dari atas kiri mengikut arah jam) Ukraine; Latvia; Astana, Kazakhstan; dan Almaty, Kazakhstan

31 MEI 2023
BERITA GLOBAL

Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Rusia

Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Rusia

Pada 27 Mei 2023, Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran seluruh Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Rusia (RSL). Ini ialah Bible lengkap pertama yang disediakan dalam RSL. Sejumlah 148 orang telah menghadiri program yang diadakan secara bersemuka. Tambahan lagi, terdapat 5,000 orang dari 15 negara yang menonton siaran langsung atau rakaman program ini. Sekarang, Bible ini terdapat di jw.org dan aplikasi JW Library Bahasa Isyarat.

Seorang saudara yang pekak berkata, “Semasa saya lihat ayat Bible dalam bahasa isyarat, saya dapat memerhatikan reaksi Yesus terhadap orang yang menderita. Itu amat menyentuh hati saya.”

Sebelum pengeluaran Bible dalam RSL, para Saksi yang pekak harus bergantung pada Bible bercetak dalam bahasa Rusia. Tetapi, ada yang rasa susah untuk memahaminya. Hal ini kerana mereka memerlukan gambaran atau penjelasan yang lebih terperinci. Inilah yang dapat dicapai melalui Bible dalam RSL.

Contohnya, di 1 Raja-Raja 17, balu dari Sarafat memberitahu Nabi Elia bahawa dia dan anaknya akan mati selepas menyantap makanan mereka. Sesetengah penyiar yang pekak sangka bahawa balu itu akan mati kerana makanannya sudah rosak atau mengandungi racun. Tetapi dalam Bible RSL, para penyiar dapat memahami dengan jelas bahawa itulah makanan terakhir balu tersebut.

Memandangkan RSL digunakan oleh orang daripada pelbagai budaya dan negara, para penterjemah perlu membuat pertimbangan yang baik semasa menterjemahkan istilah tertentu. Seorang penterjemah berkata, “Isyarat yang bermaksud ‘dosa’ di satu kawasan mungkin membawa maksud ‘Tuhan’ di kawasan lain. Bukan itu saja, isyarat yang bermaksud ‘para pengikut’ di satu kawasan mungkin bermaksud ‘terakhir’ atau ‘miskin’ di kawasan lain. Jadi, kami berusaha memilih isyarat yang paling dikenali.”

Kita tumpang gembira kerana saudara saudari kita yang menggunakan RSL telah mendapat hadiah istimewa ini. Kita bersyukur kepada Yehuwa atas kurniaan yang indah ini.—Amsal 10:22.