Lompat ke kandungan

25 OGOS 2023
MALAWI

Pengeluaran Terjemahan Dunia Baharu yang Dikemaskinikan dalam Bahasa Chichewa

Pengeluaran Terjemahan Dunia Baharu yang Dikemaskinikan dalam Bahasa Chichewa

Pada 18 Ogos 2023, Saudara Kenneth Cook, Jr., seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengeluarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Chichewa. Bible ini dikeluarkan pada hari pertama Konvensyen Serantau 2023 “Teruslah Bersabar!” yang diadakan di Dewan Perhimpunan Lilongwe di Lilongwe, Malawi. Para hadirin telah menerima salinan Bible masing-masing. Mereka juga boleh memuat turun Bible dalam bentuk digital menerusi Kotak JW.

Program ini disiarkan secara langsung melalui saluran satelit JW di dua stadium di bahagian tengah dan selatan Malawi, beberapa tapak perhimpunan yang terpencil, dan kebanyakan Dewan Perjumpaan di Malawi. Selain itu, program ini juga disiarkan di Dewan Perjumpaan dalam beberapa kawasan yang menuturkan bahasa Chichewa di Mozambique. Sebanyak 77,112 hadirin telah menikmati program ini di dua stadium berikut dan semua tapak perhimpunan yang terpencil. Terdapat ribuan lagi yang menonton program ini di Dewan Perjumpaan.

Bahasa Chichewa ialah bahasa kebangsaan Malawi dan dituturkan oleh lebih daripada 10 juta orang dalam negara ini. Bahasa ini juga dituturkan di beberapa tempat di Afrika Selatan, Mozambique, Zambia, dan Zimbabwe. Bible Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Chichewa telah dikeluarkan pada 2006, dan seluruh Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan pada 2010. Kini, saudara saudari sangat teruja untuk menerima keseluruhan Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Chichewa.

Seorang penyiar kata, “Ramai penutur bahasa Chichewa dalam kawasan penyebaran kami ada terjemahan Bible yang guna bahasa kuno. Apabila kami minta mereka untuk baca sesuatu dalam Bible mereka sendiri, selalunya mereka tidak faham apa maksud ayat tersebut. Edisi Bible Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan sangat senang untuk faham. Saya tidak sabar untuk menggunakannya dalam kerja penyebaran!”

Kita yakin bahawa Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu ini akan bantu saudara saudari dan orang yang berminat yang menuturkan bahasa Chichewa untuk meraih sukacita daripada “hukum Yehuwa.”—Mazmur 1:2.