Lompat ke kandungan

31 MEI 2018
RUSIA

Seorang Lagi Saksi-Saksi Yehuwa Dibicarakan di Rusia atas Tuduhan Kegiatan Ekstremis

Seorang Lagi Saksi-Saksi Yehuwa Dibicarakan di Rusia atas Tuduhan Kegiatan Ekstremis

Arkadya Akopyan ialah seorang pesara tukang jahit yang berumur 70 tahun, dan juga merupakan seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia telah dibicarakan di mahkamah selama setahun atas tuduhan kegiatan ekstremis. Jika disabitkan bersalah, dia akan dikenakan denda yang berat atau dijatuhkan hukuman penjara sehingga empat tahun.

Pihak pendakwa menuduh Encik Akopyan bahawa dia telah “menghasut kebencian terhadap agama lain.” Tuduhan ini adalah berdasarkan ceramah agama yang disampaikannya di sebuah Dewan Perjumpaan tempatan yang dia kerap hadiri selama bertahun-tahun. Di mahkamah, pihak pendakwa telah bergantung sepenuhnya pada keterangan palsu yang diberikan oleh enam orang yang bukan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka mendakwa bahawa Encik Akopyan telah membuat kenyataan fitnah semasa ceramahnya dan menuduh bahawa dia telah memberi mereka bahan bacaan yang berunsur “ekstremis” untuk diedarkan kepada orang lain.

Encik Akopyan dan orang lain yang mengenalinya menafikan kedua-dua tuduhan. Peguamnya mengemukakan bukti di mahkamah bahawa enam individu yang membuat tuduhan itu sebenarnya tidak berada di sekitar bangunan di mana Encik Akopyan menyampaikan ceramah itu. Dia juga menambah bahawa Saksi-Saksi Yehuwa tidak memberikan bahan bacaan keagamaan mereka secara sewenang-wenangnya kepada orang yang bukan Saksi untuk diedarkan kepada orang lain. Isteri Encik Akopyan, yang bernama Sonya, bukan seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Sonya memberitahu mahkamah semasa pemeriksaan balas bahawa mereka telah berkahwin selama 40 tahun, perkahwinan mereka bahagia, dan suaminya tidak pernah memaksa mana-mana saudara-mara mereka untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

Hakim Oleg Golovashko memerintahkan seorang pakar untuk mengkaji pernyataan yang dibuat oleh Encik Akopyan semasa ceramahnya untuk menentukan sama ada dia telah ‘menghasut kebencian terhadap agama lain.’ Semasa perbicaraan pada 15 Mei 2018, hakim menyatakan bahawa kajian pakar itu akan disiapkan pada bulan September 2018 tetapi perbicaraan akan diteruskan sementara menunggu hasil kajian itu. Sesi perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 5 Jun, dan pada masa itu Encik Akopyan akan disoal balas. Walaupun dia tidak ditahan sebelum dibicarakan, Encik Akopyan tetap dihalang keluar negara sejak perbicaraannya bermula pada Mei 2017 di Mahkamah Daerah Prokhladny.

Gregory Allen, Pembantu Penasihat Undang-Undang bagi Saksi-Saksi Yehuwa, menyatakan, “Encik Akopyan merupakan seorang lagi mangsa akibat pendirian Rusia untuk menyalahgunakan undang-undang mengenai ekstremis untuk menentang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia tidak bersalah, dan merupakan seorang warganegara yang mematuhi undang-undang. Dia hanya ingin menyembah Tuhan dengan aman. Tindakan kerajaan untuk menentang Saksi-Saksi Yehuwa telah membuat semua Saksi berasa terancam, dan menjejaskan kedamaian sosial di negara ini.”

Encik Akopyan adalah Saksi kedua di Rusia yang sedang didakwa secara tidak adil atas tuduhan terlibat dalam “kegiatan ekstremis.” Perbicaraan jenayah Dennis Christensen, seorang Saksi di Oryol, telah bermula pada Februari 2018. Dia telah ditahan selama setahun sebelum dibicarakan, dan mungkin dipenjarakan sehingga 10 tahun jika disabitkan bersalah. * Tujuh orang Saksi lagi kini ditahan sebelum dibicarakan di pelbagai kawasan di Rusia walaupun mereka belum didakwa secara rasmi.

^ Kedua-dua lelaki itu didakwa di bawah Kanun Jenayah tetapi di bawah artikel yang berlainan. Encik Akopyan didakwa mengikut Artikel 282(1) kerana dituduh menghasut kebencian terhadap agama lain. Dennis Christensen didakwa melanggar Artikel 282.2(1) Kanun Jenayah kerana dituduh menganjurkan aktiviti organisasi keagamaan yang telah diisytiharkan sebagai ekstremis. Kesalahan ini membawa hukuman yang lebih berat.