Satu Korintus 15:1-58

  • Pembangkitan Kristus (1-11)

  • Pembangkitan ialah asas iman (12-19)

  • Pembangkitan Kristus memberi jaminan (20-34)

  • Tubuh jasmani, tubuh rohani (35-49)

  • Tubuh yang tidak dapat mati dan tidak dapat musnah (50-57)

  • Sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan (58)

15  Saudara-saudara, sekarang aku ingin mengingatkan kamu tentang berita baik yang telah aku isytiharkan kepada kamu.+ Kamu telah menerimanya dan berpegang teguh padanya.  Jika kamu terus berpegang teguh pada berita baik yang aku isytiharkan kepada kamu, kamu dapat diselamatkan melalui berita baik itu. Jika tidak, sia-sia sahaja kamu menjadi pengikut Yesus.  Apa yang sudah aku terima, itulah yang aku sampaikan kepada kamu. Antara perkara yang terpenting ialah: Kristus telah mati untuk dosa kita seperti yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci.+  Kemudian, dia dimakamkan+ lalu dibangkitkan+ pada hari ketiga+ seperti yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci.+  Sesudah itu, dia telah menampakkan diri kepada Kefas,*+ dan kemudian kepada 12 orang rasul.+  Selepas itu, dia menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang saudara sekali gus.+ Kebanyakan daripada mereka masih bersama kita, tetapi ada yang sudah tidur dalam kematian.  Setelah itu, dia menampakkan diri kepada Yakobus,+ dan kemudian kepada semua rasul.+  Akhir sekali dia juga menampakkan diri kepadaku,+ yang seperti seorang bayi yang tidak cukup bulan.  Dalam kalangan para rasul, akulah yang paling tidak penting. Aku tidak layak dipanggil rasul, kerana aku pernah menganiaya sidang Tuhan.+ 10  Tetapi aku dapat melakukan tugas yang diberikan kepadaku kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul. Kebaikan hati-Nya yang ditunjukkan kepadaku tidak sia-sia, kerana aku bekerja lebih keras daripada mereka semua. Namun, hal ini bukanlah kerana usahaku sendiri, tetapi kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul sentiasa menyertai aku. 11  Walaupun demikian, kami semua—baik aku mahupun mereka—menyebarkan perkhabaran dalam cara yang sama, dan begitulah caranya kamu telah mempercayai perkhabaran itu. 12  Berita bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian sedang disebarkan.+ Jadi mengapakah sesetengah orang dalam kalangan kamu mengatakan bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan? 13  Jika orang mati memang tidak akan dibangkitkan, hal ini bererti Kristus pun tidak dibangkitkan. 14  Jika Kristus tidak dibangkitkan, maka kerja penyebaran kita sia-sia sahaja, dan iman kamu juga sia-sia sahaja. 15  Hal ini juga bermaksud kita memberikan kesaksian palsu tentang Tuhan,+ kerana kita memberikan kesaksian dengan mengatakan bahawa Tuhan telah membangkitkan Kristus.+ Jika orang mati memang tidak akan dibangkitkan, hal ini bererti Tuhan juga tidak membangkitkan Kristus. 16  Jika orang mati tidak akan dibangkitkan, hal ini bererti Kristus juga tidak dibangkitkan. 17  Jika Kristus tidak dibangkitkan, iman kamu sia-sia sahaja, dan kamu tetap hidup dalam dosa.+ 18  Hal ini juga bermaksud pengikut Kristus yang sudah tidur dalam kematian turut lenyap sama sekali.+ 19  Jika harapan kita kepada Kristus hanyalah untuk kehidupan sekarang, maka kitalah orang yang paling kasihan antara semua orang yang lain. 20  Tetapi sekarang, Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Dalam kalangan mereka yang sudah tidur dalam kematian, dialah orang* pertama yang dibangkitkan.+ 21  Sebagaimana kematian datang melalui satu orang,+ begitu juga orang mati dibangkitkan melalui satu orang.+ 22  Sebagaimana semua orang mati kerana Adam,+ begitu juga semua orang akan dihidupkan kerana Kristus.+ 23  Namun, setiap orang dihidupkan menurut giliran masing-masing: Kristus ialah orang* yang pertama,+ kemudian mereka yang menjadi milik Kristus akan dibangkitkan semasa kehadirannya.+ 24  Kemudian, pada akhirnya, dia akan menyerahkan Kerajaannya kepada Tuhan dan Bapanya setelah dia meniadakan semua kerajaan dan kuasa.+ 25  Kristus akan terus memerintah sebagai raja sehingga Tuhan meletakkan semua musuh di bawah kakinya.+ 26  Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah kematian.+ 27  Tuhan telah “menundukkan segala sesuatu di bawah kakinya.”+ Tetapi jelaslah bahawa kata ‘segala sesuatu yang ditundukkan’+ itu tidak termasuk Tuhan yang menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya.+ 28  Setelah segala sesuatu ditundukkan kepadanya, Anak sendiri akan tunduk kepada Tuhan yang menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya.+ Dengan ini, Tuhan akan menjadi satu-satunya Pemerintah atas semuanya.*+ 29  Jika orang mati tidak akan dibangkitkan, apakah yang akan berlaku kepada mereka yang dibaptis untuk menjadi orang mati?+ Mengapakah mereka dibaptis untuk menjadi orang mati? 30  Mengapakah kita juga diancam bahaya setiap masa?+ 31  Saudara-saudara, aku menghadapi maut setiap hari. Aku bersumpah bahawa hal itu benar, sebagaimana aku bersumpah bahawa aku berbangga dengan kamu yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Tuan kita. 32  Apa gunanya aku melawan binatang buas di Efesus+ seperti yang dilakukan oleh orang lain?* Jika orang mati tidak akan dibangkitkan, maka “marilah kita makan dan minum kerana esok kita akan mati.”+ 33  Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak* yang baik.+ 34  Hendaklah kamu sedar dan melakukan apa yang benar, dan janganlah mengamalkan perbuatan berdosa, kerana sesetengah orang dalam kalangan kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. Aku berkata demikian supaya kamu berasa malu. 35  Namun, mungkin ada orang bertanya, “Bagaimanakah orang mati akan dibangkitkan? Tubuh apa yang dimiliki mereka semasa mereka dibangkitkan?”+ 36  Hai orang yang tidak munasabah, benih yang kamu tanam tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati terlebih dahulu. 37  Apa yang kamu tanam itu hanyalah benih, sama ada benih gandum atau benih yang lain, dan bukannya seluruh tumbuhan* yang sudah membesar. 38  Namun, Tuhan telah membuat benih itu bertumbuh seperti yang dikehendaki-Nya, dan setiap benih yang tumbuh tidak sama. 39  Tubuh segala makhluk hidup tidak semuanya sama. Tubuh manusia, haiwan ternakan, burung, dan ikan, semuanya berbeza. 40  Makhluk yang tinggal di syurga mempunyai tubuh yang berbeza+ daripada makhluk yang tinggal di bumi.+ Keindahan makhluk yang tinggal di syurga berbeza daripada keindahan makhluk yang tinggal di bumi. 41  Matahari, bulan, dan bintang-bintang, mempunyai keindahan masing-masing.+ Sebenarnya, setiap bintang juga mempunyai keindahan yang tersendiri. 42  Demikianlah halnya dengan pembangkitan orang mati. Seperti benih, tubuh yang ditanam dapat musnah tetapi tubuh yang dibangkitkan tidak dapat musnah.+ 43  Semasa ditanam, tubuh itu lemah dan dipandang hina, tetapi semasa dibangkitkan, tubuh itu berkuasa dan dipandang mulia.+ 44  Semasa ditanam, tubuh itu tubuh jasmani, tetapi semasa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga. 45  Seperti yang tertulis, “Adam, manusia yang pertama itu, telah menjadi orang yang hidup.”+ Adam yang terakhir pula menjadi roh yang memberikan hidup.+ 46  Namun, yang pertama itu bertubuh jasmani, dan bukannya bertubuh rohani. Yang kemudiannya itu bertubuh rohani. 47  Orang yang pertama berasal dari bumi dan dijadikan daripada tanah.+ Orang yang kedua pula berasal dari syurga.+ 48  Mereka yang berada di dunia ini adalah seperti dia yang dijadikan daripada tanah, dan mereka yang berada di syurga adalah seperti dia yang berasal dari syurga.+ 49  Sebagaimana kita menyerupai dia yang dijadikan daripada tanah,+ kelak kita juga akan menyerupai dia yang berasal dari syurga.+ 50  Saudara-saudara, aku ingin memberitahu kamu bahawa tubuh yang dijadikan daripada darah dan daging tidak boleh mewarisi Kerajaan Tuhan. Begitu juga, apa yang dapat musnah tidak boleh mewarisi apa yang tidak dapat musnah. 51  Lihatlah! Aku memberitahu kamu rahsia suci ini: Bukan semua orang dalam kalangan kita yang akan tidur dalam kematian. Sebaliknya, kita semua akan diubah+ 52  dalam masa yang singkat, iaitu dalam sekelip mata. Hal itu akan berlaku semasa trompet yang terakhir dibunyikan.+ Ketika trompet itu dibunyikan, kita akan diubah dan orang mati juga akan dibangkitkan lalu diberi tubuh yang tidak dapat musnah. 53  Tubuh yang dapat musnah akan diubah menjadi tubuh yang tidak dapat musnah,+ dan tubuh yang dapat mati akan diubah menjadi tubuh yang tidak dapat mati.+ 54  Ketika tubuh yang dapat musnah diubah menjadi tubuh yang tidak dapat musnah, dan tubuh yang dapat mati diubah menjadi tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah seperti yang tertulis, “Kematian sudah ditelan buat selama-lamanya.”+ 55  “Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?”+ 56  Sengat yang membawa maut ialah dosa,+ dan dosa mendapat kuasanya daripada Hukum.+ 57  Tetapi syukurlah kepada Tuhan kerana Dia memberi kita kemenangan menerusi Tuan kita, Yesus Kristus!+ 58  Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh+ dan tidak tergoyah. Hendaklah kamu sentiasa sibuk+ dalam khidmat Tuan kita, kerana kamu tahu bahawa usaha kamu dalam khidmat Tuan kita tidak sia-sia.+

Nota Kaki

Juga dipanggil Petrus.
Harfiah, “hasil.”
Harfiah, “hasil.”
Atau “menjadi segala sesuatu bagi setiap orang.”
Atau mungkin, “Dari sudut pandangan manusia, apa gunanya aku melawan binatang buas di Efesus?”
Atau “tabiat.”
Harfiah, “tubuh.”