Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Bertekad untuk Hidup sebagai Askar Kristus

Bertekad untuk Hidup sebagai Askar Kristus

Saya berlindung di belakang sebatang pokok sementara askar-askar menembak ke arah saya. Apabila saya mengangkat sehelai sapu tangan putih, mereka menyuruh saya keluar. Ketika itu, saya tidak tahu sama ada saya akan hidup atau mati. Mengapakah saya berada dalam situasi ini?

PADA tahun 1926, saya dilahirkan ke dunia ini. Ibu bapa saya mempunyai lapan orang anak, dan saya ialah anak yang ketujuh. Kami tinggal di Karítsa, sebuah kampung di Greece.

Setahun sebelum saya lahir, John Papparizos, seorang Pelajar Bible (nama Saksi-Saksi Yehuwa dahulu) yang bersemangat dan petah bercakap, telah melawat ibu bapa saya. Mereka sangat kagum dengan ajaran Bible yang dijelaskan olehnya dan mula menghadiri perjumpaan Pelajar Bible di kampung kami. Mak sangat beriman kepada Yehuwa. Biarpun dia buta huruf, dia masih mencari peluang untuk menginjil. Namun, ayah kemudiannya berhenti menghadiri perjumpaan kerana dia bertumpu kepada kelemahan orang lain.

Saya dan adik-beradik saya menghormati Bible tetapi kami lebih berminat dengan hobi sendiri. Pada tahun 1939, Perang Dunia Kedua tercetus di Eropah. Nicolas Psarras, sepupu saya yang tinggal berdekatan, dikerah masuk tentera Greece. Nicolas baru dibaptis, dan dia berumur 20 tahun. Namun, dengan berani dia berkata kepada pihak tentera, “Saya tidak boleh berperang kerana saya askar Kristus.” Setelah dibicarakan, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun. Kami terkejut mendengarnya!

Pada awal tahun 1941, tentera Kuasa Bersekutu memasuki Greece buat seketika, dan Nicolas telah dibebaskan. Semasa dia pulang ke Karítsa, abang saya Ilias menanya dia banyak soalan Bible, dan saya juga mendengar perbincangan mereka dengan teliti. Ilias, saya, dan adik bongsu kami Efmorfia, mula belajar Bible dan menghadiri perjumpaan dengan tetap. Tahun berikutnya, kami membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Empat orang adik-beradik kami yang lain kemudiannya juga menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

Pada tahun 1942, Sidang Karítsa mempunyai sembilan orang saudara saudari yang berumur antara 15 hingga 25 tahun. Memandangkan cubaan yang besar akan tiba, kami selalu berkumpul untuk mengkaji Bible, menyanyi lagu teokratik, dan berdoa, supaya iman kami dikukuhkan.

Demetrius bersama saudara saudari di Karítsa

PERANG SAUDARA

Pada hujung Perang Dunia Kedua, komunis bangkit menentang kerajaan Greece, maka tercetuslah perang saudara. Pasukan askar komunis di kawasan desa mula memaksa penduduk kampung untuk menyertai mereka. Mereka menyerbu kampung kami dan menculik tiga orang Saksi muda, iaitu Antonio Tsoukaris, Ilias, dan saya. Kami menyatakan bahawa kami orang Kristian yang neutral dan merayu agar dilepaskan. Tetapi mereka memaksa kami berjalan ke Gunung Olympus yang terletak kira-kira 12 jam dari kampung kami.

Di situ, seorang pegawai menyuruh kami untuk menyertai unit serbuan mereka. Tetapi apabila kami menjelaskan bahawa orang Kristian sejati tidak akan menyerang orang lain, dia naik marah dan membawa kami menghadap jeneralnya. Setelah mendengar penjelasan kami, jeneral itu berkata, “Kalau begitu, ambil seekor keldai dan bawa askar yang tercedera ke hospital.”

Kami menjawab, “Tapi jika tentera kerajaan tangkap kami, mereka pasti akan fikir kami ialah askar.” Jeneral itu pun berkata, “Kalau begitu, hantarlah makanan kepada askar di barisan depan.” Kami menjawab lagi, “Nanti pegawai lain akan suruh kami angkut senjata pula.” Setelah berfikir panjang, akhirnya jeneral itu berseru, “Kamu pergi jaga biri-biri di gunung sajalah!”

Hati nurani kami bertiga mengizinkan kami berbuat demikian. Maka kami menjaga biri-biri sewaktu perang saudara berlangsung. Setahun kemudian, Ilias dibenarkan pulang untuk menjaga ibu yang sudah menjadi balu kerana dia anak sulung. Antonio pula jatuh sakit dan dilepaskan juga. Tetapi saya masih ditahan.

Apabila tentera Greece mula mengalahkan pihak komunis, kumpulan askar yang menangkap saya merancang untuk melarikan diri ke Albania dengan menggunakan jalan gunung. Semasa kami menghampiri sempadan, tiba-tiba askar Greece mengepung kami. Askar komunis semuanya lari lintang-pukang, manakala saya bersembunyi di belakang pokok. Itulah situasi saya yang digambarkan tadi.

Apabila saya memberitahu askar Greece bahawa saya ditangkap oleh komunis, mereka membawa saya untuk disoal di kem tentera yang terletak berhampiran Véroia, iaitu kota Berea yang disebut dalam Bible. Saya disuruh menggali parit untuk askar, tetapi saya menolak, lalu pegawai askar mengarahkan agar saya dibuang ke Pulau Makrónisos (Makronisi), sebuah pulau untuk menempatkan banduan.

PULAU YANG MENAKUTKAN

Pulau Makrónisos ialah sebuah tempat gersang dan berbatu yang terletak berhampiran pinggir pantai Attica, kira-kira 50 km dari Athens. Pulau itu hanya 13 km panjang dan 2.5 km lebar. Antara tahun 1947 hingga 1958, lebih daripada 100,000 orang banduan dibuang ke situ, termasuk ahli komunis, orang yang disyaki menyertai komunis, bekas penentang, dan banyak Saksi yang setia.

Semasa saya tiba di situ pada awal tahun 1949, para banduan dikurung di beberapa kem. Saya ditempatkan di sebuah kem yang mempunyai beberapa ratus orang banduan lain. Hampir 40 orang tidur di atas tanah di dalam khemah yang sepatutnya digunakan oleh 10 orang. Kami minum air yang tercemar, dan makanan kami biasanya ialah kekacang dan terung. Kami sengsara kerana sentiasa dilanda tiupan angin yang berdebu. Tetapi ada banduan yang lebih malang lagi. Mereka dipaksa menyeret batu ke sana sini tanpa henti sehingga jatuh sakit secara fizikal dan mental.

Bersama saudara-saudara lain semasa ditahan di Pulau Makrónisos

Suatu hari semasa berjalan di pantai, saya menemui beberapa Saksi dari kem lain. Kami sangat gembira dan ingin bertemu lagi, tetapi kami berbuat demikian dengan cermat. Kami juga menginjil kepada banduan lain dengan hati-hati, dan ada antara mereka yang menjadi Saksi pada kemudian hari. Semua kegiatan itu dan doa yang tekun telah memelihara kerohanian kami.

DIUJI DALAM RELAU BERAPI

Selepas 10 bulan, saya disuruh memakai pakaian seragam tentera, tetapi saya menolak. Semasa saya dibawa kepada komander kem, saya memberinya penyataan bertulis ini: “Saya hanya akan menjadi askar Kristus.” Komander itu mengancam saya lalu menyerahkan saya kepada pegawai kanannya, iaitu seorang ketua uskup Ortodoks. Setelah saya menjawab semua soalannya berdasarkan Bible, dia berteriak dengan marah, “Bawa orang fanatik ini keluar!”

Keesokan paginya, saya disuruh memakai pakaian tentera lagi. Apabila saya menolak, saya ditumbuk dan dipukul dengan belantan kayu. Setelah doktor memastikan bahawa tulang saya tidak patah, saya diseret ke khemah saya. Layanan itu berterusan setiap hari untuk dua bulan.

Memandangkan saya enggan berkompromi, askar-askar mencuba taktik lain. Mereka mengikat tangan saya di belakang saya dan menyebat tapak kaki saya dengan tali. Sambil menahan kesakitan yang menusuk, saya mengingat kata-kata Yesus: ‘Berbahagialah kamu apabila orang menghina dan menganiaya kamu. Hendaklah kamu bergembira dan melimpah dengan sukacita, kerana ganjaran kamu besar di syurga. Ingatlah bahawa nabi-nabi sebelum kamu juga dianiaya dalam cara yang sama.’ (Mat. 5:11, 12) Setelah beberapa lama, saya pun pengsan.

Semasa saya sedar, saya berada di dalam penjara yang sejuk tanpa makanan, air, atau selimut. Namun, saya berasa tenang kerana ‘kesejahteraan daripada Tuhan menjaga hati dan fikiran’ saya. (Flp. 4:7) Keesokan hari, seorang askar yang baik hati memberi saya makanan, air, dan jaket. Seorang lagi askar memberi saya bekalannya. Saya sentiasa merasai jagaan dan kasih Yehuwa.

Pihak kerajaan menganggap saya sebagai pemberontak dan mendakwa saya di mahkamah tentera di Athens. Saya dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun di Pulau Yíaros (Gyaros), yang terletak 50 km ke arah timur Makrónisos.

“KAMU DAPAT DIPERCAYAI”

Penjara Yíaros merupakan sebuah kubu besar. Lebih daripada 5,000 banduan politik dikurung di situ, termasuk tujuh orang Saksi yang dipenjarakan kerana keneutralan mereka. Walaupun dilarang, kami semua berkumpul secara bersembunyi untuk belajar Bible. Kami menerima majalah Menara Pengawal yang diseludupkan secara tetap, dan kami menyalinnya untuk pembelajaran kami.

Pada suatu hari, semasa kami sedang belajar, seorang pengawal nampak kami dan merampas bahan bacaan kami. Kami dipanggil ke pejabat pembantu warden. Kami sangka bahawa tempoh hukuman kami akan dipanjangkan, tetapi warden itu berkata, “Kami tahu siapa kamu dan kami menghormati pendirian kamu. Kamu dapat dipercayai. Teruskan kerja kamu.” Dia bahkan memberi kami tugas yang lebih senang. Kami sangat bersyukur kepada Yehuwa. Kesetiaan kami telah membawa pujian kepada-Nya.

Teladan baik kami juga diperhatikan orang lain. Seorang banduan yang merupakan profesor matematik telah bertanya tentang kepercayaan kami. Semasa semua Saksi dibebaskan pada awal tahun 1951, dia juga dibebaskan. Kemudian, dia dibaptis dan menjadi penginjil sepenuh masa.

TETAP HIDUP SEBAGAI ASKAR KRISTUS

Bersama isteri saya Janette

Setelah dibebaskan, saya pulang kepada keluarga saya di Karítsa. Kemudian, saya berhijrah ke Melbourne, Australia. Di sana, saya berjumpa dan mengahwini Janette, seorang saudari yang baik. Kami membesarkan empat orang anak menurut haluan Kristian.

Kini, saya berusia lebih daripada 90 tahun. Tetapi saya masih aktif dan berkhidmat sebagai penatua. Kadangkala, badan dan kaki saya sakit kerana kecederaan lama, terutamanya selepas menginjil. Namun, azam saya untuk menjadi “askar Kristus Yesus” tidak pernah menjadi pudar.​—2 Tim. 2:3.