Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Marilah Kita Sentiasa Menunjukkan Kebaikan Hati

Marilah Kita Sentiasa Menunjukkan Kebaikan Hati

SEMASA menceritakan apa yang membuatnya mula tertarik kepada kebenaran, Lisa berkata, “Kebaikan hati saudara saudari paling menyentuh hati saya.” * Begitu juga dengan Anne. Dia berkata, “Saya tertarik kepada kebenaran pada mulanya bukan kerana ajaran para Saksi, tetapi kerana kebaikan hati mereka.” Kini, dua orang saudari ini suka membaca dan merenungkan Bible, tetapi semuanya bermula kerana ada orang menunjukkan kebaikan hati kepada mereka.

Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kebaikan hati dalam cara yang menyentuh hati orang di sekeliling kita? Kita akan bincang dua cara, iaitu melalui pertuturan dan perbuatan kita. Kemudian kita akan bincang kita harus menunjukkan kebaikan hati kepada siapa.

“SENTIASA MENUNJUKKAN KEBAIKAN” SEMASA BERCAKAP

Amsal bab 31 menggambarkan seorang isteri yang cekap, yang “sentiasa menunjukkan kebaikan semasa dia mengajar.” (Ams. 31:26) Sebelum bercakap, dia memastikan apa yang hendak dikatakannya dan cara dia hendak mengatakannya menunjukkan kebaikan hati. Para bapa juga perlu berbuat demikian. Kebanyakan ibu bapa tahu bahawa jika mereka mengucapkan kata-kata yang tajam dan bersikap kasar semasa bercakap, hal itu akan membawa kesan negatif kepada anak mereka, dan kemungkinan besar anak mereka tidak akan mendengar cakap mereka. Sebaliknya, jika ibu bapa menunjukkan kebaikan hati semasa bercakap, anak-anak akan berasa lebih mudah untuk mematuhi mereka.

Tidak kira anda ialah ibu bapa atau tidak, bagaimanakah anda dapat sentiasa menunjukkan kebaikan hati semasa bercakap? Perhatikan apa yang dikatakan dalam bahagian pertama Amsal 31:26: “Dia mengucapkan kata-kata bijak.” Hal ini bermaksud kita harus memilih kata-kata dan nada suara dengan cermat sebelum bercakap. Tanyalah diri, “Adakah apa yang hendak saya katakan akan membangkitkan atau meredakan kemarahan?” (Ams. 15:1) Ya, orang yang bijak akan berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap.

Satu lagi amsal menyatakan, “Kata-kata yang melulu ibarat tikaman pedang.” (Ams. 12:18) Apabila kita memikirkan kesan kata-kata dan nada suara kita terhadap orang lain, hal itu dapat mendorong kita untuk mengawal lidah kita. Jika kita “sentiasa menunjukkan kebaikan” semasa bercakap, kita tidak akan menggunakan kata-kata yang tajam atau bersikap kasar. (Ef. 4:31, 32) Sebaliknya, kita akan membuang fikiran dan kata-kata yang negatif dan menggantikannya dengan kata-kata yang positif dan nada yang mesra. Perhatikan teladan Yehuwa semasa Dia bercakap kepada Elia yang sedang ketakutan. Malaikat yang mewakili Yehuwa telah bercakap kepada Elia dalam “suara yang tenang dan lembut.” (1 Raj. 19:12) Namun kita ingin menunjukkan kebaikan hati, bukan sahaja melalui pertuturan tetapi juga melalui tindakan. Bagaimana?

PERBUATAN BAIK YANG MENYENTUH HATI ORANG

Apabila kita meniru Yehuwa, kita bukan sahaja ingin menunjukkan kebaikan hati melalui kata-kata, tetapi juga melalui tindakan. (Ef. 4:32; 5:1, 2) Lisa, yang disebut di awal rencana, menggambarkan bagaimana para Saksi menunjukkan kebaikan hati kepadanya. Dia berkata, “Semasa keluarga kami tiba-tiba disuruh berpindah, dua pasangan di sidang telah mengambil cuti untuk membantu kami mengemaskan barang. Masa itu, saya belum lagi belajar Bible!” Perbuatan baik mereka telah membuat Lisa ingin mempelajari kebenaran.

Anne, yang disebut tadi, juga menghargai kebaikan hati para Saksi. Dia berkata, “Keadaan dunia membuat saya berasa sangat susah untuk mempercayai orang. Jadi, semasa saya berjumpa dengan para Saksi, saya tidak mempercayai mereka dan asyik berfikir, ‘Kenapa mereka begitu baik dengan saya?’ Namun selepas saya melihat bahawa guru Bible saya memang ikhlas, saya mula mempercayainya.” Apakah hasilnya? Anne berkata, “Daripada tertanya-tanya, ‘Apakah motif mereka?’, saya lebih bertumpu kepada ajaran Bible.”

Perbuatan baik saudara saudari telah menyentuh hati Lisa dan Anne, dan menggerakkan mereka untuk mempercayai Yehuwa dan umat-Nya. Hasilnya, mereka didorong untuk mempelajari kebenaran.

MENIRU CARA TUHAN MENUNJUKKAN KEBAIKAN HATI

Sesetengah orang mungkin bersikap sopan, sering menggunakan kata-kata yang lembut, dan selalu bersenyum, kerana itulah sebahagian daripada budaya atau keperibadian mereka. Sifat sebegini memang baik. Namun jika kita menunjukkan kebaikan hati hanya kerana budaya atau keperibadian kita, kita mungkin belum lagi meniru kebaikan hati Tuhan.​—Bandingkan Kisah 28:2.

Kebaikan hati yang sejati merupakan sebahagian daripada buah kuasa suci Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Untuk memupuk sifat ini, kita perlu membiarkan kuasa suci Tuhan membimbing fikiran dan tindakan kita. Dengan itu, barulah kita dapat meniru teladan Yehuwa dan Yesus. Sebagai orang Kristian, kita juga mengambil berat terhadap orang lain. Maka, sebab utama kita menunjukkan kebaikan hati adalah kerana kita mengasihi Yehuwa dan mengasihi orang lain. Kebaikan hati sebeginilah yang benar-benar ikhlas dan yang menyenangkan hati Tuhan.

KITA HARUS MENUNJUKKAN KEBAIKAN HATI KEPADA SIAPA?

Kita mungkin berasa mudah untuk menunjukkan kebaikan hati atau penghargaan kepada orang yang kita kenal atau orang yang pernah berbuat baik kepada kita. (2 Sam. 2:6; Kol. 3:15) Namun, bagaimana pula jika kita berasa bahawa seseorang tidak layak menerima kebaikan hati kita?

Fikirkan: Yehuwa menetapkan teladan yang terbaik dalam menunjukkan kebaikan hati yang unggul. Dia menunjukkan kebaikan hati kepada semua, bahkan kepada orang yang tidak layak menerimanya. Bible mengandungi pengajaran penting tentang cara menunjukkan sifat ini. Sebenarnya, ungkapan “kebaikan hati yang unggul” sering muncul dalam Kitab Yunani Kristian. Bagaimanakah Tuhan menunjukkan kebaikan hati kepada kita?

Yehuwa telah menunjukkan kebaikan hati-Nya kepada jutaan manusia dengan menyediakan keperluan hidup mereka. (Mat. 5:45) Sebenarnya, bahkan sebelum kita mengenal Yehuwa, Dia sudah menunjukkan kebaikan hati-Nya kepada kita. (Ef. 2:4, 5, 8) Contohnya, Dia mengorbankan Anak tunggal-Nya yang tersayang untuk semua manusia. Semasa menggambarkan korban tebusan yang disediakan oleh Yehuwa, Rasul Paulus menulis, “Betapa agungnya kebaikan hati Tuhan.” (Ef. 1:7) Selain itu, walaupun kita sering melakukan dosa dan mengecewakan Yehuwa, Dia terus membimbing dan mengajar kita dengan lembut dan sabar, “seperti hujan rintik-rintik.” (Ul. 32:2) Tambahan lagi, tanpa kebaikan hati Yehuwa, kita tidak akan mempunyai harapan masa depan. Tidakkah anda setuju bahawa kita tidak dapat membalas segala kebaikan hati Yehuwa?​—Bandingkan 1 Petrus 1:13.

Sudah tentu, kebaikan hati Yehuwa sangat menyentuh hati kita dan mendorong kita untuk mengasihi-Nya. Oleh itu, kita ingin berusaha meniru Yehuwa dengan menunjukkan kebaikan hati setiap hari kepada semua orang dan bukannya kepada orang tertentu sahaja. (1 Tes. 5:15) Dengan demikian, kita adalah seperti unggun api yang memanaskan badan pada hari yang sejuk. Kita akan menyegarkan ahli keluarga, rakan seiman, rakan sekerja, rakan sekolah, dan orang lain.

Fikirkan jika terdapat sesiapa dalam keluarga atau sidang anda yang akan meraih manfaat jika anda menunjukkan kebaikan hati kepadanya dari segi kata-kata atau perbuatan. Contohnya, seseorang di sidang anda mungkin memerlukan bantuan untuk membersihkan rumahnya, menjaga kebunnya, atau membeli barang keperluan. Selain itu, semasa menginjil, jika anda menjumpai seseorang yang memerlukan bantuan, dapatkah anda mencari jalan untuk menolongnya?

Semoga kita meniru teladan Yehuwa dan sentiasa menunjukkan kebaikan hati, baik dalam kata-kata mahupun dalam perbuatan kita.

^ Nama-nama telah diubah.