Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 22

Teruslah Mengikut “Jalan Kesucian”

Teruslah Mengikut “Jalan Kesucian”

“Di sana akan ada jalan besar yang dipanggil Jalan Kesucian.”​—YES. 35:8.

LAGU 31 Berjalanlah dengan Tuhan!

PENGENALAN a

1-2. Apakah keputusan penting yang perlu dibuat oleh orang Yahudi yang tinggal di Babilon? (Ezra 1:2-4)

 RAJA sudah bertitah! Orang Yahudi yang sudah ditawan di Babilon selama 70 tahun boleh kembali ke Israel. (Baca Ezra 1:2-4.) Hanya Yehuwa yang dapat menyebabkan hal ini berlaku. Mengapakah kita berkata demikian? Kerana Babilon tidak pernah membebaskan tawanannya. (Yes. 14:4, 17) Tetapi Babilon sudah dijatuhkan, dan raja yang baharu telah mengumumkan bahawa orang Yahudi boleh kembali ke tanah air mereka. Kini, setiap orang Yahudi, terutamanya ketua keluarga, perlu membuat keputusan yang penting ini: Adakah mereka akan meninggalkan Babilon, atau terus tinggal di situ? Keputusan ini mungkin mencabar bagi mereka. Mengapa?

2 Ramai orang Yahudi yang lanjut usia mungkin tidak larat untuk membuat perjalanan yang jauh ke negeri Israel. Kebanyakan orang Yahudi yang muda pula dilahirkan dan dibesarkan di Babilon. Jadi bagi mereka, negeri Israel hanyalah tanah air nenek moyang mereka. Nampaknya sesetengah orang Yahudi hidup makmur di Babilon, maka mereka mungkin keberatan untuk meninggalkan rumah dan perniagaan mereka lalu berpindah ke tempat yang tidak pernah dilihat mereka.

3. Apakah berkat yang menantikan orang Yahudi yang akan kembali ke Israel?

3 Walaupun orang Yahudi yang setia perlu membuat pengorbanan untuk kembali ke Israel, mereka tahu mereka akan meraih banyak berkat. Berkat yang terbesar berkaitan dengan ibadat mereka. Fikirkan hal ini: Terdapat lebih daripada 50 kuil di Babilon, tetapi di situ tidak ada Rumah Yehuwa. Di situ juga tidak ada mazbah ataupun aturan imam untuk mempersembahkan korban menurut cara yang dinyatakan dalam Hukum Musa. Tambahan lagi, bilangan orang kafir di situ jauh lebih banyak daripada umat Yehuwa, dan mereka tidak menghormati Yehuwa ataupun standard-Nya. Maka tidak hairanlah beribu-ribu orang Yahudi yang mengasihi Yehuwa tidak sabar-sabar untuk kembali ke tanah air mereka untuk memulihkan ibadat sejati.

4. Apakah janji Yehuwa kepada orang Yahudi yang akan kembali ke Israel?

4 Perjalanan dari Babilon ke Israel sangat mencabar dan akan mengambil masa sekitar empat bulan. Namun, Yehuwa berjanji untuk menyingkirkan apa sahaja halangan di sepanjang perjalanan umat-Nya. Yesaya menulis, “Hendaklah kamu menyediakan jalan bagi Yehuwa! Siapkanlah jalan besar yang lurus di padang gurun bagi Tuhan kita. . . . Tanah yang berbonggol dan berlubang harus menjadi rata, dan tanah yang berlekuk-lekak harus menjadi datar.” (Yes. 40:3, 4) Fikirkan hal ini: Manakah yang lebih senang untuk dilalui? Jalan besar yang mendatar di padang gurun, atau jalan yang berliku-liku merentasi gunung, bukit, dan lembah? Sudah pasti perjalanan menerusi jalan besar yang mendatar itu akan lebih mudah dan cepat.

5. Apakah nama bagi jalan besar antara Babilon dengan Israel?

5 Hari ini, kebanyakan jalan ada nama atau nombor. Jalan besar yang disebut oleh Yesaya juga mempunyai nama. Bible kata, “Di sana akan ada jalan besar yang dipanggil Jalan Kesucian. Orang yang najis tidak akan berjalan di situ.” (Yes. 35:8) Apakah maksud janji ini bagi orang Israel pada zaman kuno? Apakah maksud janji ini bagi kita sekarang?

“JALAN KESUCIAN”​—DULU DAN SEKARANG

6. Mengapakah jalan ini dipanggil “Jalan Kesucian”?

6 “Jalan Kesucian”​—nama yang cukup indah! Mengapakah jalan tersebut diberi nama ini? Kerana “orang yang najis,” iaitu sesiapa sahaja yang hidup tidak bermoral, menyembah berhala, atau melakukan dosa serius yang lain, tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke negeri Israel yang dipulihkan. Orang Yahudi yang kembali ke Israel akan “dianggap suci oleh Yehuwa,” jadi mereka perlu hidup menurut standard-Nya. (Ul. 7:6) Namun, walaupun mereka sudah menyembah Yehuwa dengan setia sebelum meninggalkan Babilon, mereka masih perlu membuat sesetengah perubahan agar dapat menyenangkan hati-Nya.

7. Apakah perubahan yang perlu dibuat oleh sesetengah orang Yahudi yang sudah kembali ke Israel? Berikan contoh.

7 Seperti yang disebut tadi, kebanyakan orang Yahudi dilahirkan di Babilon, dan mereka sudah terbiasa dengan fikiran dan pandangan orang Babilon. Puluhan tahun selepas kumpulan orang Yahudi yang pertama pulang ke Israel, Ezra mendapati bahawa sesetengah orang Yahudi telah mengahwini wanita berbangsa asing yang tidak menyembah Yehuwa. (Kel. 34:15, 16; Ezr. 9:1, 2) Bertahun-tahun kemudian, Gabenor Nehemia terkejut semasa mendapat tahu bahawa anak-anak yang dilahirkan di Israel tidak diajar bahasa orang Yahudi, iaitu bahasa Ibrani. (Ul. 6:6, 7; Neh. 13:23, 24) Jika anak-anak itu tidak memahami bahasa utama yang digunakan untuk menulis Firman Tuhan, bagaimanakah mereka dapat belajar untuk menyembah dan mengasihi Yehuwa? (Ezr. 10:3, 44) Ya, orang Yahudi yang sudah kembali ke negeri Israel masih perlu membuat perubahan yang besar. Namun, mereka akan berasa lebih mudah untuk berbuat demikian kerana ibadat sejati sedang dipulihkan di situ.​—Neh. 8:8, 9.

Sejak tahun 1919, jutaan lelaki, wanita, dan kanak-kanak telah meninggalkan Babilon Besar dan mula mengikut “Jalan Kesucian” (Lihat perenggan 8)

8. Apakah kaitan antara peristiwa yang berlaku lama dahulu dengan kita hari ini? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

8 Apakah kaitan antara peristiwa yang berlaku lama dahulu dalam kalangan orang Yahudi dengan kita hari ini? Kita juga seolah-olah sedang berjalan di “Jalan Kesucian.” Tidak kira kita ialah orang Kristian terurap atau “biri-biri lain,” kita harus terus berjalan di “Jalan Kesucian.” (Yoh. 10:16) Dengan itu, kita dapat terus menyembah Yehuwa sekarang dan menikmati berkat yang akan dibawa oleh Kerajaan Tuhan kelak. b Sejak tahun 1919, jutaan lelaki, wanita, dan kanak-kanak telah meninggalkan Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia, dan mula berjalan di “Jalan Kesucian.” Anda juga mungkin tergolong antara mereka. Biarpun “Jalan Kesucian” dibuka kira-kira 100 tahun dahulu, kerja untuk menyediakan jalan itu sebenarnya bermula berabad-abad sebelum itu.

MENYEDIAKAN “JALAN KESUCIAN”

9. Menurut Yesaya 57:14, mengapakah kerja persiapan perlu dilakukan sebelum “Jalan Kesucian” dibuka?

9 Yehuwa telah menyingkirkan halangan-halangan agar orang Yahudi dapat meninggalkan Babilon dengan senang. (Baca Yesaya 57:14.) Adakah Dia juga berbuat demikian untuk “Jalan Kesucian” pada zaman moden? Ya. Ratusan tahun sebelum tahun 1919, Yehuwa menggunakan orang yang setia untuk menyediakan jalan supaya orang dapat meninggalkan Babilon Besar. (Bandingkan Yesaya 40:3.) Orang yang setia ini seolah-olah membantu membuat kerja persiapan yang diperlukan, agar orang yang berhati jujur lebih mudah memasuki firdaus rohani, iaitu ibadat sejati yang dipulihkan. Apakah sesetengah kerja persiapan yang dilakukan mereka? Perhatikan beberapa contoh.

Selama berabad-abad, orang yang menghormati Tuhan telah membantu menyediakan jalan keluar dari Babilon Besar (Lihat perenggan 10-11)

10-11. Bagaimanakah penghasilan mesin cetak dan kerja terjemahan membantu lebih ramai orang mengetahui ajaran Bible? (Lihat juga gambar.)

10 Mesin cetak. Sebelum sekitar tahun 1450, Bible disalin dengan tangan. Kerja ini mengambil masa yang sangat lama, dan salinan-salinan Bible susah didapati dan sangat mahal. Namun apabila mesin cetak diciptakan, lebih banyak Bible dapat dihasilkan dan diedarkan.

11 Kerja terjemahan. Selama berabad-abad, Bible terdapat dalam bahasa Latin, dan hanya orang yang berpendidikan tinggi dapat memahaminya. Selepas mesin cetak diciptakan, orang yang menghormati Tuhan menterjemahkan Bible ke dalam lebih banyak bahasa yang biasa dituturkan. Jadi, orang dapat membandingkan apa yang diajarkan oleh pemimpin agama dengan apa yang sebenarnya diajarkan dalam Bible.

Orang yang menghormati Tuhan telah membantu menyediakan jalan keluar dari Babilon Besar (Lihat perenggan 12-14) c

12-13. Bagaimanakah pelajar Bible pada abad ke-19 mula mendedahkan ajaran agama palsu? Berikan contoh.

12 Bahan pembelajaran Bible. Setelah mengkaji Bible dengan teliti, para pelajar Bible mempelajari banyak ajaran yang penting. Mereka mula mengongsi apa yang mereka pelajari dengan orang lain, walaupun hal itu telah membangkitkan kemarahan pemimpin agama. Pada abad ke-19, sebilangan pelajar Bible mula menerbitkan risalah-risalah yang mendedahkan ajaran palsu di gereja.

13 Sekitar tahun 1835, Henry Grew, seorang lelaki yang menghormati Tuhan, telah menerbitkan risalah tentang keadaan orang mati. Dia membuktikan daripada Bible bahawa nyawa yang tidak dapat mati dikurniakan oleh Tuhan kepada orang yang dipilih-Nya, dan bukannya dimiliki oleh semua orang sejak lahir. Pada tahun 1837, George Storrs telah menjumpai risalah itu semasa menaiki kereta api. Selepas membacanya, dia yakin bahawa dia sudah menemui satu kebenaran Bible yang penting. Dia ingin mengongsi apa yang dipelajarinya. Jadi pada tahun 1842, dia memberikan beberapa ceramah berdasarkan tema “Adakah Orang Jahat Mempunyai Roh yang Tidak Dapat Mati?” Hasil kajian George Storrs telah memberikan kesan yang mendalam kepada seorang pemuda yang bernama Charles Taze Russell.

14. Bagaimanakah kerja untuk menyediakan “Jalan Kesucian” telah membantu Saudara Russell dan rakan-rakannya? (Lihat juga gambar.)

14 Bagaimanakah kerja yang dilakukan untuk menyediakan “Jalan Kesucian” telah membantu Saudara Russell dan rakan-rakannya? Semasa membuat kajian, mereka dapat merujuk kamus Bible, daftar kata Bible, dan beberapa terjemahan Bible yang disediakan sebelum zaman mereka. Mereka juga meraih manfaat daripada hasil kajian Henry Grew, George Storrs, dan orang lain. Kemudian, Saudara Russell dan rakan-rakannya turut menyumbang kepada kerja persiapan “Jalan Kesucian” dengan menghasilkan banyak buku dan risalah Bible.

15. Apakah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada tahun 1919?

15 Pada tahun 1919, umat Yehuwa dibebaskan daripada pengaruh Babilon Besar. Pada tahun yang sama, “Jalan Kesucian” telah dibuka, dan “hamba yang setia dan bijaksana” telah dilantik untuk membantu orang yang mula mengikut jalan ini. (Mat. 24:45-47) Memandangkan banyak kerja persiapan telah dilakukan sebelum ini, orang yang mengikut “Jalan Kesucian” dapat lebih memahami tujuan Yehuwa. (Ams. 4:18) Mereka juga dapat mengubah kehidupan mereka agar lebih selaras dengan piawaian Yehuwa. Yehuwa tidak menghendaki umat-Nya untuk membuat semua perubahan yang diperlukan sekali gus. Sebaliknya, Dia membantu mereka berubah secara beransur-ansur. (Lihat kotak “ Yehuwa Beransur-Ansur Memurnikan Umat-Nya.”) Bayangkan betapa gembiranya kita pada masa depan apabila segala perbuatan kita dapat menggembirakan hati Yehuwa!​—Kol. 1:10.

“JALAN KESUCIAN” MASIH TERBUKA

16. Sejak tahun 1919, bagaimanakah “Jalan Kesucian” dijaga? (Yesaya 48:17; 60:17)

16 Setiap jalan perlu diselenggarakan, atau dijaga. Sejak tahun 1919, “Jalan Kesucian” telah dijaga dengan baik supaya lebih banyak orang dapat meninggalkan Babilon Besar. Hamba yang setia dan bijaksana yang baru dilantik segera bergiat dalam kerja ini. Pada tahun 1921, mereka telah menerbitkan buku The Harp of God untuk mengajar orang kebenaran Bible. Hampir enam juta naskhah buku ini telah diedarkan dalam 36 bahasa. Hasilnya, banyak orang telah mempelajari kebenaran. Baru-baru ini, kita mempunyai satu lagi bahan bacaan untuk mengadakan pembelajaran Bible, iaitu Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Sepanjang hari-hari terakhir, Yehuwa terus menggunakan organisasi-Nya untuk menyediakan makanan rohani, supaya kita semua dibantu untuk terus berjalan mengikut “Jalan Kesucian.”​—Baca Yesaya 48:17; 60:17.

17-18. “Jalan Kesucian” membawa kita ke mana?

17 Apabila seseorang mula belajar Bible, dia mula mengikut “Jalan Kesucian.” Ada yang meninggalkan jalan ini tidak lama selepas mula mengikutnya. Yang lain pula bertekad untuk terus berjalan mengikut jalan ini sehingga ke destinasinya. Namun, jalan ini membawa kita ke mana?

18 Bagi mereka yang ada harapan untuk hidup di syurga, “Jalan Kesucian” membawa mereka ke “firdaus Tuhan” di syurga. (Why. 2:7) Bagi mereka yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi pula, jalan ini membantu mereka mencapai kesempurnaan pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Jika anda sudah mula berjalan mengikut jalan ini, janganlah menoleh ke belakang. Bertekadlah untuk terus mengikut jalan ini sehingga sampai di dunia baharu. Semoga anda menikmati perjalanan anda!

LAGU 24 Datanglah ke Gunung Yehuwa

a Yehuwa memberitahu umat-Nya bahawa semasa mereka meninggalkan Babilon dan kembali ke negeri Israel, Dia akan menyediakan sebuah jalan besar untuk mereka, yang dipanggil “Jalan Kesucian.” Yehuwa juga melakukan hal yang sama untuk umat-Nya hari ini. Sejak tahun 1919, jutaan orang telah meninggalkan Babilon Besar dan mula mengikut “Jalan Kesucian.” Kita semua mesti terus mengikut jalan ini sehingga kita tiba di destinasi kita.

c KETERANGAN GAMBAR: Saudara Russell dan rakan-rakannya menggunakan bahan-bahan rujukan Bible yang disediakan sebelum zaman mereka.