Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apa yang Kita Pelajari daripada Bible

Apa yang Kita Pelajari daripada Bible

“Inilah sejarah tentang penciptaan langit dan bumi.” (Kejadian 2:4) Dengan kata-kata itu, Bible menjelaskan bagaimana bumi wujud. Adakah kata-kata Bible selaras dengan fakta sains? Perhatikan beberapa contoh.

Pada Mulanya: Langit dan bumi diciptakan

Adakah alam semesta mempunyai permulaan?

Kejadian 1:1 menyatakan, “Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.”

Sebelum tahun 1950-an, banyak saintis yang terkemuka percaya bahawa alam semesta tiada permulaan. Tetapi berdasarkan penemuan yang baharu, kebanyakan saintis sekarang setuju bahawa alam semesta ada permulaan.

Apakah keadaan bumi pada mulanya?

Kejadian 1:2, 9 menggambarkan bahawa bumi pada mulanya “kosong dan tidak berbentuk,” dan diliputi air.

Gambaran ini selaras dengan penemuan sains. Patrick Shih, seorang ahli biologi, menyatakan bahawa pada mulanya planet kita tidak mempunyai oksigen, pokok, atau hidupan lain. Majalah Astronomy menyatakan, “Menurut kajian baru-baru ini, bumi pada mulanya diliputi air dan hanya mempunyai sedikit daratan.”

Bagaimanakah atmosfera bumi beransur-ansur berubah?

Kejadian 1:3-5 menunjukkan bahawa pada mulanya, atmosfera bumi begitu tebal sehingga hanya sedikit cahaya dapat menembusinya. Pada kemudian hari, barulah matahari dan bulan dapat dilihat dengan jelas dari bumi.​—Kejadian 1:14-18.

Bible tidak menyatakan bahawa semua hidupan di bumi diciptakan dalam masa enam hari yang masing-masing panjangnya 24 jam

Menurut Smithsonian Environmental Research Center, pada mulanya cahaya yang dapat sampai ke bumi tidak terang. Pusat penyelidikan itu menyatakan, “Pada sejarah awal bumi, bumi diliputi kabus tebal yang terdiri daripada metana.” Kemudian, “kabus metana itu hilang lalu langit menjadi biru.”

Apakah urutan kemunculan hidupan di bumi?

Kejadian 1:20-27 menyatakan bahawa ikan diciptakan terlebih dahulu, diikuti burung, binatang darat, dan akhirnya manusia. Saintis percaya bahawa ikan muncul lama sebelum binatang mamalia muncul, dan selepas suatu jangka masa yang panjang, barulah manusia muncul.

Bible tidak menyatakan bahawa perubahan dalam benda-benda hidup tidak akan berlaku

Apakah yang Tidak Dinyatakan dalam Bible?

Sesetengah orang berpendapat bahawa Bible tidak selaras dengan penemuan sains moden. Namun, selalunya mereka berpendapat sedemikian kerana mereka salah faham terhadap apa yang dikatakan dalam Bible.

Bible tidak menyatakan bahawa alam semesta dan bumi hanya berusia 6,000 tahun. Bible hanya menyatakan bahawa bumi dan alam semesta diciptakan “pada mulanya” tanpa menyebut secara spesifik bila hal itu berlaku.—Kejadian 1:1.

Bible tidak menyatakan bahawa semua hidupan di bumi diciptakan dalam masa enam hari yang masing-masing panjangnya 24 jam. Dalam Bible, perkataan “hari” boleh merujuk kepada jangka masa yang panjang. Sebagai contoh, Bible menggambarkan tempoh masa yang digunakan untuk menciptakan bumi dan kehidupan di bumi, iaitu enam “hari” penciptaan yang disebut di Kejadian bab 1, sebagai satu “hari,” iaitu “hari Tuhan Yehuwa * menciptakan langit dan bumi.” (Kejadian 2:4) Jadi, setiap “hari” yang digunakan oleh Tuhan untuk mempersiapkan bumi dan menciptakan benda-benda hidup boleh merangkumi jangka masa yang sangat lama.

Bible tidak menyatakan bahawa perubahan dalam benda-benda hidup tidak akan berlaku. Buku Kejadian menyatakan bahawa binatang-binatang diciptakan “menurut jenisnya.” (Kejadian 1:24, 25) Perkataan “jenis” yang digunakan dalam Bible bukanlah istilah sains dan boleh merujuk kepada kumpulan benda hidup yang luas. Maka, satu “jenis” binatang boleh mempunyai banyak spesies. Perkataan “jenis” dalam Bible juga tidak menolak kemungkinan bahawa dengan peredaran masa, perubahan atau variasi mungkin berlaku dalam spesies yang hidup di kawasan yang sama.

Apakah pendapat anda?

Seperti yang telah kita lihat tadi, Bible menggambarkan dengan ringkas dan tepat berkenaan asal usul alam semesta, keadaan bumi pada mulanya, dan bagaimana pelbagai jenis hidupan muncul di bumi. Jika begitu, adakah Bible juga menyatakan dengan tepat siapa yang menciptakan semua ini? Encyclopædia Britannica menyatakan, “Idea bahawa hidupan muncul daripada suatu kejadian yang luar biasa adalah tidak bercanggahan dengan penemuan sains moden.” *

^ per. 17 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.

^ per. 20 Encyclopædia Britannica tidak menyokong idea bahawa hidupan diciptakan.