Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Memberikan Bantuan kepada Mangsa Bencana

Memberikan Bantuan kepada Mangsa Bencana

1 FEBRUARI 2021

 Pada tahun 2020, banyak bencana alam terjadi dan pandemik COVID-19 juga mula berlaku di seluruh dunia. Apakah yang dilakukan Saksi-Saksi Yehuwa untuk membantu mangsa bencana?

 Pada tahun aktiviti penyebaran 2020, a Jawatankuasa Koordinator Badan Pimpinan meluluskan perbelanjaan sebanyak 28 juta dolar b untuk membantu mangsa bencana. Terdapat lebih daripada 200 bencana yang telah berlaku, misalnya pandemik COVID-19, taufan, banjir di Afrika, kekurangan makanan di Venezuela, dan kemarau di Zimbabwe. Wang yang disumbangkan itu digunakan untuk menyediakan makanan, air, tempat tinggal, pakaian, dan bantuan perubatan serta bahan untuk kerja pembersihan, pembaikan, dan pembinaan. Perhatikan beberapa contoh berikut.

 COVID-19. Di serata dunia, pandemik ini telah menjejaskan saudara saudari kita dari segi fizikal, emosi, dan kewangan. Untuk membantu mereka, lebih daripada 800 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) telah dibentuk di seluruh dunia. Jawatankuasa ini memerhatikan keperluan saudara saudari kita dan menyediakan laporan yang membantu Jawatankuasa Koordinator untuk memberikan bantuan yang sesuai.

 Sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2020, DRC telah membantu banyak orang untuk mendapatkan makanan, air, bahan-bahan penjagaan kebersihan, dan ubat. Di sesetengah kawasan, DRC juga bekerja bersama para penatua tempatan untuk membantu saudara saudari mendapatkan bantuan kerajaan.

 Orang yang bukan Saksi memerhatikan kerja kita untuk membantu mangsa bencana. Contohnya, seorang pesuruhjaya daerah Nakonde di Zambia, yang bernama Field Simwinga, memberitahu para saudara kita: “Kami terhutang budi kepada kamu kerana kamu menyediakan bantuan yang amat diperlukan kepada keluarga yang terjejas.”

 Kekurangan Makanan di Angola. Disebabkan pandemik COVID-19, makanan susah didapati dan harga makanan menjadi sangat mahal di Angola. Jadi ramai saudara saudari kita berasa semakin susah untuk membeli makanan.

Bungkusan makanan dihantar dari Brazil ke Angola

 Pejabat cawangan Brazil diminta untuk menghantar bekalan makanan kepada saudara saudari kita di Angola. Untuk menggunakan wang sumbangan dengan sebaik-baiknya, para saudara menyelidiki cara terbaik untuk membeli dan menghantar makanan. Mereka juga membeli makanan dalam kuantiti yang banyak. Jadi, kos pembelian dan penghantaran bagi setiap bungkusan makanan hanya berjumlah $22. Setiap bungkusan yang beratnya 20 kilogram itu mengandungi makanan seperti beras, kekacang, dan minyak masak. Setakat ini, 33,544 bungkusan makanan seberat 654 tan metrik telah dihantar. Bungkusan makanan ini berserta makanan yang diperoleh di kawasan tempatan telah membantu lebih daripada 50,000 orang!

 Apakah perasaan saudara saudari kita tentang bantuan yang dihulurkan? Alexandre yang tinggal di kawasan yang terpencil di Angola berkata, “Bantuan ini membuktikan bahawa Yehuwa mengasihi saya dan saya tidak keseorangan. Organisasi Yehuwa menghargai saya!” Seorang ibu tunggal yang bernama Mariza pula berkata, “Yehuwa mendengar doa saya. Saya bersyukur kepada Yehuwa dan organisasi-Nya!”

Saudara saudari di Angola amat bersyukur atas bantuan yang diterima

 Bantuan Kemarau di Zimbabwe. Pada tahun aktiviti penyebaran 2020, berjuta-juta orang mengalami kebuluran akibat kemarau yang teruk di Zimbabwe. Ribuan Saksi di sana tidak mempunyai makanan yang cukup.

 Lima DRC telah dibentuk untuk menyediakan makanan bagi saudara saudari kita. Ratusan penyiar membantu untuk membungkus dan memuatkan bekalan makanan serta meminjamkan kenderaan mereka. c Pada tahun aktiviti penyebaran 2020, sebanyak $691,561 telah digunakan untuk memberikan makanan kepada lebih daripada 22,700 orang!

Saudara saudari di Zimbabwe menerima bantuan makanan (sebelum pandemik)

 Sesetengah saudara saudari telah kehabisan makanan sebelum bantuan makanan tiba. Setelah bantuan itu tiba, saudara saudari kita memuji Yehuwa. Ada yang bahkan menyanyikan lagu rohani.

 Di satu kawasan, dua orang Saksi yang merupakan balu menghadiri sebuah mesyuarat yang membincangkan bantuan yang ditawarkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun, mesyuarat itu semakin berunsur politik. Jadi, saudari-saudari itu memutuskan untuk tidak menerima bantuan kerana mereka tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Semasa mereka meninggalkan mesyuarat itu, orang mengejek mereka dengan berkata, “Jangan minta makanan daripada kami nanti!” Namun, selepas dua minggu sahaja, para saudara sampai di kawasan mereka dan memberikan bantuan makanan. Bantuan mereka sampai jauh lebih awal daripada bantuan NGO!

Prisca berkata, “Yehuwa tidak pernah meninggalkan umat-Nya”

 Bantuan bencana di Zimbabwe juga memberikan kesaksian yang bagus. Contohnya, perhatikan pengalaman Prisca yang tinggal di sebuah kampung yang kecil. Walaupun menghadapi banyak masalah akibat kemarau, Prisca tetap menginjil pada setiap hari Rabu dan Jumaat, bahkan semasa musim membajak. Orang di kampung itu mengejeknya dan berkata, “Keluarga kamu akan kebuluran kerana kamu pergi menginjil.” Prisca menjawab, “Yehuwa tidak pernah meninggalkan umat-Nya.” Tidak lama kemudian, dia menerima bantuan makanan daripada organisasi kita. Sesetengah jirannya berasa kagum dan memberitahu Prisca: “Tuhan tidak pernah meninggalkan kamu, jadi kami mahu belajar lebih banyak tentang-Nya.” Kini, tujuh orang jirannya mendengar program perjumpaan yang disiarkan melalui radio.

 Seraya akhir semakin dekat, kita akan terus menghadapi bencana alam. (Matius 24:3, 7) Kami sangat bersyukur atas sumbangan yang anda berikan dengan murah hati menerusi pelbagai cara di donate.dan124.com. Sumbangan itu akan digunakan untuk membantu orang yang memerlukan.

a Tahun aktiviti penyebaran 2020 bermula dari bulan September 2019 sehingga Ogos 2020.

b Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.

c Disebabkan sekatan yang dikenakan semasa pandemik COVID-19, para saudara harus mendapatkan permit untuk menghantar makanan. Mereka juga mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko terdedah kepada virus.