Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Seruan untuk Meminta Keadilan Akan Dijawab?

Adakah Seruan untuk Meminta Keadilan Akan Dijawab?

 Ketidakadilan nampaknya berlaku di merata tempat. Fikirkan dua contoh berikut tentang orang yang dipenjarakan secara tidak adil:

  •   Pada Januari 2018, seorang hakim di Amerika Syarikat membebaskan seorang lelaki yang telah dipenjarakan selama hampir 38 tahun. Bukti DNA menunjukkan bahawa lelaki itu tidak bersalah.

  •   Pada September 1994, tiga orang pemuda di salah sebuah negara Afrika telah dipenjarakan kerana mereka enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani. Sehingga September 2020, mereka dipenjarakan selama 26 tahun walaupun tidak pernah dituduh secara rasmi atau dibicarakan di mahkamah.

 Jika anda pernah menderita akibat ketidakadilan, anda mungkin mempunyai perasaan yang sama seperti Ayub pada zaman Bible. Dia berkata, “Aku berseru meminta tolong, tetapi aku tidak diperlakukan dengan adil.” (Ayub 19:7) Walaupun keadilan sejati nampaknya mustahil, Bible berjanji bahawa seruan kita untuk meminta keadilan akan dijawab suatu hari nanti. Selain itu, Bible dapat membantu anda menangani ketidakadilan yang anda hadapi sekarang.

Apakah punca ketidakadilan?

 Ketidakadilan berasal daripada orang yang menolak bimbingan Tuhan. Sebaliknya, Bible menunjukkan bahawa keadilan sejati berasal daripada Tuhan. (Yesaya 51:4) Dalam Bible, perkataan “keadilan” berkait rapat dengan perbuatan melakukan apa yang baik atau apa yang benar. (Mazmur 37:6) Perbuatan yang benar, atau perbuatan yang selaras dengan piawaian Tuhan, menghasilkan keadilan. Sebaliknya, ketidakadilan berasal daripada dosa, iaitu perbuatan yang tidak selaras dengan piawaian Tuhan. Perhatikan contoh-contoh berikut:

  •   Sifat mementingkan diri. Keinginan untuk mendahulukan diri sendiri berkait rapat dengan dosa. (Yakobus 1:14, 15) Banyak orang mengambil kesempatan atas orang lain atau melayan mereka dengan tidak adil untuk memuaskan keinginan sendiri. Sebaliknya, Tuhan ingin kita mengutamakan kepentingan orang lain.—1 Korintus 10:24.

  •   Kurang pengetahuan. Sesetengah orang mungkin melayan orang lain dengan tidak adil tanpa menyedarinya. Namun, perbuatan sedemikian masih merupakan dosa dalam pandangan Tuhan. (Roma 10:3) Salah satu perbuatan yang paling tidak adil dalam sejarah manusia ialah pembunuhan Yesus Kristus. Hal itu dilakukan oleh orang yang kurang berpengetahuan atau yang tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu tidak adil.—Kisah 3:15, 17.

  •   Kegagalan sistem dunia. Sistem politik, perdagangan, dan agama dunia sepatutnya menggalakkan keadilan untuk semua orang. Namun hakikatnya, sistem-sistem ini sering menyebabkan kesilapan, penyelewengan, prasangka, ketamakan, kekayaan yang tidak sama rata, dan sikap tidak bertoleransi. Semua ini membawa kepada ketidakadilan. Walaupun sesetengah sistem dunia ini disokong oleh orang yang berniat baik, usaha mereka tidak akan berhasil kerana mereka mengabaikan bimbingan Tuhan.—Pengkhutbah 8:9; Yeremia 10:23.

Apakah perasaan Tuhan tentang ketidakadilan?

 Dia bukan sahaja membenci ketidakadilan, tetapi Dia juga membenci sikap dan perbuatan yang menyebabkan ketidakadilan. (Amsal 6:16-18) Dia mengilhami nabi Yesaya untuk menulis, “Aku, Yehuwa, a mencintai keadilan; Aku membenci perompakan dan kejahatan.”—Yesaya 61:8.

 Hukum-hukum yang diberikan Yehuwa kepada orang Israel kuno menunjukkan bahawa Dia ingin mereka bertindak dengan adil. Dia mengarahkan para hakim untuk menolak rasuah dan perbuatan lain yang dapat memutarbalikkan keadilan. (Ulangan 16:18-20) Dia mengutuk orang Israel yang mengambil kesempatan atas orang miskin atau orang yang berkedudukan rendah. Akhirnya, Dia menolak mereka kerana mereka gagal mematuhi piawaian-Nya.—Yesaya 10:1-3.

Adakah Tuhan akan mengakhiri ketidakadilan?

 Ya. Melalui Yesus Kristus, Tuhan akan menghapuskan punca ketidakadilan, iaitu dosa, dan menjadikan umat manusia sempurna semula. (Yohanes 1:29; Roma 6:23) Dia juga telah mendirikan sebuah Kerajaan yang akan membawa dunia baharu yang aman damai dan keadilan kepada semua orang. (Yesaya 32:1; 2 Petrus 3:13) Untuk maklumat lanjut tentang Kerajaan Tuhan, sila tonton video Apa Itu Kerajaan Tuhan?

Bagaimanakah kehidupan di dunia baharu?

 Apabila keadilan memenuhi bumi, semua orang akan menikmati kedamaian dan ketenteraman. (Yesaya 32:16-18) Setiap manusia adalah setaraf dan berharga di mata Tuhan, jadi semua orang akan dilayan dengan adil. Kesedihan, tangisan, dan kesakitan akibat ketidakadilan akan dilenyapkan buat selama-lamanya. Bahkan kenangan pahit yang dialami akibat ketidakadilan akan beransur-ansur pudar. (Yesaya 65:17; Wahyu 21:3, 4) Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Apakah yang Akan Dilakukan oleh Kerajaan Tuhan?

Dapatkah anda percaya janji Tuhan untuk mengakhiri ketidakadilan?

 Ya. Bible mempunyai banyak nubuat yang sudah menjadi kenyataan. Bible juga tepat dari segi sejarah dan sains, dan isinya tidak bercanggahan. Hal ini menunjukkan bahawa anda dapat mempercayai janji-janjinya. Rencana-rencana berikut memberikan maklumat lanjut:

Dapatkah anda melawan ketidakadilan sekarang?

 Orang baik pada zaman Bible melakukan apa yang terdaya untuk mengelak daripada dilayan dengan tidak adil. Sebagai contoh, semasa rasul Paulus menghadapi perbicaraan yang tidak adil dan yang boleh menyebabkannya dihukum mati, dia tidak menerima sahaja layanan yang tidak adil itu. Sebaliknya, dia menggunakan sistem perundangan pada masa itu dan membuat rayuan kepada Kaisar.—Kisah 25:8-12.

 Namun begitu, usaha manusia untuk membetulkan semua ketidakadilan di dunia ini pasti gagal. (Pengkhutbah 1:15) Ramai orang mendapati bahawa dengan membina iman terhadap janji Tuhan akan dunia baharu, mereka telah dibantu untuk mempunyai ketenangan minda meskipun menghadapi ketidakadilan.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.