Lompat ke kandungan

Pencetakan Sedunia​—Membantu Orang Mengenali Tuhan

Pencetakan Sedunia​—Membantu Orang Mengenali Tuhan

Di serata dunia, orang membaca bahan bacaan yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Ribuan orang membaca bahan bacaan ini dalam bentuk elektronik, seperti yang sedang anda lakukan sekarang. Namun, anda mungkin ingin mengetahui berapa banyak kerja pencetakan yang kami lakukan. Pada tahun 2013, kami mencetak bahan bacaan Bible dalam kira-kira 700 bahasa dan mengedarkannya di 239 buah negara.

Dahulu, syarikat komersial digunakan untuk mencetak bahan bacaan kami. Namun semenjak tahun 1920, kami mula mencetak sesetengah majalah dan buku kecil di sebuah tempat yang disewa di Brooklyn, New York. Sekarang, kami mempunyai 15 pusat percetakan di Afrika, Amerika Utara, Amerika Selatan, Asia, Australia, dan Eropah.

Buku yang Paling Penting

Buku paling penting yang kami cetak ialah Bible. Pada tahun 1942, Bible pertama yang kami cetak ialah Bible King James dalam bahasa Inggeris. Sejak tahun 1961, Saksi-Saksi Yehuwa telah menterjemahkan dan menerbitkan New World Translation of the Holy Scriptures yang lengkap. Setakat tahun 2013, kami telah menghasilkan lebih daripada 184 juta buah Bible dalam 121 bahasa.

Bible ini bukan hanya dicetak dengan banyak tetapi juga bermutu tinggi dan tahan lama. Kertas bebas asid digunakan supaya lembarannya tidak menguning. Bible ini juga dijilid dengan baik. Hasilnya, Bible ini sesuai untuk kegunaan harian.

Bahan Bacaan Lain

Kami juga mencetak bahan bacaan lain untuk membantu orang memahami Bible. Mari lihat beberapa bahan yang telah dicetak pada tahun 2013:

  • Menara Pengawal, majalah utama kami, dicetak dalam lebih daripada 210 bahasa dan merupakan majalah yang paling banyak diedarkan di dunia. Majalah ini mengandungi 16 muka surat dan sebanyak 45,000,000 naskhah dicetak bagi setiap terbitan.

  • Sedarlah! merupakan majalah yang dicetak dalam 99 bahasa. Selepas Menara Pengawal, majalah Sedarlah! ialah majalah yang paling banyak diedarkan di dunia. Sebanyak 44,000,000 naskhah dicetak bagi setiap terbitan.

  • Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? ialah sebuah buku yang mempunyai 256 muka surat dan direka khas untuk membantu orang memahami ajaran asas Bible. Sejak tahun 2005, lebih daripada 214 juta buku ini telah dicetak dalam lebih daripada 240 bahasa.

  • Dengarlah Cakap Tuhan ialah brosur yang mempunyai 32 muka surat. Brosur ini direka khas untuk orang yang tidak pandai membaca. Brosur ini menyampaikan kebenaran Bible melalui gambar-gambar yang cantik dan penerangan yang ringkas. Lebih daripada 42 juta brosur ini telah dihasilkan dalam lebih daripada 400 bahasa.

Selain itu, Saksi-Saksi Yehuwa mencetak pelbagai buku, brosur, dan risalah untuk membantu pelajar Bible mencari jawapan kepada soalan Bible, menangani masalah harian, dan menikmati kehidupan keluarga yang bahagia. Pada tahun 2012, pusat percetakan yang dikendalikan oleh Saksi-Saksi Yehuwa telah menghasilkan lebih daripada 1.3 bilion majalah dan 80 juta buku dan Bible.

Pada tahun 2012, pusat percetakan yang dikendalikan oleh Saksi-Saksi Yehuwa telah menghasilkan lebih daripada 1.3 bilion majalah dan 80 juta buku dan Bible

Para pelawat yang mengunjungi pusat pencetakan kami biasanya kagum melihat orang yang bekerja keras untuk menghasilkan bahan bacaan ini. Kesemua lelaki dan wanita menyumbangkan masa dan tenaga mereka secara sukarela. Semasa mereka tiba di Bethel, yang bermaksud “Rumah Tuhan,” kebanyakan daripada mereka tiada pengalaman dalam bidang pencetakan. Namun, mereka dilatih di Bethel dan hal ini membuahkan hasil yang baik. Misalnya, anda dapat melihat para lelaki dalam lingkungan umur 20-an mengendalikan mesin cetak berkelajuan tinggi. Mesin ini mampu mencetak majalah yang mempunyai 16 muka surat pada kadar 200,000 naskhah sejam.

Bagaimanakah Kerja Ini Dibiayai?

Di seluruh dunia, kerja-kerja yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa disokong oleh derma sukarela. Majalah Zion’s Watch Tower terbitan Ogos 1879 yang kini dipanggil The Watchtower, menyatakan: “Kami percaya bahawa ‘Zion’s Watch Tower’ disokong oleh YEHUWA. Selagi Dia menyokong kerja ini, kami tidak akan mengemis atau merayu untuk mendapatkan sokongan kewangan.” Hari ini, kami masih berasa sedemikian.

Mengapakah kami menyumbangkan banyak masa, wang dan tenaga untuk melakukan kerja ini? Sama ada anda membaca bahan bacaan yang dicetak atau membacanya di Internet, kami berharap bahawa bahan bacaan ini dapat membantu anda mendekati Tuhan.