Lompat ke kandungan

Laporan Mesyuarat Tahunan 2014

100 Tahun Pemerintahan Kerajaan Tuhan!

Laporan Mesyuarat Tahunan 2014

Pada 4 Oktober 2014, kira-kira 19,000 orang telah menikmati program mesyuarat tahunan Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania yang ke-130. Program ini diadakan di Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa di Jersey City, New Jersey, A.S., dan disiarkan ke beberapa lokasi yang lain.

Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, ialah pengerusi program ini. Dalam kata-kata pembukaannya, Saudara Sanderson telah menekankan bahawa program tahun ini adalah sangat bersejarah kerana kita akan memperingati 100 tahun pemerintahan Kerajaan Mesias.

Saudara Sanderson bercakap tentang tiga hal penting yang telah dicapai oleh Kerajaan Tuhan sepanjang 100 tahun yang lalu.

  • Kerja menginjil sedunia. Yehuwa telah memberkati umat-Nya agar mereka dapat terus menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dengan bersemangat. Jumlah Saksi-Saksi Yehuwa telah bertambah daripada beberapa ribu orang pada tahun 1914 kepada lebih daripada lapan juta Saksi pada tahun aktiviti penyebaran 2014. Kita akan terus menginjil dengan bersemangat sehingga Yehuwa berkata bahawa kerja menginjil tidak perlu dijalankan lagi.

  • Perlindungan bagi rakyat Kerajaan Tuhan. Pemimpin agama dan pihak berkuasa menentang keras umat Tuhan, dan ada yang bahkan mahu melenyapkan kita. Tetapi, Yehuwa telah melindungi para penyembah-Nya sebagai satu kumpulan. Banyak kemenangan kes mahkamah, termasuk kes yang diadili di Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR), membuktikan bahawa Yehuwa terus melindungi kita sampai hari ini.

  • Perpaduan umat Tuhan. Kerajaan Tuhan telah menyatukan orang daripada pelbagai latar, bangsa, dan bahasa. Mereka telah dibantu untuk mengatasi banyak cabaran dan hal itu membantu mereka untuk menyembah Tuhan dengan bersatu padu. “Mustahil hal ini dapat berlaku tanpa bantuan Yehuwa,” kata Saudara Sanderson. Dia menekankan sekali lagi bahawa peluang untuk menghadiri program tahunan yang bersejarah ini merupakan suatu penghormatan yang besar.

Siri Video Jadilah Sahabat Yehuwa.

Siri video kanak-kanak, yang telah kita nikmati selama lebih daripada dua tahun, ialah topik seterusnya dalam program mesyuarat tahunan. Mula-mula, Saudara Sanderson memperkenalkan sebuah video yang mengandungi temu ramah dengan kanak-kanak dari serata dunia. Para hadirin sangat tersentuh dengan luahan kanak-kanak yang tulus dan terus terang tentang mengapa mereka suka akan siri video Jadilah Sahabat Yehuwa dan apa yang telah dipelajari mereka daripada video-video ini.

Kemudian, sebuah video yang baharu dalam siri ini ditayangkan. Video ini bertajuk “Yehuwa akan Membantu Kamu Menjadi Berani.” Video yang panjangnya 12 minit ini adalah mengenai seorang gadis Israel yang telah memberitahu isteri Naaman tentang Yehuwa dengan berani. (2 Raja-Raja 5:​1-​14) Video ini dikeluarkan di jw.org pada hari Isnin, 6 Oktober 2014, dan boleh didapati dalam lebih daripada 20 bahasa.

JW Language.

Saudara Sanderson juga memperkenalkan satu aplikasi baharu untuk alat elektronik. Aplikasi ini akan membantu Saksi-Saksi Yehuwa yang mahu mempelajari bahasa asing untuk meluaskan khidmat mereka. Aplikasi ini mempunyai lebih daripada 4,000 perkataan dan frasa dalam 18 bahasa. Pada kemudian hari, penyampaian untuk menginjil dan ciri-ciri yang lain akan ditambahkan, dan jumlah perkataan dan frasa juga akan ditambahkan.

Siaran JW.

Para hadirin berasa sangat gembira setelah diberitahu bahawa satu stesen TV Internet Saksi-Saksi Yehuwa akan dilancarkan. Buat masa ini, rancangannya akan disiarkan dalam bahasa Inggeris sahaja. Lokasi studio ini adalah di ibu pejabat sedunia kita di Brooklyn, New York, A.S. Siaran ini akan mengandungi video, muzik, dan pembacaan Bible yang dramatik. Selain itu, siaran JW akan mempunyai siaran bulanan yang akan dikendalikan oleh seorang ahli Badan Pimpinan atau pembantu mereka.

Saudara Sanderson memperkenalkan klip video pendek tentang siaran bulan ini. Dalam klip video itu, Saudara Stephen Lett, iaitu salah seorang ahli Badan Pimpinan, memperkenalkan sebuah video yang menunjukkan bagaimana stesen TV baharu itu disediakan. Siaran JW boleh didapati di tv.dan124.com bermula 6 Oktober 2014.

“Kerajaan Tuhan​—Ulang Tahun yang ke-100”

Sebuah video dimainkan bagi bahagian ini. Saudara Samuel Herd, iaitu salah seorang ahli Badan Pimpinan, menjelaskan bagaimana Kerajaan Tuhan telah membantu kita menginjil secara lebih efektif dan meluas. Video ini mengandungi klip video tentang sejarah kita, lakonan semula, dan pengalaman-pengalaman Saksi-Saksi Yehuwa yang sudah lama dibaptis. Video ini juga menunjukkan bagaimana kita telah menghasilkan dan menggunakan “Drama-Foto Penciptaan.” Selain itu, video ini menunjukkan bagaimana para Saksi dahulu menginjil dengan menggunakan peti nyanyi, kad mesej Bible, kereta bunyi, dan cara yang lain. Kita juga telah melihat bagaimana sekolah-sekolah teokratik diadakan agar mutu kerja penyebaran dapat ditingkatkan.

Apakah manfaatnya jika kita merenungkan apa yang telah dicapai oleh Kerajaan Tuhan sepanjang 100 tahun yang lalu? Kita akan berasa lebih yakin bahawa Kerajaan Tuhan betul-betul wujud. Kita juga semakin menanti-nantikan apa yang akan dicapai oleh Kerajaan Tuhan pada masa depan.

Lagu untuk Ibadat.

Saudara David Splane, iaitu salah seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengumumkan bahawa buku Nyanyilah kepada Yehuwa akan dikemaskinikan. Bahan dan warna kulit luar buku ini akan ditukar agar menjadi sama dengan Bible Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan. Penggunaan bahan yang bermutu tinggi untuk menghasilkan buku lagu kita menunjukkan bahawa nyanyian sangat penting dalam ibadat kita.

Saudara Splane juga mengumumkan bahawa beberapa buah lagu yang baharu akan ditambahkan dalam buku nyanyian kita. Tetapi kita tidak perlu menunggu sehingga buku lagu yang baharu dikeluarkan sebelum menyanyikan lagu-lagu baharu ini kerana lagu-lagu baharu ini akan disediakan di laman web jw.org secara bertahap-tahap.

Keluarga Bethel telah berlatih untuk menyanyi tiga lagu baharu seminggu sebelum mesyuarat ini. Tiga lagu baharu ini juga dinyanyikan pada hari itu. Saudara Splane menjadi konduktor koir bagi lagu yang bertajuk “Datanglah Kerajaan Tuhan!” Lagu ini digubah khas untuk memperingati Kerajaan Tuhan yang telah ditubuhkan sejak 100 tahun dahulu. Setelah ahli koir menyanyikan lagu ini, hadirin juga dijemput untuk ikut bernyanyi. Kemudian dalam program ini, ahli koir dan para hadirin menyanyikan satu lagi lagu baharu, iaitu lagu yang bertajuk “Berilah Kami Keberanian.

Temu Ramah.

Kemudian, para hadirin telah menonton sebuah video. Dalam video itu, Saudara Gerrit Lösch, iaitu salah seorang ahli Badan Pimpinan, telah menemu ramah tiga pasangan yang sudah lama berkhidmat di Bethel. Mereka menceritakan bagaimana organisasi Yehuwa telah membuat banyak penyesuaian, dan hal itu menunjukkan bahawa organisasi Tuhan sedang mara ke depan dengan cepat. Saudara Lösch mengatakan bahawa Bible sudah menubuatkan perubahan yang akan berlaku dalam organisasi Tuhan, dan dia menggalakkan semua orang untuk membuat penyesuaian seiring dengan kemajuan organisasi Yehuwa.​—Yesaya 60:17.

“Pengajaran atau Lambang.”

Saudara Splane menyampaikan ceramah ini. Dahulu, bahan bacaan kita sering menjelaskan bahawa kisah-kisah dalam Bible melambangkan sesuatu perkara atau peristiwa pada masa depan. Dia menjelaskan mengapa penjelasan sebegini jarang diterbitkan sejak belakangan ini.

Dahulu, bahan bacaan kita menjelaskan bahawa kisah sebilangan lelaki dan wanita yang setia dalam Bible melambangkan sesetengah orang Kristian yang setia pada zaman moden. Begitu juga, dahulu, bahan bacaan kita menjelaskan bahawa terdapat sesetengah nubuat Bible yang dianggap sebagai gambaran kepada peristiwa zaman moden yang menimpa umat Tuhan. Tetapi, mengapakah belakangan ini, penjelasan sebegini jarang diterbitkan?

Bible menunjukkan bahawa beberapa watak dan peristiwa menggambarkan seseorang atau sesuatu yang lebih besar. Jika Bible menyebutnya dengan jelas, kita pasti akan menerimanya. “Tetapi jika Bible tidak mengatakan apa-apa, kita tidak boleh membuat andaian sendiri,” kata Saudara Splane. Tidak kira sama ada harapan kita adalah untuk naik ke syurga atau untuk hidup di bumi, jika kita asyik mahu mengaitkan suatu peristiwa Bible atau watak Bible dengan hal-hal yang lain, kemungkinan besar kita tidak akan mendapat pengajaran penting yang terdapat dalam Bible.​—Roma 15:4. a

“Adakah Anda akan ‘Terus Berjaga-jaga’?”

Ceramah ini disampaikan oleh Saudara Lett. Dia memberitahu kita pemahaman baharu mengenai perumpamaan Yesus tentang 10 orang anak dara. (Matius 25:​1-​13) Dalam perumpamaan ini, pengantin lelaki ialah Yesus, dan anak-anak dara itu pula ialah kaum terurap. (Lukas 5:​34, 35; 2 Korintus 11:2) Perumpamaan ini akan menjadi kenyataan pada hari-hari terakhir, dan kemuncaknya akan berlaku semasa kesengsaraan besar. Semasa Yesus menyebut tentang lima orang anak dara yang bodoh, Yesus tidak memaksudkan bahawa banyak dalam kalangan kaum terurap akan menjadi tidak setia dan perlu digantikan dengan orang lain. Sebaliknya, Yesus sedang memberi kaum terurap amaran yang tegas. Mereka masing-masing berpeluang memilih sama ada mereka mahu menjadi umat Tuhan yang berjaga-jaga atau tidak.

Seperti yang telah dibincangkan tadi, kita tidak mahu asyik mengaitkan perumpamaan ini dengan hal-hal lain. Sebaliknya, kita harus mencari pengajaran penting daripada perumpamaan yang ada dalam Bible. Tidak kira sama ada kita kaum terurap atau “biri-biri lain,” kita masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk ‘tetap berjaga-jaga’ dan membiarkan cahaya rohani kita bersinar terang. (Yohanes 10:16; Markus 13:37; Matius 5:16) Penyelamatan kita tidak bergantung pada orang lain. Kita masing-masing harus “memilih kehidupan” dan tetap berjaga-jaga serta menginjil dengan bersemangat.​—Ulangan 30:19.

“Perumpamaan tentang Talenta.”

Saudara Anthony Morris, salah seorang ahli Badan Pimpinan, telah menyampaikan ceramah ini yang memberikan penjelasan terkini mengenai perumpamaan tentang talenta. (Matius 25:14-​30) Tuan dalam perumpamaan ini ialah Yesus, dan dia akan memberikan ganjaran kepada hamba-hambanya, iaitu kaum terurap yang setia di bumi. Pada masa depan, dia akan membangkitkan mereka ke syurga. Apabila Yesus menyebut tentang apa yang akan berlaku kepada “hamba yang jahat dan malas,” dia bukannya menubuatkan bahawa akan ada sebilangan besar kaum terurap yang tidak setia. Sebaliknya, dia sedang memberikan amaran kepada kaum terurap agar mereka tetap berjaga-jaga dan menghindari sikap dan perbuatan hamba yang jahat.

Apakah pengajarannya untuk kita? Tuan dalam perumpamaan itu telah mengamanahkan sesuatu yang amat bernilai kepada hamba-hambanya. Demikian juga, Yesus telah mengamanahkan sesuatu yang amat bernilai, iaitu tugas menginjil dan menjadikan orang muridnya, kepada para pengikutnya. Dia ingin kita semua untuk melaksanakan tugas ini dengan sebaik-baiknya. Saudara Morris memuji hadirin kerana mereka telah melakukan tugasan mereka dengan begitu bersemangat.

“Siapakah yang Akan Menyerang Umat Tuhan Tidak Lama Lagi?”

Inilah tajuk bagi ceramah terakhir dalam program ini. Ceramah ini telah disampaikan oleh Saudara Geoffrey Jackson, salah seorang ahli Badan Pimpinan. Saudara Jackson membincangkan serangan yang bakal dilancarkan oleh Gog dari Magog ke atas umat Tuhan.​—Yehezkiel 38:14-​23.

Sebelum ini, kita menyimpulkan bahawa Gog ialah nama lain bagi Syaitan Si Iblis setelah dia diusir dari syurga. Tetapi, Saudara Jackson menyebut tentang beberapa isi penting yang menunjukkan bahawa pemahaman ini salah. Contohnya, Yehuwa menubuatkan bahawa apabila Gog dikalahkan, Gog akan “menjadi makanan kepada semua jenis burung pemangsa dan binatang-binatang liar di padang.” (Yehezkiel 39:4) Yehuwa juga menubuatkan bahawa “Gog dan semua orang yang menyertainya” akan dikebumikan di bumi. (Yehezkiel 39:11) Tetapi dapatkah kedua-dua hal ini berlaku kepada makhluk roh? Syaitan akan dipenjarakan di dalam jurang selama 1,000 tahun, bukannya dimakan binatang atau dikebumikan. (Wahyu 20:​1, 2) Tambahan lagi, pada akhir 1,000 tahun, Syaitan akan dibebaskan dan dia “akan pergi menyesatkan Gog dan Magog, iaitu bangsa-bangsa di empat penjuru bumi.” (Wahyu 20:​7, 8) Sememangnya Syaitan tidak dapat menyesatkan Gog jika dia sendiri ialah Gog.

Saudara Jackson menjelaskan bahawa Gog dari Magog yang disebutkan dalam buku Yehezkiel tidak merujuk kepada Syaitan. Sebaliknya Gog dari Magog merujuk kepada bangsa-bangsa bersekutu yang akan menyerang umat Tuhan pada masa depan. Kemungkinan besar, serangan Gog adalah sama dengan serangan “raja utara” dan serangan “raja-raja di bumi.”​—Daniel 11:40, 44, 45; Wahyu 17:12-14; 19:19.

Siapakah “raja utara”? Kita tidak tahu. Biarpun begitu, iman kita pasti dikuatkan kerana kita tahu bahawa pemahaman kita terhadap peristiwa pada masa depan akan bertambah jelas. Kita tidak takut akan serangan yang bakal dilancarkan terhadap umat Tuhan, kerana kita tahu bahawa apabila Gog dari Magog menyerang kita, dia akan dikalahkan dan dimusnahkan buat selama-lamanya, dan kita pula akan hidup selama-lamanya. b

Kesimpulan.

Saudara Sanderson mengumumkan bahawa Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Inggeris kini tersedia dalam saiz kecil. Selain itu, rakaman pembacaan Bible sedang disediakan. Dalam rakaman itu, suara orang yang berlainan akan digunakan untuk watak-watak Bible yang berlainan. Rakaman itu akan dimuat naik ke jw.org secara bertahap-tahap, bermula dengan buku Matius.

Kemudian Saudara Sanderson mengumumkan bahawa ayat tahunan kita bagi tahun 2015 ialah Mazmur 106:1, ‘Bersyukurlah kepada Yehuwa, kerana Dia baik.’ Dia menggalakkan semua orang untuk berfikir tentang sebabnya mereka dapat bersyukur kepada Yehuwa setiap hari.

Selepas itu, ketujuh-tujuh ahli Badan Pimpinan menyertai kumpulan koir di atas pentas seraya semua hadirin bangun dari tempat duduk untuk menyanyikan lagu penutup bagi program ini yang bertajuk “Yehuwalah Nama-Mu.” Lagu ini merupakan penutup yang sempurna bagi perjumpaan yang sangat bersejarah ini!

a Ceramah ini dan dua ceramah yang seterusnya berdasarkan rencana-rencana yang akan diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal, terbitan 15 Mac 2015.

b Ceramah ini berdasarkan ceramah yang akan diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal, terbitan 15 Mei 2015.