Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Jalanan Menjadi Tempat Tinggal Saya”

“Jalanan Menjadi Tempat Tinggal Saya”
  • Tahun Lahir: 1955

  • Negara Asal: Sepanyol

  • Latar Belakang: Menyalahgunakan Dadah dan Alkohol, Bersifat Ganas

KISAH SILAM SAYA

 Sesetengah orang ambil masa yang lama untuk belajar daripada pengalaman pahit sendiri. Saya juga begitu. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Barcelona, bandar kedua terbesar di Sepanyol. Keluarga saya tinggal di tempat yang dipanggil Somorrostro, yang terletak di kawasan pantai. Tempat itu terkenal kerana ada banyak penjenayah dan penagih dadah.

 Saya ada lapan orang adik, dan keluarga saya sangat miskin. Jadi Ayah suruh saya bekerja sebagai pengutip bola di kelab tenis. Masa itu saya berumur 10 tahun dan perlu bekerja 10 jam setiap hari. Jadi saya tidak dapat pergi ke sekolah seperti budak lain yang sebaya dengan saya. Sewaktu berumur 14 tahun, saya menjadi seorang jurumesin di sebuah kedai besi.

Pada tahun 1975, saya menyertai pasukan tentera Spanish Foreign Legion di Afrika Utara dan memakai baju seragamnya yang unik

 Pada tahun 1975, saya menyertai khidmat tentera kerana hal itu wajib di Sepanyol. Saya ingin meneroka, jadi saya menyertai pasukan Spanish Foreign Legion di Melilla, tanah milik kerajaan Sepanyol yang terletak di Afrika Utara. Di sana saya mula terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol.

 Selepas saya tinggalkan pasukan Legion, saya kembali ke Barcelona dan membentuk satu geng. Kami mencuri apa sahaja yang kami nampak, menjualnya, dan menggunakan wang itu untuk membeli dadah. Saya mula ambil LSD dan amfetamina. Kehidupan saya dipenuhi dengan seks, kemabukan, dan perjudian. Saya juga menjadi semakin ganas. Saya selalu membawa pisau, kapak, atau parang, dan saya tidak takut untuk menggunakannya.

 Pernah sekali, saya dan ahli geng mencuri sebuah kereta dan dikejar polis. Keadaannya seperti babak dalam wayang. Kami memandu kereta itu sejauh 30 kilometer sehingga polis mula menembak ke arah kami. Akhirnya kereta itu terbabas dan kami semua melarikan diri. Semasa ayah saya mendapat tahu tentang hal itu, dia menghalau saya dari rumah.

 Sepanjang lima tahun yang berikutnya, jalanan menjadi tempat tinggal saya. Saya tidur di depan pintu orang, dalam lori, atas bangku di taman, dan di tempat perkuburan. Buat suatu ketika, saya bahkan tinggal di dalam gua. Hidup saya tidak bertujuan, dan saya rasa hidup mati saya tidak penting. Saya ingat saya pernah kerat lengan dan pergelangan tangan saya semasa di bawah pengaruh dadah. Parut itu masih ada sampai sekarang.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Semasa saya berumur 28 tahun, ibu saya datang mencari saya dan minta saya pulang ke rumah. Saya setuju dan berjanji untuk menghentikan tabiat buruk saya, tetapi hal itu memakan masa yang agak lama.

 Suatu petang, dua orang Saksi-Saksi Yehuwa mengunjungi rumah kami. Semasa mereka bercakap kepada saya, Ayah berteriak menyuruh saya tutup pintu. Saya tidak suka diarahkan, jadi saya terus mendengar mereka dan mengambil tiga buku yang ditawarkan mereka. Saya juga tanya tentang tempat mereka berkumpul, dan pergi ke Dewan Perjumpaan beberapa hari kemudian.

 Saya nampak semua orang berpakaian dengan sangat kemas. Saya pula berambut panjang, berpakaian selekeh, dan memiliki janggut yang tidak terurus. Saya rasa saya tidak sesuai masuk ke dalam dewan, jadi saya hanya tunggu di luar. Tetapi saya nampak Juan, kawan lama saya dan bekas ahli geng, yang memakai sut. Saya dapat tahu dia telah menjadi Saksi-Saksi Yehuwa satu tahun yang lalu. Kehadirannya membuat saya yakin bahawa saya patut masuk dan ikut perjumpaan. Sejak itu, kehidupan saya mula berubah.

 Saya menerima pembelajaran Bible dan segera menyedari bahawa jika saya ingin menyenangkan hati Tuhan, saya mesti mengubah sifat agresif dan menghentikan kehidupan yang tidak bermoral. Bukan senang untuk membuat perubahan yang diingini Tuhan Yehuwa. Saya perlu ‘mengubah fikiran’ saya. (Roma 12:2) Namun, belas kasihan Tuhan membuat saya sangat tersentuh. Meskipun saya melakukan begitu banyak kesalahan, Dia masih memberi saya peluang untuk kembali ke pangkal jalan. Pengetahuan mengenai Tuhan Yehuwa mula meresap ke dalam hati saya, dan saya sedar bahawa Pencipta saya mengambil berat terhadap saya.​—1 Petrus 5:6, 7.

 Kesedaran itu mendorong saya untuk berubah. Contohnya, setelah belajar tentang rokok, saya berfikir, “Jika Tuhan Yehuwa mahu saya bersih dan tidak najis dalam semua aspek, saya mesti buang semua rokok ini!” (2 Korintus 7:1) Jadi, saya buang semua rokok saya ke dalam tong sampah!

 Saya juga perlu berhenti mengambil dan menjual dadah. Hal itu memakan lebih banyak masa dan usaha. Saya sedar bahawa saya perlu berhenti bergaul dengan kawan dahulu, kerana pengaruh mereka sedang menghalang kemajuan rohani saya. Kemudian, saya mula bergantung pada Tuhan dan bantuan sahabat baharu di sidang. Saya tidak pernah merasai kasih dan keprihatinan sebegini. Berbulan-bulan kemudian, saya berjaya melepaskan diri daripada najis dadah dan “mengenakan keperibadian baharu” yang diperkenankan Tuhan. (Efesus 4:​24) Pada Ogos 1985, saya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Bible telah meningkatkan mutu hidup saya. Saya dibebaskan daripada cara hidup yang tidak bermaruah dan yang memudaratkan. Sebenarnya, lebih daripada 30 orang kenalan saya dahulu telah mati pada usia muda kerana AIDS atau penyakit lain yang diakibatkan oleh pengambilan dadah. Saya amat bersyukur kerana prinsip Bible telah menjauhkan saya daripada ditimpa kesudahan yang sama.

 Pemuda ganas yang selalu membawa pisau dan kapak sudah menjadi kisah silam. Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan membawa Bible untuk membantu orang. Kini, saya dan isteri merupakan Saksi-Saksi Yehuwa yang menginjil sepenuh waktu.

 Ibu bapa saya tidak menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi mereka menghargai manfaat yang saya terima setelah belajar Bible. Pernah sekali, ayah saya mempertahankan kepercayaan Saksi di hadapan semua rakan sekerjanya, kerana dia sendiri dapat melihat perubahan saya selepas memeluk kepercayaan ini. Ibu saya sering mengatakan bahawa saya patut belajar Bible lebih awal lagi. Saya memang setuju!

 Pengalaman hidup saya telah mengajar saya betapa bodohnya mencari kepuasan daripada dadah dan perbuatan buruk yang lain. Kini saya benar-benar puas kerana dapat membantu orang lain mengenali ajaran Bible—ajaran yang telah menyelamatkan nyawa saya.