Lompat ke kandungan

Bantuan untuk Kakitangan Hospital yang Menghadapi Stres

Bantuan untuk Kakitangan Hospital yang Menghadapi Stres

 Bryn merupakan ahli Jawatankuasa Perhubungan Hospital yang tinggal di Carolina Utara, A.S. Dia bekerjasama dengan hospital untuk menjaga keperluan pesakit yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa.

 Disebabkan pandemik COVID-19, kebanyakan hospital tidak membenarkan pelawat untuk datang. Jadi untuk mengetahui bagaimana dia dapat menyokong pesakit yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa, Bryn menghubungi pengarah bahagian yang mengaturkan bantuan keagamaan untuk pesakit di sebuah hospital.

 Panggilan telefon Bryn disambut oleh pembantu kepada pengarah itu. Bryn meminta pembantu itu untuk memberikan nombor telefonnya kepada pesakit yang merupakan Saksi agar dia dapat bercakap dengan mereka. Pembantu itu sudi untuk berbuat demikian.

 Bryn juga memikirkan kakitangan yang bekerja di hospital itu. Dia berkata bahawa dia menghargai usaha mereka dan berharap agar mereka dalam keadaan yang sihat. Dia juga berkata bahawa menurut apa yang telah dibacanya, ramai orang, terutamanya pekerja hospital, menghadapi tekanan yang sangat besar akibat pandemik.

 Pembantu itu bersetuju bahawa disebabkan COVID-19, pekerja hospital sangat stres.

 Kemudian, Bryn berkata, “Laman web kami ada maklumat yang dapat membantu orang menangani stres. Jika kamu layari jw.org dan taip ‘stres’ di kotak Carian, kamu akan melihat rencana-rencana yang dapat menggalakkan kakitangan hospital.”

 Semasa mereka sedang bercakap, pembantu itu melayari jw.org dan taip perkataan “stres” di kotak Carian, lalu dia nampak senarai rencana yang berkaitan. Kemudian dia berkata, “Wah! Saya akan tunjukkan ini kepada pengarah. Maklumat ini akan membantu kakitangan hospital dan orang lain. Saya akan mencetak dan mengedarkannya.”

 Beberapa minggu kemudian, Bryn bercakap dengan pengarah bahagian yang mengaturkan bantuan keagamaan. Pengarah tersebut berkata bahawa mereka telah melayari jw.org dan mencetak rencana-rencana yang berkaitan dengan stres. Mereka juga telah memberikannya kepada jururawat dan kakitangan hospital yang lain.

 Bryn berkata, “Pengarah itu memberitahu saya bahawa dia sangat menghargai kerja para Saksi dan rencana-rencana yang bagus sekali. Rencana-rencana itu sangat membantu.”