Lompat ke kandungan

Seorang Pemimpin Gereja Mendapat Jawapannya

Seorang Pemimpin Gereja Mendapat Jawapannya

 Eliso ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, dan dia mengajarkan Bible kepada seorang wanita. Pada suatu hari, semasa pembelajaran Bible dijalankan, terdapat tetamu yang tidak dijangka tiba di rumah wanita itu. Rupanya seorang pemimpin gereja dan isterinya yang datang. Eliso pernah terdengar bahawa satu-satunya anak lelaki mereka telah meninggal baru-baru ini.

 Semasa Eliso mengucapkan takziah, pemimpin gereja dan isterinya mula menangis. Kemudian, pemimpin gereja itu mengatakan dengan marah, “Saya tidak faham kenapa Tuhan membiarkan hal ini berlaku! Saya cuma ada seorang anak lelaki, itu pun Dia mahu ambil? Saya sudah melayani Tuhan selama 28 tahun, dan saya melakukan banyak hal yang baik, tetapi inilah cara Dia membalas saya! Kenapa Tuhan membunuh anak saya?”

 Eliso menjelaskan kepada mereka bahawa Tuhan tidak mengambil anak mereka. Dia juga membincangkan dengan mereka topik-topik seperti tebusan, pembangkitan, dan sebab-sebab mengapa Tuhan membenarkan hal yang buruk berlaku. Pemimpin gereja dan isterinya memberitahu Eliso bahawa dia telah menjawab soalan-soalan yang mereka sering tertanya dalam doa.

 Pada minggu yang seterusnya, pemimpin gereja dan isterinya datang lagi untuk menyertai pembelajaran Bible bersama wanita itu. Pada hari itu, Eliso sedang membincangkan bab “Harapan Sebenar bagi Orang Kesayangan yang Telah Mati,” dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? Pasangan itu pun turut serta dalam perbincangan itu.

 Pada kemudian hari, mereka berdua menghadiri konvensyen istimewa Saksi-Saksi Yehuwa yang diadakan di Tbilisi, Georgia. Mereka sangat kagum dengan kasih dan perpaduan para Saksi. Sejak dahulu, mereka berusaha untuk memupuk sifat sedemikian di antara ahli gereja mereka, tetapi tidak pernah berhasil.