Lompat ke kandungan

Nota Di Bawah Mesin Basuh

Nota Di Bawah Mesin Basuh

 Selepas dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa, Zarina yang tinggal di Rusia pulang ke negara asalnya di Asia Tengah. Dia bertekad untuk membesarkan dua orang anak perempuannya dalam kebenaran. Namun, dia mempunyai masalah kewangan. Maka, dia menumpang bersama ibu bapanya serta adik lelaki dan isterinya di sebuah pangsapuri kecil yang hanya ada sebuah bilik tidur. Ibu bapanya melarang Zarina mengajar anak-anak perempuannya tentang kebenaran Bible, manakala anak-anaknya pula tidak dibenarkan untuk bercakap tentang Bible dengan ibu mereka.

 Zarina berfikir dengan mendalam tentang cara untuk membantu anak-anaknya mengenali Yehuwa. (Amsal 1:8) Dia berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan untuk memohon bimbingan dan kebijaksanaan. Kemudian, Zarina bertindak menurut doanya. Dia membawa anak-anaknya untuk bersiar-siar bersama dan bercakap dengan mereka tentang penciptaan. Walaupun masa itu singkat sahaja, anak-anaknya dibantu untuk memupuk minat terhadap Pencipta.

 Seterusnya, Zarina memikirkan cara lain untuk terus memupuk minat mereka. Dia menyalin perenggan-perenggan dan soalan-soalan daripada buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? a pada beberapa keping kertas. Dia juga mencatatkan beberapa ayat tambahan untuk membantu anak-anaknya lebih memahami bahan yang dipelajari. Kemudian, dia akan pergi ke bilik mandi lalu menyorokkan kertas-kertas itu berserta sebatang pensel di bawah mesin basuh. Semasa anak-anaknya berada di bilik mandi, mereka akan membaca perenggan yang disalin dan mencatatkan jawapan mereka.

 Cara itu membolehkan Zarina untuk mengajar anak-anaknya dua bab dalam buku Ajaran Bible sewaktu mereka tinggal bersama keluarganya. Selepas berpindah, dia dapat membesarkan anak-anaknya tanpa gangguan. Pada bulan Oktober 2016, kedua-dua anaknya dibaptis. Mereka sangat bersyukur kerana ibu mereka menggunakan hikmat dan kebijaksanaan untuk membesarkan mereka secara rohani.

a Kini, ramai orang menggunakan buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!