Lompat ke kandungan

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Memecahbelahkan Keluarga atau Menyatukan Mereka?

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Memecahbelahkan Keluarga atau Menyatukan Mereka?

 Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kami berusaha untuk mengukuhkan keluarga sendiri dan keluarga orang lain. Kami menghormati Tuhan sebagai Pengasas aturan keluarga. (Kejadian 2:​21-​24; Efesus 3:​14, 15) Dalam Bible, Tuhan mengajarkan prinsip-prinsip yang dapat membantu orang di serata dunia untuk memiliki perkahwinan yang kukuh dan bahagia.

Cara Saksi-Saksi Yehuwa Menggalakkan Perpaduan Keluarga

 Kami berusaha sedaya upaya untuk mengikut nasihat Bible kerana nasihat Bible dapat membantu kami untuk menjadi suami, isteri dan ibu bapa yang baik. (Amsal 31:10-​31; Efesus 5:22–​6:4; 1 Timotius 5:8) Hikmat dalam Bible juga dapat membantu ahli keluarga yang berlainan agama untuk berjaya. (1 Petrus 3:​1, 2) Lihat komen beberapa orang yang mana pasangan mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa:

  •   “Selama enam tahun selepas kami berkahwin, kehidupan kami penuh dengan pergaduhan dan kekecewaan. Setelah Ivete menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa, dia menunjukkan lebih banyak kasih dan kesabaran. Perubahannya telah menyelamatkan perkahwinan kami.”​—Clauir, dari Brazil.

  •   “Saya menentang suami saya, Chansa, apabila dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya berfikir bahawa mereka memecahbelahkan keluarga. Tetapi sejak itu, saya dapat melihat bagaimana Bible sebenarnya membantu perkahwinan kami.”​—Agness, dari Zambia.

 Semasa menginjil, kami menunjukkan kepada orang bahawa hikmat daripada Bible dapat membantu mereka untuk

  •   Memilih pasangan hidup dengan bijak

  •   Mengharungi tahun pertama perkahwinan

  •   Bergaul dengan mentua

  •   Menguruskan kewangan

  •   Berhenti bertengkar

  •   Belajar untuk saling mengampuni

  •   Mendidik anak-anak

Adakah penukaran agama menimbulkan konflik dalam perkahwinan?

 Hakikatnya ialah hal ini memang berlaku. Sebagai contoh, sebuah syarikat penyelidikan bernama Sofres telah membuat kajian tentang hal ini. Mereka mendapati bahawa 1 daripada 20 pasangan mengalami masalah yang serius apabila salah seorang pasangan menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

 Yesus pernah berkata bahawa mereka yang mengikut ajarannya kadangkala akan mengalami tentangan keluarga. (Matius 10:32-36) Seorang ahli sejarah menyatakan bahawa di bawah pemerintahan Empayar Roma, “Agama Kristian dituduh menyebabkan keluarga berpecah belah.” a Hari ini, beberapa Saksi-Saksi Yehuwa juga menerima tuduhan yang sama. Adakah hal ini bermaksud para Saksi menyebabkan perpecahan dalam keluarga?

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah

 Semasa membuat keputusan terhadap tuduhan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa memecahbelahkan keluarga, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah menyatakan bahawa pasangan yang bukan Saksi selalunya menyebabkan konflik ini. Mereka enggan “menerima dan menghormati kebebasan ahli keluarga untuk mengamalkan atau melakukan hal-hal keagamaan.” Mahkamah itu juga menambah, “Situasi ini selalu terjadi dalam perkahwinan yang mana pasangan mempunyai agama yang berbeza. Saksi-Saksi Yehuwa juga tidak terkecuali.” b Walaupun menghadapi tentangan keluarga, para Saksi berusaha untuk mengikut ajaran Bible: “Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan. . . . Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang.”​—Roma 12:17, 18.

Mengapa Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa mereka hanya boleh berkahwin dengan orang yang seagama

 Saksi-Saksi Yehuwa mengikut nasihat Bible untuk berkahwin dengan orang yang merupakan “pengikut Tuan [Yesus].” Hal ini bermaksud berkahwin dengan mereka yang sama agama. (1 Korintus 7:​39) Nasihat ini berdasarkan Bible dan praktikal. Sebagai contoh, rencana Journal of Marriage and Family pada tahun 2010 menyatakan bahawa “pasangan yang mempunyai agama, amalan, dan kepercayaan yang sama” cenderung untuk memiliki hubungan yang lebih erat. c

 Walau bagaimanapun, Saksi-Saksi Yehuwa tidak digalakkan untuk bercerai daripada pasangan mereka yang bukan Saksi. Bible mengatakan: “Jika seorang saudara mempunyai isteri yang tidak seiman, dan isterinya itu bersetuju untuk tinggal bersamanya, dia tidak patut meninggalkan isterinya. Jika seorang wanita mempunyai suami yang tidak seiman, dan suaminya itu bersetuju untuk tinggal bersamanya, dia tidak patut meninggalkan suaminya.” (1 Korintus 7:​12, 13) Saksi-Saksi Yehuwa mematuhi perintah ini.

a Lihat Caesar and Christ, muka surat 647.

b Lihat keputusan mahkamah bagi kes Jehovah’s Witnesses of Moscow and Others v. Russia, muka surat 26-​27, perenggan 111.

c Lihat Journal of Marriage and Family, Jilid 72, Nombor 4, (Ogos 2010), muka surat 963.