Lompat ke kandungan

Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Menjawab Semua Tuduhan yang Dilontarkan terhadap Mereka?

Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Menjawab Semua Tuduhan yang Dilontarkan terhadap Mereka?

 Saksi-Saksi Yehuwa mengikut nasihat Bible supaya tidak menjawab semua tuduhan dan ejekan. Contohnya, ayat Bible menyatakan, “Jika kamu menegur ajar orang yang sombong, kamu akan dihina.” (Amsal 9:​7, 8; 26:4) Maka kami berusaha untuk menyenangkan Tuhan. Kami tidak mahu terlalu mempedulikan tuduhan palsu orang lain, dan kami berusaha untuk mengelakkan diri daripada pertengkaran.​—Mazmur 119:69.

 Sudah tentu, terdapat “waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur.” (Pengkhutbah 3:7) Kami akan menjawab mereka yang ikhlas dan berminat untuk mengetahui kebenaran, tetapi kami tidak ingin terlibat dalam pertikaian yang sia-sia. Dalam hal ini, kami mengikuti ajaran dan teladan yang diberikan oleh Yesus dan orang Kristian abad pertama.

  •   Yesus tidak menjawab apabila dia dituduh di hadapan Pilatus. (Matius 27:11-​14; 1 Petrus 2:​21-​23) Demikian juga, apabila dituduh sebagai seorang pemabuk dan pelahap, Yesus tidak menjawab. Dia menerapkan prinsip Bible yang berikut: “Kebijaksanaan seseorang dibuktikan benar oleh perbuatannya.” Ya, Yesus membiarkan perbuatannya membuktikan bahawa tuduhan mereka itu tidak berasas. (Matius 11:19) Sebaliknya, pada masa yang sesuai, dia menjawab orang yang memfitnahnya dengan berani.​—Matius 15:​1-3; Markus 3:​22-​30.

     Yesus mengajar para pengikutnya supaya tidak tawar hati kerana tuduhan-tuduhan palsu yang dilontarkan terhadap mereka. Dia berkata, “Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah kamu kerana kamu pengikutku.” (Matius 5:​11, 12) Namun Yesus juga mengatakan bahawa apabila tuduhan-tuduhan sedemikian membuka jalan bagi mereka untuk memberikan kesaksian, dia akan membantu mereka. Dia berjanji, “Aku akan memberi kamu kata-kata dan kebijaksanaan. Dengan demikian, meskipun semua penentang kamu berganding bahu, mereka tidak akan dapat melawan atau membantah kata-kata kamu.”​—Lukas 21:12-​15.

  •   Rasul Paulus menasihatkan orang Kristian supaya mengelakkan pertikaian dengan para penentang. Dia menyifatkan pertengkaran sedemikian sebagai sesuatu yang “tidak bermanfaat dan sia-sia.”​—Titus 3:9; Roma 16:17, 18.

  •   Rasul Petrus telah menggalakkan orang Kristian untuk mempertahankan iman mereka jika boleh. (1 Petrus 3:​15) Namun, dia juga mengakui bahawa adalah lebih baik jika kita mempertahankan iman kita melalui perbuatan, dan bukannya percakapan. Dia menulis, ‘Berbuat baiklah agar kamu dapat menutup mulut orang yang tidak munasabah yang mengucapkan kata-kata bodoh.’​—1 Petrus 2:​12-​15.