Lompat ke kandungan

Apakah Itu Dosa Asal?

Apakah Itu Dosa Asal?

Jawapan Bible

 Adam dan Hawa adalah manusia pertama yang melakukan dosa. Mereka melanggar perintah Tuhan dengan memakan buah daripada “pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat,” dosa inilah yang sering dipanggil dosa asal. a (Kejadian 2:16, 17; 3:6; Roma 5:19) Adam dan Hawa dilarang memakan buah daripada pokok itu kerana pokok itu melambangkan kuasa atau hak Tuhan untuk menentukan apa yang betul dan salah bagi manusia. Dengan memakan buah daripada pokok itu, Adam dan Hawa menunjukkan bahawa mereka ingin menentukan apa yang betul dan salah bagi mereka sendiri. Mereka telah menolak kedaulatan moral Tuhan.

 Apakah kesan “dosa asal” terhadap Adam dan Hawa?

 Disebabkan dosa mereka, Adam dan Hawa menjadi tua dan akhirnya mati. Mereka telah merosakkan persahabatan mereka dengan Tuhan. Mereka juga telah kehilangan peluang untuk hidup selama-lamanya serta kesihatan yang sempurna.—Kejadian 3:19.

 Apakah kesan “dosa asal” terhadap kita?

 Sama seperti ibu bapa yang mewariskan kecacatan genetik kepada anak mereka, Adam dan Hawa telah mewariskan dosa kepada semua anak cucu mereka. (Roma 5:12) Oleh itu, semua manusia telah “dilahirkan dalam dosa,” b maksudnya kita semua tidak sempurna dan cenderung untuk berbuat salah.—Mazmur 51:5; Efesus 2:3.

 Akibat dosa atau ketidaksempurnaan yang kita warisi, kita jatuh sakit, menjadi tua, dan mati. (Roma 6:23) Kita juga menanggung kesan daripada kesilapan sendiri dan orang lain.—Pengkhutbah 8:9; Yakobus 3:2.

 Dapatkah kita dibebaskan daripada pengaruh “dosa asal”?

 Ya, sudah tentu. Bible mengatakan bahawa Yesus mati sebagai “korban untuk memohon pengampunan untuk dosa kita.” (1 Yohanes 4:10, nota kaki) Pengorbanan Yesus dapat membebaskan kita daripada pengaruh dosa yang diwarisi dan memberi kita peluang untuk menikmati berkat yang telah dilepaskan oleh Adam dan Hawa, iaitu kehidupan kekal serta kesihatan yang sempurna.—Yohanes 3:16. c

 Tanggapan salah mengenai “dosa asal”

 Tanggapan salah: Dosa asal mengasingkan kita daripada Tuhan buat selama-lamanya.

 Kebenaran: Tuhan tidak menyalahkan kita atas perbuatan Adam dan Hawa. Dia memahami bahawa kita tidak sempurna, dan Dia tidak meminta lebih daripada apa yang kita mampu lakukan. (Mazmur 103:14) Walaupun kita dilahirkan dalam dosa, kita diberi peluang dan penghormatan untuk menjadi sahabat Tuhan.—Amsal 3:32.

 Tanggapan salah: Pembaptisan membebaskan seseorang daripada dosa asal, maka bayi perlu dibaptis.

 Kebenaran: Walaupun seseorang mesti dibaptis untuk diselamatkan, hanya iman terhadap korban tebusan Yesus dapat membersihkan kita daripada dosa. (1 Petrus 3:21; 1 Yohanes 1:7) Oleh kerana iman ini berdasarkan pengetahuan, maka adalah mustahil bagi seorang bayi untuk mempunyai iman sedemikian. Jadi, Bible tidak menyokong amalan pembaptisan bayi. Orang Kristian pada abad pertama juga sedar tentang kebenaran ini, kerana mereka hanya membaptiskan “lelaki dan wanita” yang beriman kepada Firman Tuhan, dan tidak membaptiskan bayi.—Kisah 2:41; 8:12.

 Tanggapan salah: Tuhan mengutuk kaum wanita kerana Hawalah yang memakan buah larangan dahulu.

 Kebenaran: Tuhan tidak mengutuk kaum wanita. Sebaliknya Tuhan mengutuk “ular tua yang dipanggil Iblis dan Syaitan,” yang telah menghasut Hawa untuk berdosa. (Wahyu 12:9; Kejadian 3:14) Tambahan pula, Tuhan menentukan bahawa Adamlah yang harus memikul tanggungjawab utama bagi dosa asal ini, bukan isterinya.—Roma 5:12.

 Mengapakah Tuhan berfirman bahawa Adam akan menguasai isterinya? (Kejadian 3:16) Kata-kata ini tidak bermaksud bahawa Tuhan bersetuju dengan perbuatan ini. Sebaliknya, Dia hanya menyatakan hakikat tentang akibat buruk yang dibawa oleh dosa. Tuhan sememangnya ingin seorang lelaki untuk mengasihi dan bertimbang rasa terhadap isterinya. Seorang lelaki patut menunjukkan rasa hormat yang mendalam terhadap kaum wanita.—Efesus 5:25; 1 Petrus 3:7.

 Tanggapan salah: Dosa asal merujuk kepada perbuatan seks.

 Kebenaran: Dosa asal tidak mungkin merujuk kepada perbuatan seks atas sebab-sebab berikut:

  •   Semasa Tuhan memberitahu Adam mengenai larangan pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat, Adam masih keseorangan dan belum ada isteri ketika itu.—Kejadian 2:17, 18.

  •   Tuhan memberikan perintah kepada Adam dan Hawa agar mereka “mempunyai anak cucu yang banyak.” (Kejadian 1:28) Tidak masuk akal jika Tuhan menghukum mereka akibat menuruti perintah tersebut.

  •   Adam dan Hawa berbuat dosa secara berasingan—Hawa dahulu dan kemudian suaminya.—Kejadian 3:6.

  •   Bible tidak melarang hubungan seks antara suami dan isteri.—Amsal 5:18, 19; 1 Korintus 7:3.

a Ungkapan “dosa asal” tidak wujud dalam Bible. Sebenarnya, dosa pertama yang tercatat dalam Bible ialah dusta Syaitan kepada Hawa.—Kejadian 3:4, 5; Yohanes 8:44.

b Dalam Bible, perkataan “dosa” bukan sahaja bermaksud perbuatan yang salah, tetapi juga merujuk kepada ketidaksempurnaan, atau keadaan berdosa, yang kita warisi.

c Lihat rencana “Bagaimanakah Yesus Menyelamatkan Kita?” untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pengorbanan Yesus dan manfaatnya untuk kita.