Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Apa yang Anda Percaya Penting?

Adakah Apa yang Anda Percaya Penting?

Pada pendapat anda, adakah kehidupan manusia mempunyai tujuan? Pendukung evolusi yang bernama William B. Provine berkata, “Apa yang kita pelajari tentang proses evolusi membawa implikasi yang amat besar kepada kita, dan mempengaruhi pandangan kita terhadap maksud kehidupan.” Apakah kesimpulannya? “Saya tidak dapat melihat tujuan sebenar bagi kehidupan manusia atau alam semesta.”32

Pertimbangkan maksud kata-kata itu. Jika kehidupan tidak mempunyai makna, maka kehidupan anda sia-sia sahaja. Paling baik pun, anda boleh melakukan kebajikan dan barangkali mewariskan ciri-ciri genetik anda kepada generasi yang seterusnya. Apabila anda mati, anda tidak akan wujud buat selama-lamanya. Otak anda, dengan keupayaan untuk berfikir, menaakul, dan merenung tentang maksud kehidupan hanya suatu kebetulan alam semula jadi.

Bukan itu sahaja, ramai yang mempercayai evolusi mengatakan bahawa Tuhan tidak wujud atau bahawa Dia tidak akan masuk campur dalam urusan manusia. Hal ini bermaksud masa depan kita terletak dalam tangan pemimpin politik, akademik, dan agama. Sejarah masa lampau pemimpin-pemimpin di bumi menunjukkan bahawa masyarakat manusia akan terus ditimpa huru-hara, konflik, dan keruntuhan akhlak. Sememangnya, jika evolusi adalah benar, kita mempunyai banyak alasan untuk hidup berdasarkan moto fatalistik ini, “Marilah kita makan minum dan bersuka-suka, kerana esok kita akan mati.”​—1 Korintus 15:32.

Sebaliknya, Bible mengajarkan, “[Tuhanlah] sumber segala kehidupan.” (Mazmur 36:10) Kata-kata ini membawa maksud yang amat mendalam.

Jika apa yang dikatakan di dalam Bible adalah benar, maka kehidupan kita penuh dengan makna. Pencipta kita yang penyayang mahu mereka yang hidup selaras dengan tujuan-Nya untuk menikmati kehidupan yang bermakna. (Pengkhutbah 12:13) Tujuan-Nya merangkumi janji untuk mewujudkan dunia yang bebas daripada huru-hara, konflik, keruntuhan akhlak, bahkan daripada cengkaman kematian.​—Mazmur 37:10, 11; Yesaya 25:6-8.

Itulah sebabnya, jutaan orang di seluruh pelosok bumi percaya bahawa mempelajari tentang Tuhan dan mematuhi-Nya memberi makna dalam kehidupan! (Yohanes 17:3) Kepercayaan sebegitu tidak berlandaskan angan-angan. Buktinya jelas​—kehidupan memang telah diciptakan.