Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

PELAJARAN 26

Mengapakah Ada Banyak Kejahatan dan Penderitaan?

Mengapakah Ada Banyak Kejahatan dan Penderitaan?

Apabila hal buruk berlaku, orang sering bertanya, “Mengapakah ini terjadi?” Mari lihat jawapan Bible yang dapat melegakan hati kita.

1. Bagaimanakah Syaitan menyebabkan dunia penuh dengan kejahatan?

Semasa di Taman Eden, Syaitan membuat Adam dan Hawa berfikir bahawa Tuhan sedang menahan sesuatu yang baik daripada mereka. Kemudian Syaitan memberitahu Hawa bahawa dia tidak akan mati jika dia mengingkari Tuhan. Maka Syaitan telah menyebabkan mereka menyertainya untuk memberontak terhadap Tuhan. Sebenarnya Syaitan berniat jahat dan dia mahu mengambil alih kuasa Tuhan sebagai pemerintah. (Kejadian 3:1-5) Oleh sebab Syaitanlah yang mengucapkan dusta yang pertama, Bible memanggilnya sebagai “pendusta dan bapa segala dusta.”​—Yohanes 8:44.

2. Apakah pilihan yang dibuat Adam dan Hawa?

Sebenarnya Yehuwa dengan murah hati menyediakan pelbagai jenis pokok yang berbuah bagi Adam dan Hawa. (Kejadian 2:15-17) Tetapi mereka memilih untuk makan daripada pokok yang dilarang itu. Bible kata Hawa “mengambil buah itu dan mula memakannya.” Kemudian, Adam “pun memakannya.” (Kejadian 3:6) Sebagai manusia yang sempurna, mereka cenderung buat apa yang baik. Tetapi keputusan mereka menunjukkan bahawa mereka sengaja mengingkari Tuhan dan menolak pemerintahan-Nya. Akibatnya, mereka berdosa dan menderita.​—Kejadian 3:16-19.

3. Bagaimanakah keputusan Adam dan Hawa mempengaruhi kita?

Bible kata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [iaitu Adam], dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Roma 5:12) Ya, Adam dan Hawa hilang kesempurnaan dan mewariskan dosa kepada kita.

Oleh sebab kita tidak sempurna, kita sendiri atau orang lain mungkin membuat keputusan yang kurang bijak yang membawa akibat buruk. Selain itu, hal-hal buruk mungkin berlaku kerana kita berada di tempat yang salah pada masa yang salah.​—Baca Pengkhutbah 9:11.

KETAHUILAH

Lihat bukti yang menunjukkan bahawa Tuhan tidak bertanggungjawab atas kejahatan dan penderitaan yang berlaku. Ketahui juga perasaan Tuhan ketika melihat kita menderita.

4. Siapa yang bertanggungjawab atas penderitaan kita?

Banyak orang percaya bahawa Tuhan menguasai dunia ini. Adakah hal itu benar? Mainkan VIDEO.

Baca Yakobus 1:13 dan 1 Yohanes 5:19, kemudian bincang soalan berikut:

  • Adakah Tuhan bertanggungjawab atas kejahatan dan penderitaan yang berlaku?

5. Kesan buruk pemerintahan Syaitan

Baca Kejadian 3:1-6, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah dusta yang diucapkan oleh Syaitan?—Lihat ayat 4 dan 5.

  • Bagaimanakah Syaitan membuat Hawa berfikir bahawa Yehuwa menahan sesuatu yang baik daripada manusia?

  • Menurut Syaitan, adakah manusia memerlukan Yehuwa untuk memerintah mereka?

Baca Pengkhutbah 8:9, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah akibatnya apabila manusia memerintah diri sendiri?

  1. Adam dan Hawa menikmati kehidupan yang sempurna di Firdaus. Tetapi mereka mendengar cakap Syaitan dan memberontak terhadap Yehuwa

  2. Pemberontakan itu membawa dosa, penderitaan, dan kematian kepada manusia

  3. Yehuwa berjanji untuk menghapuskan dosa, penderitaan, dan kematian. Manusia akan menjadi sempurna dan hidup di Firdaus

6. Yehuwa merasai penderitaan kita

Adakah Tuhan mengambil berat tentang kita apabila kita menderita? Lihatlah kata-kata Raja Daud dan Rasul Petrus. Baca Mazmur 31:7 dan 1 Petrus 5:7, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah perasaan anda selepas membaca ayat-ayat ini?

7. Tuhan akan mengakhiri semua penderitaan

Baca Yesaya 65:17 dan Wahyu 21:3, 4, kemudian bincang soalan berikut:

  • Yehuwa berjanji untuk melenyapkan segala kesan buruk yang disebabkan oleh kejahatan. Mengapakah hal ini melegakan hati anda?

Tahukah anda?

Semasa Syaitan mengucapkan dusta pertama, dia telah memfitnah Yehuwa dan merosakkan nama baik-Nya sebagai pemerintah yang adil dan pengasih. Pada masa depan, Yehuwa akan melenyapkan segala penderitaan dan menyucikan nama-Nya. Dalam erti kata lain, Dia akan membuktikan bahawa pemerintahan-Nya adalah yang terbaik. Penyucian nama Yehuwa ialah isu terpenting di seluruh alam semesta.​—Matius 6:9, 10.

ADA ORANG KATA: “Penderitaan kita ialah ujian daripada Tuhan.”

  • Apakah jawapan anda?

RINGKASAN

Syaitan Si Iblis dan pasangan manusia yang pertama ialah penyebab utama kejahatan yang berlaku di dunia. Yehuwa sangat mengambil berat tentang kita dan berjanji untuk melenyapkan penderitaan kita.

Ulang Kaji

  • Apakah dusta yang diucapkan oleh Syaitan Si Iblis kepada Hawa?

  • Apakah kesan pemberontakan Adam dan Hawa terhadap kita?

  • Bagaimanakah kita tahu Yehuwa mengambil berat terhadap kita apabila kita menderita?

Matlamat

JOM BELAJAR

Belajar apa yang dikatakan dalam Bible tentang dosa.

“Apakah Itu Dosa?” (Rencana di laman web)

Ketahui lebih banyak tentang isu yang ditimbulkan oleh Syaitan Si Iblis di Taman Eden.

“Mengapakah Tuhan Mengizinkan Penderitaan?” (Menara Pengawal, 1 Januari 2014)

Lihat apa yang dipelajari oleh seorang lelaki tentang masalah yang berlaku di sekelilingnya.

Saya Tidak Keseorangan Lagi (5:09)