Lompat ke kandungan

Apakah Pandangan Bible Mengenai Pembakaran Mayat?

Apakah Pandangan Bible Mengenai Pembakaran Mayat?

Jawapan Bible

 Bible tidak memberikan arahan yang spesifik mengenai amalan membakar mayat. Tiada perintah dalam Bible yang mengatakan bahawa mayat harus dikebumikan atau dibakar.

 Bible mencatatkan kisah tentang hamba setia Tuhan yang mengebumikan orang yang telah mati. Contohnya, Abraham berusaha mencari tempat pengebumian yang sesuai untuk mengebumikan isterinya, Sara.​—Kejadian 23:​2-​20; 49:29-​32.

 Bible juga menyebut tentang individu-individu yang setia yang telah membakar jasad orang mati. Contohnya, selepas Raja Saul dari Israel dan tiga orang anak lelakinya terbunuh di medan perang, mayat mereka terbiar di kawasan musuh dan diperlakukan dengan hina. Apabila pahlawan-pahlawan Israel yang setia mendengar tentang hal itu, mereka mengambil kembali mayat Saul dan mayat anak-anak lelakinya, membakar mayat-mayat itu, dan kemudian mengebumikan tulang mereka. (1 Samuel 31:​8-​13) Catatan Bible menunjukkan bahawa inilah cara yang sesuai untuk mengendalikan mayat mereka.​—2 Samuel 2:​4-6.

Tanggapan yang salah mengenai pembakaran mayat

 Tanggapan yang salah: Pembakaran mayat tidak menunjukkan hormat terhadap si mati.

 Kebenaran: Bible mengatakan bahawa orang yang mati akan kembali ke tanah, hal ini berlaku apabila mayat terurai secara semula jadi. (Kejadian 3:​19) Pembakaran mayat mempercepatkan proses ini kerana mayat terus menjadi abu.

 Tanggapan yang salah: Pada zaman Bible, hanya orang yang tidak diperkenankan Tuhan dibakar selepas mati.

 Kebenaran: Mayat sesetengah orang yang tidak setia, seperti Akhan dan keluarganya, telah dibakar. (Yosua 7:​25) Namun, ini tidak bermakna bahawa semua mayat orang jahat mesti dibakar. (Ulangan 21:22, 23) Bible juga ada sebut tentang pembakaran mayat orang yang setia, seperti Yonatan, iaitu anak lelaki Raja Saul yang disebut tadi.

 Tanggapan yang salah: Tuhan tidak dapat membangkitkan seseorang jika mayatnya dibakar.

 Kebenaran: Tidak kira mayat seseorang dikebumikan, dibakar, tenggelam di laut, atau dibaham oleh binatang buas, Tuhan pasti dapat membangkitkan orang tersebut. (Wahyu 20:13) Tuhan yang Maha Kuasa boleh mencipta tubuh yang baharu bagi orang yang telah mati.​—1 Korintus 15:35, 38.