Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 13

Yakub dan Esau Berdamai

Yakub dan Esau Berdamai

Yakub pergi ke Haran lalu tinggal di situ. Yehuwa berjanji untuk melindungi Yakub, seperti yang dilakukan-Nya terhadap Abraham dan Ishak. Di Haran, Yakub berkahwin, berkeluarga, dan menjadi sangat kaya.

Kemudian, Yehuwa berkata kepada Yakub, “Pulanglah ke kampung halamanmu.” Jadi Yakub dan keluarganya pun berangkat pulang. Semasa dalam perjalanan, hamba-hamba Yakub datang dan berkata, “Abang tuan sedang menuju ke sini, dan dia ada 400 orang bersamanya!” Yakub berasa sangat takut kerana abangnya mungkin akan mencederakan dia dan keluarganya. Maka, dia berdoa, “Selamatkanlah saya daripada abang saya.” Pada keesokan hari, Yakub menghadiahkan banyak biri-biri, kambing, lembu, unta, dan keldai, kepada Esau.

Pada malam itu, semasa Yakub seorang diri, dia nampak satu malaikat! Yakub bergelut dengan malaikat itu sehingga pagi. Walaupun Yakub cedera, dia tidak berputus asa. “Lepaskanlah saya,” kata malaikat itu. “Tidak,” jawab Yakub. “Berkatilah saya dulu.”

Akhirnya, malaikat itu memberkati Yakub. Sekarang, Yakub tahu bahawa Yehuwa akan melindunginya daripada Esau.

Pada waktu pagi, Yakub nampak Esau dari jauh bersama dengan 400 orang lelaki. Yakub berjalan mendahului keluarganya dan bersujud di depan abangnya sebanyak tujuh kali. Selepas itu, Esau berlari kepada Yakub lalu memeluknya. Mereka berdua pun menangis dan berdamai. Pada pendapat adik, adakah Yehuwa gembira dengan perbuatan Yakub?

Setelah berdamai, Esau balik ke rumah, dan Yakub meneruskan perjalanannya. Dalam keluarga Yakub, terdapat 12 orang anak lelaki. Nama mereka ialah Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Dan, Naftali, Gad, Asyer, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin. Salah seorang anak lelakinya, iaitu Yusuf, digunakan oleh Yehuwa untuk menyelamatkan umat-Nya. Bagaimana? Mari kita lihat kisah yang seterusnya.

“Teruslah mengasihi musuhmu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu dapat menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga.”​—Matius 5:44, 45