Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 41

Daud dan Saul

Daud dan Saul

Selepas Daud membunuh Goliat, Raja Saul memberinya kuasa atas para tentera. Daud memenangi banyak peperangan, dan dia menjadi sangat terkenal. Setiap kali Daud kembali daripada berperang, para wanita akan menari dan menyanyi, “Saul membunuh beribu orang, tetapi Daud membunuh berpuluh ribu orang.” Maka, Raja Saul sangat cemburu terhadap Daud dan ingin membunuhnya.

Daud pandai bermain kecapi. Pada suatu hari, dia sedang bermain kecapi untuk Raja Saul. Tiba-tiba, Saul melontarkan tombak ke arahnya. Daud mengelak, dan tombak itu tercucuk pada dinding. Selepas kejadian itu, Saul mencuba berkali-kali untuk membunuh Daud. Namun, Daud berjaya melarikan diri dan bersembunyi di padang gurun.

Pernah sekali, Saul membawa 3,000 orang untuk memburu Daud. Tanpa disedari, Saul memasuki tempat persembunyian Daud dan pengikutnya, iaitu di dalam sebuah gua. Pengikut Daud berbisik, “Inilah peluang kamu untuk bunuh Saul.” Jadi, Daud dengan senyap-senyap memotong tepi jubah Saul. Tetapi, Saul tidak menyedarinya. Selepas itu, Daud berasa bersalah kerana dia tidak menghormati raja yang dipilih Yehuwa. Dia juga melarang pengikutnya daripada menyerang Saul. Selepas Saul keluar dari gua itu, Daud memanggil Saul lalu berkata bahawa dia sebenarnya ada peluang untuk membunuh Saul. Adakah Saul akan melepaskan Daud?

Tidak. Saul masih memburu Daud. Pada suatu malam, Daud dan anak buahnya, Abisai, memasuki khemah Saul secara diam-diam. Pada masa itu, pengawal Saul, iaitu Abner, sedang tidur. Abisai berkata, “Inilah peluang kita! Biarlah saya bunuhnya.” Tetapi Daud menjawab, “Yehuwa sendiri akan bertindak terhadap Saul. Marilah kita ambil tombak dan bekas airnya lalu pergi.”

Kemudian, Daud berdiri di atas puncak gunung dan menjerit, “Abner, kenapa kamu tidak jaga rajamu? Di manakah tombak dan bekas air raja?” Saul mengenali suara Daud lalu berkata, “Kamu berpeluang membunuh beta, tapi kamu tidak berbuat demikian. Beta tahu kamu akan menjadi raja Israel yang seterusnya.” Selepas itu, Saul kembali ke istananya. Sebenarnya, bukan semua ahli keluarga Saul membenci Daud.

“Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang. Hai saudara-saudara yang dikasihi, janganlah membalas dendam. Tetapi biarlah Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya terhadap kejahatan yang dilakukan.”​—Roma 12:18, 19