Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 18

Pokok yang Bernyala

Pokok yang Bernyala

Musa tinggal di Midian selama 40 tahun. Dia telah berkahwin dan mempunyai anak-anak. Pada suatu hari, semasa dia menjaga bebiri berdekatan Gunung Sinai, dia melihat sesuatu yang menarik. Terdapat sebatang pokok kecil yang bernyala, tetapi pokok itu tidak terbakar. Jadi dia mendekati pokok itu. Tiba-tiba, dia terdengar suara dari pokok itu yang berkata, “Musa, jangan datang dekat! Buka kasut kamu kerana kamu sedang berdiri di atas tanah yang suci.” Itulah Yehuwa yang sedang bercakap melalui satu malaikat.

Musa sangat takut, jadi dia menutupi mukanya. Kemudian, Yehuwa berkata lagi, “Aku melihat kesusahan orang Israel. Aku akan menyelamatkan mereka daripada orang Mesir dan membawa mereka ke suatu tempat yang baik. Kamulah yang akan membawa umat-Ku keluar dari Mesir.” Musa pasti terkejut apabila mendengar kata-kata ini!

Selepas itu, Musa bertanya, “Apa yang patut saya katakan jika mereka tanya siapa yang menghantar saya?” Tuhan menjawab, “Beritahulah mereka, ‘Yehuwa, Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub, telah menghantar saya kepada kamu.’” Tetapi Musa bertanya lagi, “Bagaimana pula jika mereka tidak percaya?” Maka, Yehuwa memberi Musa bukti bahawa Dia akan membantunya. Dia menyuruh Musa untuk membuang tongkatnya ke tanah. Apabila Musa berbuat demikian, tongkat itu berubah menjadi seekor ular! Kemudian, Musa memegang ekor ular itu lalu binatang itu menjadi sebatang tongkat. Yehuwa berkata, “Lakukanlah ini di hadapan mereka. Inilah tanda bahawa Akulah yang menghantar kamu.”

Musa berkata, “Tapi saya tidak pandai bercakap.” Jadi Yehuwa berjanji, “Aku akan ajar kamu apa yang perlu kamu cakap. Aku juga akan menyuruh abangmu Harun untuk membantumu.” Selepas mendengar janji ini, Musa pun pulang ke Mesir bersama isteri dan anak-anaknya.

“Janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Pada masa itu, kamu akan tahu apa yang harus kamu katakan.”​—Matius 10:19