Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Menyatukan Keluarga-Nya

Yehuwa Menyatukan Keluarga-Nya

Yehuwa Menyatukan Keluarga-Nya

‘Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh [daya aktif] Tuhan tetap terpelihara.’​—EF. 4:3, ABB.

BOLEHKAH ANDA JELASKAN?

Apakah tujuan pentadbiran Tuhan?

Bagaimanakah kita memelihara ‘kesatuan yang diberikan oleh daya aktif Tuhan’?

Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kebaikan hati?

1, 2. Apakah tujuan Yehuwa bagi bumi dan manusia?

APAKAH yang terlintas di fikiran anda semasa mendengar perkataan “keluarga”? Kasih sayang? Kebahagiaan? Berganding bahu untuk mencapai matlamat? Suasana damai untuk membesar, belajar, dan berkongsi pendapat? Jika anda mempunyai keluarga yang penyayang, barangkali itulah yang anda fikirkan. Yehuwa ialah Pengasas keluarga. (Ef. 3:14, 15) Dia bertujuan agar semua ciptaan-Nya di syurga dan di bumi berasa selamat, saling mempercayai, dan bersatu padu.

2 Selepas manusia berdosa, mereka bukan lagi sebahagian daripada keluarga Tuhan. Namun, tujuan Yehuwa tidak berubah. Dia akan memastikan bumi Firdaus dipenuhi dengan keturunan Adam dan Hawa. (Kej. 1:28; Yes. 45:18) Dia telah membuat persiapan yang diperlukan untuk mencapai tujuan itu. Sesetengah persiapan itu tercatat dalam buku Efesus, yang bertemakan perpaduan. Mari kita bincangkan beberapa ayat dalam buku Efesus dan bagaimana kita boleh bekerjasama dengan tujuan Yehuwa untuk menyatukan ciptaan-Nya.

PENTADBIRAN TUHAN DAN TUJUANNYA

3. Apakah pentadbiran Tuhan yang disebut di Efesus 1:10? Bilakah tahap pertama pentadbiran ini bermula?

3 Yehuwa sentiasa bertindak selaras dengan tujuan-Nya. Maka, “pada masa yang ditentukan-Nya,” Tuhan telah memulakan “rancangan-Nya [“pentadbiran-Nya,” NW]” untuk menyatukan ciptaan-Nya di syurga dan di bumi. (Baca Efesus 1:8-10.) Pentadbiran ini akan dilaksanakan dalam dua tahap. Tahap pertama melibatkan sidang Kristian terurap yang akan hidup di syurga di bawah pimpinan Yesus Kristus. Tahap ini bermula pada Pentakosta 33 M, ketika Yehuwa mula mengumpulkan orang untuk memerintah bersama Kristus di syurga. (Kis. 2:1-4) Berdasarkan korban tebusan Kristus, kaum terurap dianggap adil benar. Maka, boleh dikatakan bahawa mereka telah diterima sebagai ‘anak-anak Tuhan.’​—Rm. 3:23, 24; 5:1; 8:15-17.

4, 5. Bagaimanakah tahap kedua pentadbiran itu dilaksanakan?

4 Tahap kedua melibatkan kumpulan orang yang akan mendiami bumi Firdaus di bawah Kerajaan Mesias. Mula-mulanya, kumpulan ini akan terdiri daripada kumpulan besar manusia yang terselamat semasa Armagedon. (Why. 7:9, 13-17; 21:1-5) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, jutaan orang yang dibangkitkan akan menyertai mereka. (Why. 20:12, 13) Pembangkitan itu pasti menonjolkan perpaduan kita! Selepas seribu tahun itu, orang “yang di bumi” akan menghadapi ujian terakhir. Mereka yang setia akan diterima sebagai ‘anak-anak Tuhan’ di bumi.​—Rm. 8:21; Why. 20:7, 8.

5 Kedua-dua tahap pentadbiran Tuhan sedang dilaksanakan, baik di bumi mahupun di syurga. Namun, bagaimanakah kita masing-masing dapat bekerjasama sekarang dengan pentadbiran Tuhan?

MEMELIHARA KESATUAN YANG DIBERIKAN OLEH DAYA AKTIF TUHAN

6. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa orang Kristian perlu berhimpun dengan tetap?

6 Bible menggalakkan orang Kristian untuk berhimpun dengan tetap. (1 Kor. 14:23; Ibr. 10:24, 25) Namun perhimpunan sebegini bukan sekadar berkumpul beramai-ramai di suatu tempat seperti pasar atau pusat sukan. Bagi menikmati perpaduan sejati, kita perlu menerapkan ajaran Yehuwa dan mentaati bimbingan daya aktif-Nya.

7. Bagaimanakah kita boleh memelihara ‘kesatuan yang diberikan oleh daya aktif Tuhan’?

7 Berdasarkan korban tebusan Kristus, Yehuwa telah menerima kaum terurap dan domba-domba lain sebagai orang yang adil benar. Namun, selagi kita hidup dalam sistem dunia ini, perselisihan faham akan berlaku. (Rm. 5:9; Yak. 2:23) Jika tidak, Tuhan tidak perlu menasihati kita untuk saling bersabar. Bagaimanakah kita boleh memelihara kesatuan antara rakan seiman? Kita perlu ‘sentiasa rendah hati dan lemah lembut.’ Tambahan lagi, Paulus menggesa kita, ‘Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh [daya aktif] Tuhan tetap terpelihara.’ (Baca Efesus 4:1-3.) Menurut nasihat ini, kita perlu membiarkan keperibadian sendiri dibentuk oleh daya aktif Tuhan. Apabila kita menunjukkan buah daya aktif Tuhan, kesatuan kita terpelihara. Sebaliknya, “keinginan tabiat manusia” akan menyebabkan perpecahan.

8. Bagaimanakah keinginan tabiat manusia merosakkan perpaduan?

8 Bagaimanakah “keinginan tabiat manusia” merosakkan perpaduan? (Baca Galatia 5:19-21.) Perbuatan cabul akan merosakkan hubungan seseorang dengan Yehuwa dan sidang. Perzinaan memisahkan anak daripada ibu bapa dan menghancurkan hubungan suami dan isteri. Perbuatan lucah ialah amalan najis yang menjauhkan seseorang daripada Tuhan dan orang yang mengasihinya. Seseorang perlu bersih secara rohani dan jasmani, barulah dia boleh menikmati hubungan akrab dengan Tuhan. Sikap tidak tahu malu menunjukkan bahawa seseorang langsung tidak menghormati hukum Tuhan. Perbuatan lain yang didorong oleh “keinginan tabiat manusia” juga dapat menjejaskan hubungan kita dengan Tuhan dan sesama manusia. Yehuwa membenci perbuatan sedemikian.

9. Bagaimanakah kita boleh tahu sama ada kita sedang berusaha sebaik-baiknya untuk memelihara ‘kesatuan yang diberikan oleh daya aktif Tuhan’?

9 Kita masing-masing harus bertanya, “Sejauh mana usaha saya ‘untuk hidup damai supaya kesatuan yang diberikan oleh daya aktif Tuhan tetap terpelihara’? Semasa masalah timbul, adakah saya mengumumkan rasa kesal saya kepada orang ramai kerana ingin mendapatkan sokongan? Adakah saya mengharapkan para penatua menyelesaikan masalah itu dan bukannya berusaha sendiri untuk berdamai dengan rakan seiman? Adakah saya mengelakkan orang yang terlibat supaya tidak perlu berdamai dengannya?” Jika kita berbuat demikian, adakah kita sedang bekerjasama dengan tujuan Tuhan untuk menyatukan segalanya di bawah Kristus?

10, 11. (a) Mengapakah sangat penting untuk memelihara kedamaian dengan rakan seiman kita? (b) Apakah yang boleh kita lakukan untuk menikmati kedamaian dan berkat Yehuwa?

10 Yesus berkata, ‘Apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Tuhan, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Tuhan. Berdamailah dengan dia selagi ada masa.’ (Mat. 5:23-25, ABB) Yakobus menulis bahawa keadilbenaran “adalah hasil daripada benih kedamaian yang ditanam oleh orang yang suka akan kedamaian.” (Yak. 3:17, 18) Maksudnya, tanpa kedamaian, kita tidak dapat mengekalkan kelakuan yang adil benar.

11 Sebagai contoh, di negara-negara yang dilanda perang, kira-kira 35 peratus tanah tidak diusahakan kerana masalah periuk api. Ledakan periuk api menyebabkan pekebun meninggalkan ladang mereka, perkampungan hilang sumber pendapatan, dan bandar pula kekurangan makanan. Begitu juga, pertumbuhan rohani kita akan terhambat jika perangai kita menggugat kedamaian dengan rakan seiman. Tetapi jika kita sudi mengampuni dan mengutamakan kepentingan orang lain, kita dapat menikmati kedamaian dan berkat Yehuwa.

12. Bagaimanakah para penatua menyumbang kepada perpaduan?

12 Selain itu, para penatua yang merupakan “kurnia kepada manusia” juga banyak menyumbang kepada perpaduan. Mereka membantu kita agar “menjadi satu oleh iman yang sama.” (Ef. 4:8, 13) Apabila para penatua berkhidmat kepada Yehuwa bersama kita dan memberi kita nasihat yang berdasarkan Bible, mereka sedang membantu kita mengenakan keperibadian baru. (Ef. 4:22-24) Semasa anda dinasihati, ingatlah bahawa Yehuwa sedang membantu anda bersedia untuk hidup di dunia baru yang diperintah oleh Anak-Nya. Para penatua, adakah anda menasihati orang lain berdasarkan matlamat ini?​—Gal. 6:1.

“HENDAKLAH KAMU BAIK HATI”

13. Jika kita tidak mengendahkan nasihat di Efesus 4:25-32, apakah akibatnya?

13 Efesus 4:25-29 menyebut sesetengah kelakuan yang harus dijauhi, termasuk berdusta, marah, malas, menggunakan kata-kata kotor, dan tidak menggunakan kata-kata yang membina. Seseorang yang tidak mengendahkan nasihat ini akan menyedihkan daya aktif Tuhan, kerana daya aktif ini menghasilkan perpaduan. (Ef. 4:30) Untuk memelihara kedamaian dan perpaduan, kita juga perlu menerapkan nasihat Paulus, ‘Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun. Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu melalui Kristus.’​—Ef. 4:31, 32, ABB.

14. (a) Mengapakah Paulus menasihati kita untuk menunjukkan kebaikan hati? (b) Bagaimanakah kita boleh menunjukkan kebaikan hati?

14 Paulus menasihati kita untuk menunjukkan kebaikan hati kerana kita kadangkala lupa berbuat demikian dan perlu berusaha lagi. Amatlah penting untuk melatih diri agar mengambil kira perasaan orang lain! (Flp. 2:4) Mungkin apa yang ingin kita katakan itu lucu atau membuat kita kelihatan bijak. Namun, adakah kata-kata itu menunjukkan kebaikan hati? Jika kita berfikir sebelum bercakap, kita boleh menunjukkan kebaikan hati.

MENUNJUKKAN KASIH DAN HORMAT DALAM KELUARGA

15. Menurut Efesus 5:25, 26, bagaimanakah suami boleh meniru teladan Kristus?

15 Bible menyatakan bahawa hubungan Kristus dan sidang bagaikan hubungan suami dan isteri. Perbandingan ini menunjukkan bahawa suami harus membimbing, mengasihi, dan menjaga isterinya, manakala isteri pula patut mentaati suaminya. (Ef. 5:22-33) Perhatikan bahawa Paulus menulis, “Hai suami, kasihilah isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah.” Bagaimanakah Kristus mengasihi sidang Kristian? Dia ‘mengorbankan nyawanya untuk jemaah. Kristus berbuat demikian untuk membersihkan jemaah dengan air dan dengan firman Tuhan.’ (Ef. 5:25, 26, ABB) Ya, selaras dengan tujuan Yehuwa untuk menyatukan segala ciptaan-Nya di bawah Kristus, seorang suami harus memastikan keperluan rohani keluarganya dipenuhi.

16. Jika ibu bapa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan, apakah hasilnya?

16 Ibu bapa perlu ingat bahawa tugas mereka diamanahkan oleh Yehuwa. Malangnya, ramai dalam dunia ini “tidak mengasihi sesama manusia.” (2 Tim. 3:1, 3) Ramai anak hidup melarat dan sengsara akibat bapa yang tidak bertanggungjawab. Namun, Paulus menasihati bapa Kristian, “Janganlah perlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, didiklah mereka dengan ajaran dan nasihat Tuhan.” (Ef. 6:4) Keluargalah tempat pertama anak belajar untuk menunjukkan kasih dan menghormati kekuasaan. Ibu bapa yang berjaya mendidik anak mereka dalam hal ini menunjukkan bahawa mereka berusaha selaras dengan pentadbiran Yehuwa. Jika rumah kita melimpah dengan kasih dan bebas daripada kemarahan serta maki hamun, kita sedang mengajar anak-anak cara untuk menunjukkan kasih dan menghormati kekuasaan. Usaha ini akan membantu mereka bersedia untuk hidup di dunia baru Tuhan.

17. Bagaimanakah kita dapat melawan Iblis?

17 Ingatlah, Iblis akan menentang usaha kita untuk melakukan kehendak Tuhan. Dialah yang mula-mula mengacau keamanan di alam semesta. Matlamat Syaitan tercapai apabila semakin banyak orang bercerai, bersekedudukan tanpa berkahwin, dan menerima perkahwinan sejenis. Sungguhpun demikian, kelakuan atau sikap kita tidak dibentuk mengikut acuan masyarakat moden. Kristuslah teladan kita. (Ef. 4:17-21) Oleh itu, kita diingatkan agar ‘memakai seluruh perlengkapan senjata daripada Tuhan.’ Dengan ini, kita akan berjaya melawan Iblis dan roh-roh jahat.​—Baca Efesus 6:10-13.

“HIDUP KAMU HARUS DIJIWAI OLEH KASIH”

18. Apakah teras perpaduan Kristian kita?

18 Kasih ialah teras perpaduan Kristian kita. Apabila kita mengasihi Yesus, Yehuwa, dan satu sama lain, kita bertekad untuk memelihara ‘kesatuan yang diberikan oleh daya aktif Tuhan.’ (Eph. 4:3-6) Sehubungan kasih ini, Yesus berkata, ‘Aku berdoa bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepadaku melalui perkhabaran mereka. Ya Bapa, aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu denganku, dan aku dengan-Mu. Aku sudah menunjukkan Engkau kepada mereka; aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepadaku tetap di dalam hati mereka dan supaya aku bersatu dengan mereka.’​—Yoh. 17:20, 21, 26, ABB.

19. Apakah tekad anda?

19 Jika kita terpaksa bergelut dengan ketidaksempurnaan sendiri, semoga kasih mendorong kita untuk berdoa, “Ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh.” (Mzm. 86:11) Bertekadlah untuk melawan Iblis supaya dia tidak merosakkan hubungan kita dengan Bapa kita serta saudara saudari. Sebagai ‘anak-anak Tuhan yang dikasihi-Nya,’ berusahalah untuk “mengikut teladan-Nya.” Biarlah hidup kita “dijiwai oleh kasih,” sama ada dalam keluarga, kerja penyebaran, ataupun di sidang.​—Ef. 5:1, 2.

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 29]

Dia meninggalkan pemberian di mazbah lalu berdamai dengan saudaranya

[Gambar pada muka surat 31]

Ibu bapa, didiklah anak-anak untuk menunjukkan sikap hormat